Myhome : PEMBINA Sambut Baik Hasrat Kerajaan

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menyambut baik hasrat kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dalam memiliki rumah pertama. Bantuan maksimum RM30 ribu bagi rumah kos itu bakal membantu mereka yang menghadapi masalah dari sudut pembayaran pendahuluan terutama graduan yang baru bekerja yang berpendapatan RM3 ribu ke bawah. Bantuan ini adalah penting dalam keadaan harga rumah yang terus melambung diikuti dengan harga barangan yang terus meningkat. Ini serba sedikit dapat membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pada peringkat awal sebelum harga rumah terus melonjak. Umum mengetahui rumah merupakan perbelanjaan bermanfaat kerana ia adalah salah satu bentuk pelaburan kerana harga rumah akan berterusan meningkat. Ia dikira aset baik kerana nilainya yang stabil dan ‘appreciate’ mengikut masa berbanding aset-aset yg lain.

Namum ada dua perkara yang perlu dilihat dengan lebih teliti. Pertamanya, skim berbentuk bantuan kewangan sekaligus hanya mampu menyesaikan masalah jangka pendek tetapi tidak mampu untuk mengekang harga rumah untuk jangka masa panjang. Jika bantuan yang sama diberikan pada masa hadapan maka jumlah tersebut perlu ditingkatkan selari dengan kenaikan harga rumah. Keduanya ialah skim tersebut hanya membantu golongan berpendapatan rendah tetapi golongan yang  berpendapat sederhana iaitu yang berpendapatan RM3 ribu ke atas terus diketepikan sedangkan kebanyakan bumiputera tergolong dalam golongan berpendapatan sederhana. Hakikatnya golongan ini turut menghadapi masalah memiliki rumah pertama dan terkesan dengan kenaikan harga barang.

PEMBINA berharap agar kerajaan dapat menyelesaikan masalah ini untuk jangka masa panjang dengan mengekang harga rumah yang melebihi harga pasaran. Hal ini boleh dilakukan dengan menambahkan penawaran rumah kos rendah dengan pemberian inisiatif kepada  kontraktor supaya tidak hanya membina perumahan kos tinggi. Contohnya untuk menggalakkan pemaju membina perumahan kos rendah, kerajaan perlu memberi inisiatif kepada mereka dengan pengecualian cukai ke atas keuntungan penjualan rumah kos rendah yang dibina. Polisi juga perlu diperkemas supaya sektor hartanah tidak dimanipulasi oleh pelabur asing dan pemain hartanah yang mengambil kesempatan untuk ‘flip’ dengan mengaut keuntungan besar dalam masa singkat.

Baru-baru ini dalam mesyuarat Majlis Perumahan Negara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancanrkan program Myhome  April ini bagi membolehkan pembeli rumah yang layak diberikan subsidi maksimum sehingga RM30,000 untuk mereka membeli rumah terpilih pada harga kos rendah.

Oleh : Ustaz Ibrahim Bin Mohd Hasan Al-Hafiz,
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Penasihat Syariah di Maybank Islamic.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top