Meluaskan Dimensi Ketundukan

Allah menetapkan bulan yang diwajibkan berpuasa iaitu bulan Ramadhan, tempoh yang diwajibkan berpuasa iaitu daripada terbit fajar hingga terbenam matahari dan menetapkan perbuatan-perbuatan yang dilarang sepajang tempoh tersebut.

Jika difikirkan, apakah keperluan kesemua ketetapan-ketetapan ini? Kita mungkin dapat menjumpai hikmahnya atau tidak akan menjumpainya. Mengapa perlu dilakukan pada bulan Ramadhan? Tidak bolehkah pada bulan lain? Mengapa perlu sebulan? Mengapa perlu daripada terbit fajar hingga terbenam matahari?

Samaada kita menjumpai hikmah-hikmahnya atau tidak, kita tetap melakukannya kerana kita tunduk kepada arahan dan ketetapan Allah Subhanahu Wataalaa.

Tunduk kepada ketetapan Allah adalah sebuah nikmat dan ketenangan kepada kita selaku hamba. Ia menjamin keselamatan kita di dunia dan di akhirat.

Firman Allah di dalam surah Muddathir:

“Tahukah engkau apakah Neraka Saqar itu? (Ia membakar habis-habisan) tidak membiarkan suatu apa. Ia membakar kulit-kulit manusia. Ia dikawal oleh sembila belas malaikat pengawal. Dan kami tidak jadikan pengawal-pengawal Neraka itu melainkan dari jenis Malaikat.” (Muddathir, 26 – 30).

Kenapa perlu sebanyak sembilan belas? Mengapa Allah tetapkan begitu? Sesetengah manusia bingung dengan ketetapan-ketetapan Allah.

“Dan Kami tidak jadikan bilangan mereka melainkan supaya menjadi ujian kepada orang-orang yang kafir dan supaya orang-orang yang dikurniakan al-Kitab itu yakin kepada (kebenaran Al-Quran) dan supaya orang-orang yang beriman semakin bertambah iman mereka, dan supaya orang mukmin tidak ragu-ragu, dan supaya orang yang berpenyakit di dalam hati mereka dan orang-orang kafir berkata: Apakah tujuan Allah menyebut bilangan ini? Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan memberi hidayat kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.” (Muddathir, 31).

Ketetapan 19 Malaikat dalam ayat di atas adalah ujian ke atas manusia yang tidak beriman dan nikmat yang memberi ketenangan kepada hamba-hamba Allah yang tunduk kepada ketetapan Allah.

Allah telah menurunkan Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam, dengan ketetapan-ketetapan ke atas manusia. Ada yang dapat kita kaji hikmahnya, ada yang tidak diketahui manusia. Ketetapan ini adalah dalam dimensi yang menyeluruh, baik daripada segi tindakan peribadi, ketetapan sosial dan sistem bernegara.

Ketetapan-ketetapan ini adalah bukti kasih sayang Allah kepada kita, dan ketenangan iman meyakini kebaikan yang bakal diperoleh di dunia dan di hari akhirat.

 

Oleh:

Eqwan Roslan

Presiden PEMBINA

Author media

More posts by media

Leave a Reply