MOU dan tuntutan PEMBINA sempena PRU 13

Kenyataan Media

Pelancaran Tahun Briged BAKTI PEMBINA

Dan

Tuntutan PEMBINA Sempena PRU 13

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & salam sejahtera saya ucapkan kepada semua yang hadir pada hari ini.

PEMBINA pada hari ini mengisytiharkan bahawa tahun ini merupakan tahun briged BAKTI PEMBINA sempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Kali ke 6. Ini selari dengan pengumuman Perdana Menteri Dato Seri Najib pada 15 Julai 2012 yang telah mengumumkan empat inisiatif penting di bawah program 1Malaysia For Youth (1M4U) dalam usaha memperkasakan gerakan sukarelawan belia di negara ini. Empat perkara itu ialah penubuhan Lembaga Amanah 1M4U, Dana Sukarelawan 1Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM100 juta dan mengisytiharkan 2013 sebagai Tahun Sukarelawan serta mewujudkan Stesen Radio 1M4U.

Inisiatif ini direka khusus untuk golongan belia bagi membuktikan sokongan dan pengiktirafan berterusan kerajaan kepada generasi muda Malaysia. PEMBINA percaya bahawa sebuah persatuan belia yang aktif perlu digerakkan oleh belia yang mempunyai semangat sukarelawan yang tinggi.  Semangat sukarelawan adalah penting bagi memastikan belia tidak hanya melaksanakan sesuatu kerana kepentingan material atau peribadi tetapi atas rasa kesedaran dan  keperihatinan yang tinggi untuk menyumbang kepada masyarakat dan Negara. PEMBINA sebagai sebuah NGO belia digerakkan sepenuhnya oleh belia yang tidak mendapat sebarang bayaran atau gaji daripada apa yang dilaksanakan.

Memorandum Persefahaman PEMBINA – Aman Palestin dan PEMBINA – KRIM

mou

Pada tahun ini, PEMBINA dengan rasminya menandatangani memorandum persefahaman bersama dua badan sukarelawan iaitu Aman Palestin dan Kelab Remaja ISMA (KRIM) bagi memberi ruang kepada ahli PEMBINA untuk terlibat dengan lebih aktif bagi memberi sumbangan kepada masyarakat di Malaysia dan Palestin.

Kerjasama antara PEMBINA dan Aman Palestin bertujuan memberi pendedahan kepada ahli PEMBINA berkenaan isu Palestin dan terlibat secara langsung dalam misi kemanusiaan di Palestin. Aman Palestin yang mempunyai ibu pejabat rasmi di Gaza merupakan merupakan sebuah badan NGO yang berpengalaman dan banyak terlibat secara langsung dalam menyalurkan sumbangan dana dan pembangunan Palestin. PEMBINA telah Berjaya menghantar 5 orang wakil ke Gaza sewaktu Misi Solidariti Gaza (MSG 12) Disember tahun lepas. Ahli PEMBINA juga mampu menjadi sukarelawan Palestin dengan menganjurkan ceramah, membuka booth pameran dan jualan bagi mengutip sumbangan kepada rakyat di Palestin sekaligus mewujudkan kesedaran masyarakat berkenaan isu penderitaan di Palestin.

PEMBINA juga mewujudkan kerjasama dengan KRIM sebagai platform untuk PEMBINA menjalankan aktiviti di sekolah menengah. Ahli PEMBINA mampu terlibat sebagai menot-mentee dalam membimbing adik-adik di sekolah baik dari sudut akademik dan sahsiah. Ahli PEMBINA juga mampu berkongsi pengalaman dan memberikan motivasi kepada adik-adik untuk Berjaya dalam kehidupan.

Tuntutan PEMBINA sempena PRU 13

Tahun ini bakal melihatkan satu lagi peristiwa besar dalam sejarah Malaysia iaitu Pilihanraya Umum ke 13. PEMBINA sebagai sebuah badan NGO belia yang bersifat non partisan tidak akan terlibat secara langsung dalam mana-mana parti politik yang bertanding. Namun begitu ia tidak menghalang PEMBINA daripada mengikuti perkembangan politik dan memberi respon jika dirasakan perlu. Ini memberikan satu kelebihan kepada PEMBINA selaku NGO non partisan yang bebas untuk menyokong dan mengkritik mana-mana parti tanpa perlu terikat pada sesebuah parti tertentu.

Sempena dengan PRU ke 13 ini PEMBINA ingin membuat beberapa seruan dan tuntutan:

Pertama: Menyeru setiap belia yang telah berdaftar untuk turun mengundi pada hari pilihanraya kerana ia merupakan tanggungjawab dan penentu masa depan negara.

Kedua: Menyeru kepada semua pihak agar tidak mencetuskan sebarang provokasi dan suasana huru hara demi menghormati proses demokrasi dalam sistem negara. Masyarakat di Malaysia mencintakan keamanan dan kestabilan politik di dalam negara.

Ketiga: Parti-parti politik perlu memastikan bahawa tidak wujudnya budaya politik kotor seperti rasuah, samseng, mengeji dan menyerang peribadi lawan kerana ia adalah cerminan politik yang tidak matang.

Keempat: Parti politik melayu Muslim perlu meletakkan calon Muslim bertanding di kawasan yang majoritinya adalah Melayu bagi menjaga kemaslahatan ummat Islam di kawasan tersebut.

Kelima: Parti politik melayu Muslim perlu memastikan bahawa kemaslahatan Islam sentiasa terjaga dengan memastikan anasir-anasir negatif yang boleh mengancam aqidah ummat Islam seperti Syiah, liberalisma, sosialisma dan kristianisasi di haling daripada terus berkembang.

Persatuan Belia Islam Nasional
Sabtu, 16 Februari 2013
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top