1. Pembina mengikuti pembentangan Bajet 2018 dan ingin memberi respon awal, khususnya perkara yang melibatkan belia dan mahasiswa, berdasarkan teks ucapan Yab Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak.
  2. Terdapat pelbagai peluang yang perlu direbut golongan belia dan mahasiswa terutamanya dalam membangunkan bisnes kecil dan sederhana melalui dana-dana pembiayaan, geran dan pinjaman-pinjaman dengan jaminan kerajaan yang ditawarkan. Ini selari dengan hasrat agar golongan belia dan mahasiswa bukan sahaja menjadi pekerja tetapi menjadi golongan yang mencipta peluang pekerjaan.
  3. Pembina menyambut baik peningkatan dana penyelidikan serta peruntukan bagi pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran. Ini dapat memastikan Malaysia mempunyai kepakaran yang cukup dalam lanskap perubahan ekonomi dunia.
  4. Usaha mewujudkan pusat sehenti bagi memudahkan graduan mendapatkan khidmat nasihat profesional bagi mendapatkan pekerjaan adalah langkah yang baik dan harus diambil peluang oleh seluruh mahasiswa dan graduan.
  5. Menyentuh bab PTPTN, Pembina menyambut baik kelonggaran yang diberikan, khususnya grace period yang ditingkatkan kepada 12 bulan. Ini memberikan ruang kepada lebih kurang 20% graduan yang tidak mendapat kerja dalam masa enam bulan. Diskaun bayaran balik juga dialu-alukan bagi meringankan sedikit bebanan bayaran semula pinjaman dan sebagai galakan untuk membayar segera pinjaman. Namun dalam masa yang sama, Pembina juga berasa bimbang dengan grace period dan diskaun ini bagi kelestarian PTPTN untuk jangka masa panjang.
  6. Antara perkara menarik yang disebut dalam ucapan Bajet 2018 adalah kemenangan Pro-Aspirasi dalam pilihanraya kampus seluruh Malaysia. Sesetengah universiti tidak membenarkan mahasiswa bertanding mewakili mana-mana kumpulan atau pakatan. Iklim politik di kampus juga agak menekan mahasiwa dan berkemungkinan menjadi sebab mengapa hanya sekitar 10% mahasiswa mendaftar sebagai pengundi. Harapan Pembina adalah mahasiswa diberikan kelonggaran untuk beraktivisme dan berpolitik di kampus, dalam kerangka pertumbuhan potensi diri dan latihan kepimpinan.
  7. Peruntukan untuk memperkasa Bumiputera juga disambut baik dan harus diteruskan, bukan sahaja atas dasar merapatkan jurang tetapi sebagai menyempurnakan timbal balas antara kaum dalam kontrak sosial.
  8. Sebelum Bajet 2018 dibentangkan, Pembina telah menyatakan hasrat agar kerajaan memberikan tumpuan dalam pembangunan jati diri anak muda. Ini kerana tiada guna kemajuan material dicapai, tetapi bilangan pesakit mental semakin tinggi, anak zina semakin ramai, penyalahgunaan dadah meningkat, rasuah berleluasa dan identiti asing menggantikan jati diri asal.
  9. Bajet 2018 telah menyentuh aspek jati diri namun Pembina lihat ia tidak menggambarkan keseriusan masalah sosial yang dihadapi di Malaysia. Belia dan mahasiswa di Malaysia menghadapi masalah dadah yang kian serius, perzinaan dan anak luar nikah yang meningkat serta kekeliruan jati diri. Harapan Pembina adalah kerajaan serius dalam menangani isu-isu ini.
  10. Terdapat juga peruntukan-peruntukan yang tidak diperlukan seperti pemberian-pemberian wang yang lebih bersifat politik. Namun, ini memerlukan usaha daripada kedua-kedua pihak. Pembina percaya bahawa rakyat yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit tidak akan dibeli dengan wang ringgit.
  11. Apa saja peluang yang hadir dalam Bajet 2018 perlu direbut oleh golongan belia dan mahasiswa, samaada peluang bagi membina perniagaan atau menyambung pelajaran atau manfaat seperti pelepasan cukai atau pemilikan hartanah. Pembina juga berharap agar semua peruntukan ini dapat disalurkan dengan telus dan amanah.

Eqwan Roslan
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional

Author media

More posts by media

Leave a Reply