Misi Bantuan Banjir Kuantan 2013: Perkongsian Untuk Sukarelawan

BUKAN SEKADAR KENANGAN, MALAH PENGALAMAN YANG BISA MENJADI PANDUAN.

Kuantan

Mengimbau kembali kenangan apabila Daerah Kuantan dilanda banjir teruk penghujung tahun 2013, situasi tersebut adalah sememangnya di luar dugaan dan jangkaan. Baik penduduk sekitar Kuantan yang menjadi mangsa, badan-badan kerajaan mahupun NGO yang membantu, semuanya melalui fasa banjir dan pasca banjir dalam keadaan kurang persediaan setelah beberapa tahun Daerah Kuantan ini tidak dilanda banjir besar sejak tahun 2001.

Buat saya sendiri adalah pertama kali terlibat secara langsung dalam gerak kerja sukarelawan banjir melalui dua agensi utama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA); I-Medik dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Kuantan, mengambil peluang tersebut untuk mengumpul pengalaman dalam pengurusan misi membantu mangsa banjir dari perspektif NGO dan sukarelawan. Ditakdirkan tahun ini, banjir yang melanda Kuantan alhamdulillah tidak sekritikal tahun lepas, tetapi hakikatnya bencana banjir tahun ini adalah lebih besar melibatkan daerah dan negeri lain. Ternyata, antara hikmah banjir 2013 adalah kumpulan pengalaman sebagai sukarelawan banjir yang sememangnya tiada di dalam buku-buku, hanya dapat dikutip melalui pengalaman di medan sebenar. InsyaAllah, saya kongsikan beberapa perkara yang diharap dapat menjadi panduan kepada para sukarelawan yang pastinya berkobar-kobar untuk turun padang membantu mangsa banjir sama ada di pusat pemindahan, mahupun kerja-kerja pembersihan di kawasan kediaman dan kemudahan awam.

ANDA ADALAH SUKARELAWAN
Sukarelawan perlu menyedari hakikat, anda adalah seorang sukarelawan, bukan seorang petugas bencana banjir yang terlatih dalam kerja-kerja menguruskan bencana banjir. Justeru, sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dan yang bertangungjawab supaya kehadiran anda tidak mengganggu pelan gerak kerja sedia ada dan paling utama, anda dapat diposisikan pada keperluan yang sebetulnya. Paling utama kehadiran anda sebagai sukarelawan di dalam pengetahuan pihak berkuasa dan anda tidak melakukan kerja-kerja diluar kemampuan dan kemahiran yang akan menjejaskan keselamatan. Sebagai contoh, I-Medik yang merupakan NGO yang mengumpulkan tenaga pegawai kesihatan dari kalangan doktor, jururawat, MA dan pengamal kesihatan bersekutu sentiasa merujuk Jabatan Kesihatan Negeri sebelum turun ke medan. Begitu juga sukarelawan PEMBINA dan ISMA sebelum melakukan sebarang aktiviti di pusat pemindahan, sentiasa merujuk kepada pihak pengurusan pusat pemindahan untuk menyelaraskan aktiviti-aktiviti di sana.

APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN SEBAGAI SUKARELAWAN?

DI PUSAT PEMINDAHAN MANGSA BANJIR
1. Orang ramai yang prihatin akan menyumbang bantuan pakaian terpakai seperti baju kurung, baju kemeja, tudung, tuala dan sebagainya yang kadang kala berakhir menjadi timbunan baju-baju terpakai, apabila berlebihan.

2. Yang kurang, adalah telekung bersih, kain pelekat, sejadah dan kopiah yang mana kadang kala menjadi alasan mangsa banjir tidak menunaikan solat. Justeru, sumbangan keperluan untuk menunaikan solat ini perlu diberi perhatian agar mangsa banjir dapat menunaikan kewajipan solat yang seharusnya tidak diabaikan lebih-lebih lagi dalam suasana menghadapi ujian bencana alam seperti ini.

3. Kanak-kanak dan remaja di pusat pemindahan antara golongan yang sering diabaikan keperluan fizikal, emosi dan mental mereka. Hakikatnya, golongan ini lebih mudah mengalami trauma melihat rumah dinaiki air, meredah air ke pusat pemindahan dan terpaksa tinggal di pusat pemindahan yang jauh berbeza dari persekitaran normal mereka. Justeru, sukarelawan boleh memberi fokus kepada golongan ini untuk meredakan emosi dan trauma mereka. Aktiviti seperti mewarna, melukis, sukaneka dan bercerita mampu menceriakan mereka. Melihat anak-anak mereka gembira melakukan aktiviti bersama sukarelawan, akan turut menceriakan ibu dan ayah yang pasti jauh lebih tertekan dengan musibah yang melanda.

4. Golongan remaja juga merupakan golongan yang mudah mengalami ‘stress’ dalam musibah ini. Keadaan pusat pemindahan yang padat, tiada ‘privacy’, lari dari rutin seharian, menyebabkan ramai remaja yang hanya berpeleseran, termenung dan membuang masa dengan tiada aktiviti bermanfaat. Sukarelawan boleh membawa permainan ‘indoor’ seperti catur, sahibba, saidina, korum, mahupun menghidupkan semula permainan tradisional seperti batu seremban dan congkak agar mereka dapat sekurang-kurangnya berinteraksi dan melupakan sebentar beban masalah yang ditanggung.

