“Paling minima pelajar KUIS mesti menjadi daie” – Dato’ Halim Tamuri

 

dato

Maulidur Rasul tanggal 12 Rabiul Awal bersamaan 1437 hijrah merupakan tarikh keramat dalam mengingati kelahiran baginda. Dan bukan sekadar itu, malah perlunya kita kepada menghayati perjuangan baginda, sehingga kita umat Islam mampu menikmati nikmat iman dan Islam itu sendiri.

Digelar sebagai ‘Penghulu Sekalian Nabi’ sepatutnya menjadikan kita sedar tentang kehebatan Rasulullah dalam penyebaran dakwah Islam ini sehingga mampu menembusi setiap genap dunia. Jasa baginda adalah sangat besar.

Dan adakah masyarakat khususnya warga KUIS sedar dan menghayati perjuangan tersebut sesuai dengan misi dan visi KUIS sendiri dalam melahirkan daie, ulama dan umara’ yang mampu berdakwah kepada ummah?

Media PEMBINA KUIS telah mewawancara Dato’ Halim Tamuri, Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), di pejabatnya kelmarin. Dengan kesibukannya sebagai pemimpin, beliau masih sudi meluangkan masa dan menyambut baik untuk kami menebual beliau demi menyampaikan menyampaikan mesej sempena Maulidur Rasul ini kepada masyarakat KUIS. Berikut adalah temubual yang telah dilakukan.

S : Maulidur Rasul bukan sekadar mengingati tarikh lahir baginda nabi, tapi pentingnya untuk pelajar menghayati perjuangan yang dibawa baginda untuk menaikkan syiar Islam diatas muka bumi, bagaimana kesedaran itu mampu terbentuk dalam diri pelajar?

Dato’ Halim Tamuri : Tarikh ni bila kita ingat bukan sekadar tarikh lahir sahaja, tak kisah lah bila ia berlaku pada sesiapa pun. Tak kisahlah isteri, anak atau suami.  Mengingat tarikh lahir antara salah satu tanda atau cara kita sayang pada dia. Bila Rasulullah lebih dari itu. Kita bukan sekadar tahu tarikh lahir, siapa dia, tapi yang lebih penting usaha baginda dalam berdakwah menyampaikan Islam. Allah berikan baginda satu perlantikan sebagai Rasul bukan setakat manusia biasa. Tapi bila kita dalami, kita sepatutnya mengingatinya dan mengamalkan apa yang Rasulullah ajar kepada kita seboleh-bolehnya. Apa-apa pun yang kita buat dalam hidup kita ni, kita kena ikut apa yang rasulullah ajar. Konsep yang menyebut Rasulullah sebagai ‘Uswatul Hasanah’ contoh yang terbaik itu, perlu kita amalkan sepenuhnya dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim.

Sebagai seorang pelajar, kita lihat apa yang dilakukan Rasulullah sewaktu muda dan remajanya. Dan ketika itu, baginda masih belum menerima wahyu daripada Allah tapi Rasulullah itu terbentuk menjadi jiwa yang terbaik, jiwa yang dihormati sehingga digelar al-amin. Itu yang kita mahukan. Sepatutnya pemuda mahupun pelajar perlu menjadi al-amin iaitu yang dipercayai. Dalam erti kata lain, menjadi orang yang baik. Bila menjadi orang yang baik, baru orang akan percaya pada kita. Itu yang ditunjukkan rasulullah sebelum dilantik menjadi nabi.

 Sebagai seorang Islam, kita sepatutnya buat semampu mungkin sebagaimana yang Rasulullah lakukan. Sebab Rasulullah sendiri dah bagi petunjuk untuk kita lakukan. Kita perlu menanamkan satu semangat atau sikap sebagaimana yang telah ditunjukkan sebagai seorang  Islam.

S : Mahasiswa hari ini terlalu leka dengan dunia mereka sendiri tanpa mereka merasakan kepentingan mereka dalam pembentukan ummah yang semakin lesu dan tak bermaya, bagaimanakah perkara ini mampu memberi kesan kepada misi dan visi KUIS dalam melahirkan Daie, Ulama’ dan Umara’ yang mampu membantu ummah?

Dato’ Halim Tamuri : Ini satu perkara besar. Konsep melahirkan daie, ulama dan umara’, ini sebagai satu tagline paling mudah orang faham. Setiap orang dari kita ni mesti menjadi daie pada saudara mara dan keluarga mereka. Daie ini yang sangat-sangat basic. Masuk KUIS ni, dari menjadi orang yang biasa, menjadi orang lebih baik. Orang yang lebih baik, menjadi orang yang sangat baik. Jadi itu dakwah yang kita cuba lakukan. Dakwah ini tak semestinya seperti percakapan saja, tapi perbuatan kita.

Ulama itu lebih berilmu, Umara’ itu pemimpin, dan ini proses yang ada pada Rasulullah S.A.W. sebab Rasulullah itu package. Segalanya sempurna. Baginda diistilahkan sebagai ‘The Working Quran’ yang melambangkan kehidupan dan cara hidup. Apabila kita kenal Rasulullah, kita perlu jadikan Rasulullah itu sebagai model terbaik. Cuba yang terbaik untuk jadi seperti baginda. Dari amalan, perbuatan dan apa yang telah diajar oleh baginda cuba diamalkan dalam konteks kehidupan kita sebagai seorang manusia.

