Membaca berbelas portal berita sebelum tidur selama 10 tahun yang lalu membantu meningkatkan pengetahuan am Presiden PEMBINA

Bangi, 20 Ogos – Membaca sehingga berbelas portal berita sebelum tidur merupakan rahsia yang diamalkan oleh saudara Eqwan Roslan bagi meningkatkan pengetahuan amnya.

Beliau yang merupakan Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) berkata, amalan itu telah diamalkannya sejak 10 tahun yang lalu ketika di matrikulasi dan masih mengamalkannya sehinggalah ke hari ini.

Beliau berkongsi tentang amalan ini ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup kepada peserta bengkel Debat Intelek PEMBINA hari ini.

Menurutnya, mahasiswa terutama barisan peserta yang merupakan pelopor pasukan Debat Intelek PEMBINA harus berusaha lebih dalam meningkatkan pengetahuan am tentang isu-isu semasa yang berlaku di seluruh dunia.

“Tidak ada cara lain bagi mahasiswa hari ini menguasai ilmu perdebatan melainkan dengan melakukan pembacaan yang meluas dan dari sumber yang pelbagai.

“Mahasiswa perlu ambil tahu tentang isu-isu semasa setiap masa, seterusnya jika perlu, mengkaji isu-isu itu dengan lebih mendalam di samping meniliti hujah-hujah pro dan kontra bagi setiap perkara.

Tambahnya lagi, mahasiswa juga perlu berdisiplin dalam membuat bacaan yang meluas.

“Kita memang tidak mampu untuk mengkaji banyak isu setiap hari. Kerana itu, kajian dan bacaan perlu dilakukan secara sedikit namun berterusan”, ujarnya lagi.

Beliau turut berkongsi pengalaman pertamanya menyertai debat di Manchester sebagai suntikan semangat kepada peserta bengkel untuk menguasai debat dengan lebih serius.

“Ketika di Manchester, kami telah disuruh untuk berdebat tentang satu tajuk berkaitan ekonomi. Semua peserta debat yang lain merupakan pelajar-pelajar antarabangsa yang berkeyakinan tinggi. Mereka bangun dan berhujah dengan penuh lantang.

“Apabila saya amati hujah mereka, mereka tiada hujah yang cukup kuat. Sedangkan saya percaya saya ada penghujahan yang lebih kukuh. Namun, saya tidak bangun pada dua pusingan pertama kerana sangat gementar.

“Tapi saya beranikan diri untuk bangun pada pusingan ketiga dan berhujah. Lantas saya bentangkan hujah-hujah dan fakta yang saya ada. Kemudian saya bangun sekali lagi untuk pusingan penggulungan.

“Di akhir perdebatan, juri kami yang merupakan seorang professor terkemuka dalam bidang ekonomi dan iklim berkata ‘Dalam berdebatan hari ini, kedua-dua pihak memberikan hujah yang seimbang tetapi saya memberikan kemenangan kepada pihak pembangkang, semata-mata kerana hujah yang diberikan oleh dia’, sambil menunjukkan jari kepada saya”, ujar saudara Eqwan.

Kerana itu, tambah beliau, barisan Debat Intelek PEMBINA harus yakin bahawa kita ini ada kefahaman dan pengetahuan yang jelas, namun perlu banyakkan latihan untuk memberanikan diri berhujah dengan jelas, berfakta dan tuntas.

“Dan memang inilah objektif penubuhan kelab Debat Intelek PEMBINA ini, yakni untuk membudayakan kemahiran berhujah dengan jelas dan berfakta ini di kalangan mahasiswa ahli-ahli PEMBINA”, tambah beliau lagi.

Bengkel Debat Intelek PEMBINA ini telah berlangsung pada 19 dan 20 Ogos 2017, dan disertai dengan pertandingan debat mini.

Bengkel anjuran JK Latihan dan Kepimpinan PEMBINA ini telah dihadiri oleh wakil-wakil mahasiswa PEMBINA dari seluruh negara.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top