Pembasmian Etnik Rohingya dari tanah air sendiri, PEMBINA menyeru setiap pihak main peranan.

1. Semenjak dua minggu ini, berita dunia kembali hangat dengan isu pembasmian etnik Muslim Rohingya daripada tanah mereka, Arakan atau nama lainnya Rakhine. Setiap hari beratus-ratus orang Rohingya telah melarikan diri dari tanah air mereka di Burma dan menjadi pelarian di negara-negara lain di serata dunia. Pilihan yang mereka ada jika tidak melarikan diri adalah dibunuh, dirogol, atau dipukul sehingga mati oleh para penganut dan sami Buddha. Etnik Muslim Rohingya juga telah dihalau dari bumi Arakan ke Bangladesh atas alasan Arakan bukanlah tanah asal mereka, sedang Bangladesh juga menafikan kependudukan etnik Muslim Rohingya di bumi Bangladesh.

2. Dalam masa yang sama Aung San Suu Kyi yang merupakan State Counsellor of Burma (dikenali juga sebagai Head of Government), seorang yang mendapat Noble Peace Prize dan seorang yang telah membisu akan kekejaman ini bertahun lamanya. Pembina mengutuk kekejaman etnik buddhist ke atas etnik Rohingya dan mengutuk sikap berdiam diri presiden negara itu.

3. Namun begitu jika diperhatikan dari sudut sejarah sememangnya wilayah Arakan merupakan tanah asal etnik Muslim Rohingya. Arakan iaitu tanah yang didiami Rohingya mempunyai 2 kelompok kaum yang besar iaitu yang terdiri daripada etnik Rohingya yang beragama Islam dan Maghs yang beragama Buddha. Arakan merupakan antara 14 daerah di dalam wilayah Burma di mana daripada 7 juta umat Islam di sana, hampir separuh berada di Arakan. Arakan mempunyai populasi lebih daripada 3 juta penduduk, tidak termasuk seramai 1.5 juta etnik Rohingya yang dibunuh dan dibuang daripada Burma sejak daripada tahun 1942.

4. Jika diselidiki siapakah di sebalik Kerajaan Burma yang menjalankan ethnic cleansing ke atas muslim Rohingya maka jawapan yang ada terbukti bahawa majoriti daripada kerajaan dan tentera adalah daripada etnik Maghs. Mereka bukanlah penduduk asal Burma. Mereka ini berhijrah ke Burma dalam sekitar 1200-1500 tahun yang lepas. Asal usul bahasa mereka adalah Sino-tibetan dan merupakan susur galur dari keturunan Yunnan yang bermigrasi daripada China. Etnik Maghs telah menduduki tanah Arakan sehingga berjaya memerintah tanah tesebut.

5. Pada tahun 1982, kerajaan Burma telah membuat satu proses Burmanization dan memperkenalkan identiti mereka sebagai Burman. Burmanization adalah proses asimilasi menjadikan Burma sebagai satu bangsa, budaya, bahasa dan sejarah. Identiti bangsa adalah Burman dan identiti agama adalah Buddha. Sebagai tambahan kepada identiti tersebut, jika diimbas kembali pada tahun 1961, kerajaan Burma telah mengisytiharkan Buddhism sebagai state religion tanpa mengambil kira etnik majority lain seperti Rohinyga yang beragama Islam.

6. Mana-mana etnik yang cuba menolak asimilasi identiti ini maka mereka perlu berhadapan dengan penghapusan etnik. Wajarlah ia ditentang orang Islam kerana pemaksaan identiti ini akan mendorong mereka untuk murtad. Antara slogan terkenal pada ketika itu adalah “to be Burmese is to be a Buddhist” dan slogan ini dicanang-canangkan kepada seluruh etnik.

7. Selepas kemerdekaan Burma, pihak tentera Burma telah menjalankan 19 operasi-operasi pembunuhan, pencerobohan masjid, pemusnahan sumber pendapatan, dan rampasan ladang-ladang serta tempat tinggal. Antara 19 operasi ini, operasi Burma Territorial Force (B.T.F) pada tahun 1949 – 1950 adalah yang paling kejam sekali. Kerajaan tentera tempatan yang dipenuhi oleh etnik Buddhist Maghs telah membunuh, merogol, membuat kemusnahan dan melaksanakan undang-undang sesuka hati mereka. Akhirnya ia mengakibatkan ribuan penduduk muslim Rohingya terpaksa lari meninggalkan tempat tinggal mereka. 19 operasi pembasmian ini masih kekal sehingga ke hari ini.

8. Justeru itu, pilihan yang ada bagi etnik Muslim Rohingya hanyalah melarikan diri sebagai pelarian ke negara lain ataupun menunggu mati di tangan etnik Maghs beragama Buddha yang kejam. PEMBINA mengkritik kejam akan kerajaan Burma dan usaha membasmi umat Islam di Burma.

9. Dalam hal ini, PEMBINA ingin menyeru badan Organization of Islamic Cooperation (OIC) dan negara-negara naungannya perlu mengusahakan tekanan ke atas Myanmar lantas menjamin hak kehidupan Rohingya di tanah mereka sendiri. Dalam masa yang sama, PEMBINA memuji usaha negara-negara lain untuk memberikan perlindungan sebagai pelarian kepada warga Rohingya dengan dibekalkan pendidikan dan pekerjaan.

10. PEMBINA juga menyeru supaya rakyat Malaysia bertindak atas kapasiti sendiri seperti menyedarkan orang ramai akan isu penindasan etnik Muslim Rohingya, membantu mereka jika terdapat peluang atau memboikot piala AFF yang diadakan di Myanmar.

pembasmian-etnik-rohingya-dari-tanah-air-sendiri