Sebagai mahasiswa, cabaran leka itu memang berlaku. Melalui serangan pemikiran yang berlaku zaman sekarang. Mahu tidak mahu, kita kena belajar. Terangkan pada orang sekeliling kita, bahawa tugas kita didunia ini bukan sekadar untuk belajar, tetapi bagaimana kita mahu mengimarahkan dunia ini sebagai ‘Khalifatullah’. Setiap kita ada peranan masing-masing. Jadi mahasiswa, kita perlukan kepada pelajar belajar ilmu agama. Seperti yang berlaku di KUIS. Semua bidang perlu belajar tentang Islam. Itu secara formal, dan secara tak formalnya seperti usrah, persatuan, program-program masjid dan sebagainya. Yang paling penting bagi kita adalah bi’ah. Bila kita bentuk suasana, masing-masing akan menjaga, maksiat akan berkurang. Bi’ah inilah yang Rasulullah bina dalam masyarakat di Madinah. Kita cuba seboleh mungkin. Walaupun mustahil untuk seratus peratus, tapi kita (KUIS) cuba melahirkan bi’ah yang baik untuk mengurangkan perkara yang tidak baik. Kita kembali kepada Rasul, kita lihat apa yang dia cuba lakukan kepada masyarakat. Sebagai mahasiswa, kita tak boleh duduk bersendiri. Mesti bersama kawan, dan ajak kawan kepada kebaikan. ‘Amal maaruf, nahi mungkar’ itu sebagai sebahagian dari hidup kita. Bukan sahaja ajak kepada kebaikan, tetapi cegah kemungkaran. Barulah konsep ‘da’ie itu akan berlaku dalam kehidupan kita.

S : Sejauh mana pentingnya mahasiswa merasakan peranan mereka dalam menghayati perjuangan Rasulullah sendiri sehingga mampu memberi impak kepada masyarakat dan ummah?

Dato’ Halim Tamuri : Kita tak mampu untuk buat sesama sendiri. Kita kena keluar kepada masyarakat. Kena buat program. Macam khidmat ummah. Perlu berdakwah kepada masyarakat. Jangan duduk dalam kampus sahaja. Saya sangat suka bila pelajar berprogram dan buat program diluar dan membuat aktiviti khidmat masyarakat dan berdakwah. Seperti lawat gelandangan, buat ziarah orang islam kita sendiri yang banyak rosak di pusat pemulihan. Bukan setakat di kampus. Mahasiswa yang ada jiwa dakwah ni mesti turun kepada masyarakat. Mesti berdakwah menyampaikan kebaikan. Paling minima berdakwah kepada keluarga. Tapi sekiranya pulang ke kampus mampu buat program membantu masyarakat, itu paling penting kalau kita mahu lahirkan jiwa daie. Dakwah kepada masyarakat yang akhirnya mereka menjadi baik. Dan seterusnya dakwah kepada bukan Islam. Itu dakwah paling besar. Itu cabaran kita yang kedua. Kalau boleh kita mahu lihat satu Malaysia ni semuanya Islam. Dakwah kepada bukan Islam itu perlu dikembangkan. Macam mana? Kita perlu tunjukkan yang terbaik. Jadi sebagai orang Islam kita perlu lakukan dua bentuk dakwah. Dakwah Islamiyyah dan dakwah Islahiyyah. Islah ni penambahbaikan pada diri kita. Tapi Islahiyyah itu dakwah kepada bukan Islam.

S : Dari perspektif dato’ sendiri dalam menghayati perjuangan Rasulullah menegakkan syiar Islam dalam mentadbir KUIS ?

Dato’ Halim Tamuri : Dalam konteks pendidikan ni, dia perlu dibantu oleh banyak perkara. Nak berjaya dalam mentadbir, sama ada pengurusan atau pendidikan mesti kepada role model, pensyarah atau pelajar senior perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak murid atau junior mereka. Pada saya, saya cuba bentuk pentadbir dan pensyarah menjadi contoh yang baik. Manusia ni pelbagai. Saya tak kata sempurna, tapi saya cuba bentuk dari contoh terbaik. Saya mengharapkan disini, semua orang boleh menjadi contoh yang terbaik. Senior kepada junior, pensyarah kepada pelajar dan kakitangan. Walaupun perkara itu payah. Tapi itu usaha yang kita cuba lakukan. Rasulullah itu buat perkara yang menjadi satu contoh, contoh paling mudah seperti hadis Rasulullah ‘Solatlah kamu seperti kamu melihat aku solat’. Disitu Rasulullah mengajar buat apa yang baginda buat. Jadi sebagai seorang muslim, kita perlu berdakwah melalui apa yang kita buat. Kita buat benda baik supaya orang ikut kita. Itulah kaedah dakwah paling baik dalam menjadikan manusia bersifat sebagaimana Rasulullah. Rasulullah takkan bercakap sesuatu sekiranya dia tak lakukan. Apa yang rasulullah buat itu, itulah yang perlu dicontohi. Cara baginda, dia akan buat dulu, barulah sahabat ikut.

S : Apakah harapan dato’ kepada pelajar KUIS sempena Maulidur Rasul?

Dato Halim Tamuri : Saya mahukan, paling minima pelajar KUIS ini menjadi daie atau pendakwah kepada masyarakat. Itu paling minima yang saya mahukan. Kerana itu ambil dari sejarah Rasulullah S.A.W kenapa perlu dakwah kepada masyarakat. Itu harapan saya. Dan daie itulah yang kan menjadikan kita yang terbaik. Sebab tugas kita sebagai ‘Khalifatullah’ ini menjadi pendakwah, menyampaikan Islam dalam apa juga bentuk. Dan harapan saya, menjadi seperti apa yang Rasulullah contohkan dalam berdakwah kepada masyarakat. Dan dua perkara tadi, dakwah kepada  sesama kita, tapi jangan lupa dakwah kepada yang bukan Islam. Islahiyyah dan Islamiyyah itu perlu dijalankan serentak. Dan Insyaallah sekiranya ini berlaku, pelajar KUIS akan menjadi role model (kepada ummah).

Oleh 

Aishah Addin

Wartawan PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top