Baru-baru ini isu pembukaan pintu UiTM kepada bukan Bumiputera menjadi hangat berikutan tuntutan yang dikemukakan oleh golongan yang ingin dikenali sebagai Hindraf 2.0. Dalam tuntutan tersebut, Hindraf 2.0 meletakkan justifikasi perpaduan dan survival bangsa India untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

Isu UiTM ini seperti yang umum ketahui bukan isu baru. Terdahulu, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu menjawat jawatan sebagai Bekas Menteri Besar Selangor pernah mencadangkan agar dibuka kuota 10% kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing. Idea tersebut mendapat bantahan daripada orang Melayu khususnya Mahasiswa UiTM yang bertindak balas mengadakan himpunan aman di hadapan Pejabat Menteri Besar Selangor.

Segelintir melihat tindakan Hindraf 2.0 sekadar mengujikaji sensitiviti orang Melayu terhadap salah satu elemen kontrak sosial pasca PRU14 ini. Menariknya. setelah ujikaji ini dilihat mendapat tentangan daripada pelbagai pihak, Hindraf 1.0 memberi kenyataan bahawa Hindraf 2.0 tidak mewakili pertubuhan sebenar Hindraf walaupun pelopor kedua-duanya adalah adik beradik.

Tujuan penubuhan UiTM

Pasca kemerdekaan memperlihatkan orang Melayu dan bumiputera sangat jauh ketinggalan dalam hampir semua bidang teras. Ini dibuktikan berdasarkan laporan yang tertulis dalam Rancangan Malaysia ke-2.

Misalnya, dalam sektor pembuatan, data menunjukkan kurang 10 peratus tenaga buruh Melayu yang bekerja di peringkat pengurusan dan professional berbanding 66 peratus oleh orang bukan Melayu.

Dalam bidang pendidikan pula misalnya ketika tahun 1968, jumlah pelajar Melayu di Universiti Malaya dilihat sangat sedikit berbanding pelajar Cina di fakulti-fakulti utama. Bahkan jumlah kaum India dianggarkan lebih ramai daripada pelajar Melayu. Pada tahun yang sama, hanya 69 orang pelajar Melayu yang memperolehi ijazah sarjana muda dalam bidang sains berbanding 1448 graduan daripada kaum Cina.
Sewaktu Tun Dr. Mahathir memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran membentang Rang Undang-Undang Institut Teknologi Mara (ITM) di Parlimen, beliau menyebutkan bahawa matlamat ITM adalah untuk membantu kebolehan pasaran orang Melayu untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang swasta.

Ini bertitik tolak selepas Kongres Ekonomi Bumiputera mengkaji pelaksanaan pihak swasta yang jarang mengambil orang Melayu bekerja sebagai pengusaha dan eksekutif syarikat melainkan sedikit. Alasan yang kerap diberikan ialah tidak ada Bumiputera yang terlatih untuk layak masuk ke dalam industri.

Maka ITM ditubuhkan agar kekangan ini dapat diatasi sekaligus melayakkan Bumiputera untuk mengisi jawatan-jawatan dalam bidang swasta. Selepas itu, alasan kemahiran Bumiputera tidak lagi boleh digunapakai oleh pihak swasta. Status sosio-ekonomi Bumiputera sedikit demi sedikit bertambah baik dengan penghasilan graduan-graduan yang bukan sahaja terlatih malah diakui kualiti dan kebolehan pasaran sehingga ke hari ini.

Bahkan, penubuhan UiTM yang berperanan sebagai wadah pendidikan pengajian tinggi bangsa Melayu dan Bumiputera adalah hak dan keistimewaan yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Sebarang usaha mencabar dasar keistimewaan bumiputera UiTM akan dilihat sebagai mencabar salah satu komponen perlembagaan sekaligus mempertikaikan semangat dan konsensus kontrak sosial yang telah disepakati oleh kaum-kaum teras 60 tahun dahulu.

Pelihara Kontrak Sosial

Hubungan dan toleransi antara kaum menjadi batu asas kepada pembentukan kontrak sosial yang membentuk perlembagaan pada hari ini. Ia dicapai setelah semua kaum teras di Tanah Melayu ketika itu mencapai kesepakatan untuk memelihara kepentingan bangsa masing-masing.
Sejarah kontrak sosial ini secara asasnya bermula selepas kemarahan Orang Melayu terhadap ketidak adilan gagasan Malayan Union yang menghapuskan kuasa raja-raja dan pengenalan konsep Jus Soli yang dilihat akan mengancam identiti tanah air dan bangsa melayu sebagai penduduk asal. Orang Melayu menentang sekeras-kerasnya kerana berpendapat nasib tanah air dan bangsa Melayu sepatutnya ditentukan oleh orang Melayu sebagai Tuan Tanah dan bukannya terletak di tangan penjajah atau bangsa asing.