5. Sukarelawan juga boleh memberi ceramah atau perkongsian motivasi, kesihatan dan kaedah bersuci dan menunaikan ibadah solat ketika banjir kepada para ibu bapa. Khidmat kaunseling, walaupun sekadar mendengar keluhan dan memberi kata-kata semangat kepada mangsa, terutama golongan wanita, dapat menunjukkan kebersamaan kita dalam menghadapi musibah ini. Juga, boleh dicadangkan kapada pusat pemindahan banjir, sokongan rohani adalah sangat penting. Sebaiknya, laungkanlah azan ketika waktu solat masuk, hidupkan solat berjemaah, dan mengadakan sesi tazkirah selepas solat fardhu, agar suasana tenang dapat diwujudkan.

KERJA-KERJA PEMBERSIHAN DI RUMAH MANGSA
1. Sukarelawan perlu disediakan mental dan fizikal. Kesan selepas banjir di lokasi adalah pemandangan yang menghayat hati, meruntun jiwa dan boleh melemahkan semangat sekiranya sukarelawan tidak dipersiapkan dengan realiti yang sebenar. Kawasan yang kotor berlumpur, bau busuk bangkai-bangkai binatang yang mati, longgokan perabot yang rosak dan pecah, kadang kala pemandangan ini adalah di luar jangkaan sukarelawan terutama yang tidak pernah terlibat dalam misi banjir.

2. Anda tidak akan mampu untuk membantu membersihkan semua, dan membantu semua mangsa, justeru, lakukan kerja-kerja yang mampu sebaiknya, hakikatnya bantuan anda yang anda akan rasakan terlalu kerdil itu, sebenarnya cukup besar dan bermakna kepada mangsa banjir yang dibantu.

3. Sebaiknya, peralatan kerja-kerja pembersihan dibeli dan dibawa oleh sukarelawan, dan tidak bergantung kepada mangsa banjir mahupun pihak pengurusan banjir tempatan untuk menyediakannya. Kita akan dapati kelengkapan ini akan habis dijual di kedai-kedai di kawasan banjir dan kalau adapun, harganya lebih mahal dari biasa. Antara peralatan pembersihan yang perlu;
• Water jet
• Penyapu berus (yang keras)
• Boot getah
• Sarung tangan
• Pencakar besi
• Wiper lantai (banyak lagi bagus, sangat berguna)
• Sabun lantai & sabun pinggan/mangkuk
• Sponge/Kain buruk – basuh peralatan dapur
• Plastik sampah hitam banyak2
• Kereta sorong
• Penyodok untuk lumpur tebal

4. Sukarelawan dinasihati sentiasa memakai boot getah, mask dan glove sepanjang kerja-kerja pembersihan. Membasuh tangan dengan betul selepas kerja-kerja pembersihan dan sentiasa membasuh tangan sebelum makan. Elakkan makanan terdedah kepada persekitaran. Perlu diingat kawasan banjir adalah kawasan yang kotor, usaha-usaha mengelakkan jangkitan penyakit berjangkit dan keracunan makanan adalah penting untuk memastikan kebajikan sukarelawan dan juga mangsa banjir. Jika ada sebarang luka yang terdedah, tutup rapat-rapat dengan plaster luka.

Akhirnya, kesediaan sukarelawan untuk sama-sama meringankan beban mangsa banjir adalah usaha yang sangat murni. Di saat manusia semakin mengejar material dan kepentingan, masih ramai sebenarnya jiwa-jiwa yang sanggup melakukan amal kebajikan atas dasar membantu saudara seaqidah mahupun atas dasar kemanusiaan, tanpa ganjaran mahupun pengiktirafan. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melalui agensi-agensinya, Yayasan Ikhlas, Bridget BAKTI PEMBINA, berganding bahu bersama I-Medik, Kelab Remaja ISMA dan Biro Wanita, sentiasa mengalu-alukan penyertaan dan sumbangan sukarelawan baik untuk kerja-kerja ‘re packing’ bahan bantuan, mengumpulkan barangan keperluan dan juga yang bersedia untuk turun ke medan dalam kerja-kerja pengagihan barang keperluan dan kerja-kerja pembersihan di rumah-rumah mangsa banjir.

Pengalaman terlibat secara langsung menjadi sukarelawan di kawasan banjir, adalah detik berharga untuk kita merenung kembali upaya diri yang serba kerdil berbanding kuasa Allah Taa’la. Mengembalikan kita kepada Pemilik segala apa yang ada di atas muka bumi ini, dan seharusnya, ujian ini memberi keinsafan untuk menjadi hambaNya yang lebih bersyukur dan dekat denganNya.

Nukilan pengalaman Misi Bantuan Banjir Kuantan, 2013.
Dr Norbaiyah Mohamed Baiyah Bakrim
Aktivis ISMA.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top