Bagi mencapai kemerdekaan, orang melayu hanya diberi kata dua oleh British sama ada menerima kerakyatan orang bukan Melayu atau lupakan kemerdekaan. Lebih merumitkan keadaan adalah apabila British tidak ingin menghantar semula orang bukan Melayu ke negara asal mereka.

Orang Melayu yang diwakili oleh Raja-Raja Melayu meminta empat perkara penting sebagai syarat dan timbal balas terhadap kesanggupan dan pengorbanan orang Melayu untuk menerima kerakyatan bukan Melayu. Empat perkara tersebut adalah kedudukan Agama Islam, Hak istimewa Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan Bahasa Melayu .

Dalam erti kata lain, sebarang usaha untuk mencabar keempat-empat perkara oleh orang bukan Melayu di atas seolah-olah mencabar status kewarganegaraan yang dinikmati pada hari ini.

Sesetengah pihak melihat kontrak sosial lebih memihak kepada orang Melayu berdasarkan peruntukan empat perkara tersebut dalam perlembagaan. Namun hakikat yang perlu diingatkan adalah orang Melayu mengorbankan sebahagian besar kuasa politik, ekonomi dan pendidikan yang mutlak sebagai tuan tanah di tanah sendiri.

Kuasa mutlak yang dicapai beratus tahun berdasarkan rentetan sejarah panjang jatuh bangun Empayar Melayu dikorbankan sebahagiannya oleh orang Melayu agar semua kaum dapat memelihara kepentingan bangsa masing-masing sekaligus mencapai kemerdekaan.

Bahkan, kewarganegaraan yang diberikan kepada orang bukan Melayu membawa maksud bahawa mereka turut diberi peluang untuk menentukan kuasa politik, menyandang jawatan kabinet, mencorak pendidikan dan sebagainya jauh lebih baik berbanding ketika mula-mula dibawa masuk oleh British ke Tanah Melayu.

Mengikat Perpaduan

Ada pihak yang mempertikaikan perlembagaan kerana tidak memberikan keistimewaan yang sama rata kepada rakyat berbilang kaum termasuk daripada orang Melayu sendiri. Polisi yang dikatakan berat sebelah ini menjadi punca pecah belah dalam masyarakat.

Namun, sama rata bukanlah asas perpaduan kerana sama rata tidak semestinya adil. Tetapi asas perpaduan adalah janji, taat setia dan tidak khianat pada toleransi orang Melayu dan persetujuan yang telah dicapai pemimpin pelbagai kaum ketika mencapai kemerdekaan daripada Bristih dahulu.

Hakikatnya, perlembagaan negara kita bukan berdasarkan 60 tahun kemerdekaan, tetapi berdasarkan 500 tahun perjuangan agama dan bangsa Melayu membebaskan diri daripada cengkaman penjajah dan berdasarkan sejarah yang panjang.

Ini adalah sejarah yang perlu difahami oleh generasi milenial agar semangat dan ruh sebenar kontrak sosial tidak lenyap ditelan zaman. Inilah sejarah yang mengikat jati diri bangsa. Ia tidak ada tarikh luput.

Bak kata Prof. Madya Dr. Shamrahayu, memang perlembagaan ini dirangka agar dapat ditafsir mengikut masa, tetapi ia tetap mempunyai elemen-elemen asas yang akan kekal mengukuhkan pembinaan negara bangsa dan mengikat semua masyarakat sampai bila-bila. Itulah yang kita sebut sebagai kontrak sosial. Mengkhianatinya bererti kita akan terus berbalah dan meruntuhkan perpaduan.

UiTM adalah hak untuk bangsa Melayu dan Bumiputera. Orang Melayu wajib mempertahankannya daripada diganggu gugat oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan cuba mengubah naratif dalam sejarah pembinaan negara.

Junjunglah kontrak sosial ini mengikut ruhnya yang tulen dan sebagaimana yang diniatkan oleh pemimpin terdahulu.

Salehuddin Asyraf bin Mohd Najib

Masih bergelar sebagai pelajar UiTM

 

Rujukan:
1. Muhammed Abdul Khalid. Antara Dua Darjat, 2017.
2. Penyata Rasmi Parlimen, 14 April 1976.
3. Mohd Rizal Yaakop & Shamrahayu A.Aziz. Kontrak Sosial: Perlembagaan Persekutuan 1957 Pengikat Jati Diri Bangsa Malaysia Merdeka, 2015.