Makna sebuah legasi kemerdekaan

bendera
Andai kita mampu merasai kehangatan darah pejuang yang tumpah dalam usaha mencapai kemerdekaan dahulu, mampukah kita sewenangnya melaungkan kalimat merdeka dalam keadaan umat yang membutuhkan satu definisi kemerdekaan yang baru?

Sudah lebih separuh abad tanah tercinta ini dipimpin dalam pemerintahan yang merdeka.Langit dan bumi menjadi saksi akan setiap kepayahan yang terlakar sejak dari zaman pra-merdeka sehingga ke zaman selepas merdeka. Kemerdekaan yang diperoleh selama ini dasarnya didefinisikan sebagai satu bentuk kebebasan daripada tangan-tangan penjajah, dalam meneraju arus pembinaan negara bangsa.

Tetapi selama kita meniti usia kemerdekaan yang menjangkau hampir 58 tahun ini, pernahkah kita tertanya ,apakah benar kita berada didalam sujud seorang hamba yang merdeka? Merdeka yang dimaknakan sebagai kebebasan daripada kepompong pemikiran kebaratan yang menyeru kepada jahilliyah yang merosakkan.Dan akhirnya menjadi hamba yang memahami bahawa erti kemerdekaan yang sebenar hanya akan dimiliki apabila dirinya mempunyai jiwa kehambaan sejati kepada Allah Yang Maha Memiliki.

Adakah kita bangsa yang merdeka?

Saban waktu, permasalahan yang melanda anak watan kita ini semakin tepu.Setiap lapisan generasi nusa bangsa ini semakin hilang nilai pertiwinya dan terjebak dalam gelojak kemungkaran yang akhirnya membawa kepada keruntuhan moral dan nilai murni. Apakah nilai kemerdekaan andai rakyatnya tidak bermoral dalam bertamadun?

Katanya Saidina Ali; “Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini”. Harga sebuah negara yang berdaulat itu dibayar oleh nilai para pemudanya. Tetapi, realiti pemuda harapan ibu pertiwi ini terlalu perit untuk diakui. Pemuda yang kita harapakan dalam mewarisi legasi kemerdekaan ini hanyut dalam melayan fasa pemberontakan yang tidak berkesudahan. Isu ‘Mat Rempit’, dadah, gansterisme menjuarai dada-dada akhbar tempatan. Alangkah tidak matangnya jiwa-jiwa pemuda ini dalam menongkah arus kedewasaan. Leka dengan maksiat yang tidak berkesudahan. Tertegun dengan keindahan dunia fana yang diillustrasikan oleh syaitan. Dan mindanya teracun dengan bahana pemikiran moden yang kononnya melambangkan kemegahan.

Andai pemuda menjadi cerminan kepada peradaban sebuah negara, di mana nilai para pemudi dalam mencorak sebuah ketamadunan bangsa? Permulaan sebuah masyarakat yang bertamadun bermula dengan peranan wanita dalam mendidik keturunannya. Wanita yang bermaruah dan berilmu bakal melahirkan generasi pejuang yang setia pada negaranya, ikhlas pada bangsanya. Namun, golongan pemudi yang bakal menjadi ibu bangsa pertiwi ini pula rancak berlumba siapakah yang mampu menggegarkan rusuk-rusuk murahan melalui pesona kecantikan yang dimiliki. Media sosial tanpa sempadan menjadi galeri jalanan tempat mejual diri.Soal maruah diri menjadi pekara picisan dalam kehidupan seharian. Hilang sudah tutur kata santun warisan. Hilang sudah rasa malu, malah ada yang berbangga dengan dosa yang meruntun kalbu.

Jiwa muda itu, sering merintih sendu agar dikembalikan kepada Tuhannya yang satu. Namun acapkali disalahertikan dengan perbuatan yang mengikut acuan duniawi. Pegaulan bebas, penagihan dadah, sumbang mahram, pembuangan anak dan zina yang tidak berkesudahan menjadi satu normalisasi dalam masyarakat kini. Demi Allah, pilu mengenangkan akan hakikat bahawa anak muda kini yang semakin kehilangan jati diri.Bayangan agama dan Al-Quran didalam diri semakin menyepi.

Apakah pemuda kita legasi kemerdekaan warisan negara?

Golongan tua wajar dihhormati kerana mempunyai hikmah yang tinggi. Kebijaksanaan yang lahir daripada pengalaman jerih payah kehidupan menjadikan mereka golongan yang layak memimpin legasi kemerdekaan ini. Walaubagaimanapun, peranan memimpin yang disandarkan kepada golongan tua, kian dikhianati tanpa disedari. Golongan ini tenggelam dalam arus globalisasi yang menekan lantas membuatkan mereka alpa bahawa merekalah tauladan generasi hadapan. Kehidupan yang memakan usia, tanpa panduan agama, sememangnya satu pekara yang amat sia-sia. Pimpinan kita terlalu leka dalam percaturan politik yang menggila dan rakus dalam mengejar kuasa. Kesepakatan yang diharapkan dalam pimpinan islam untuk mendaulatkan agama dijadikan bahan jenaka semata. Masing-masing diibaratkan “bagai balam dengan ketitir”. Adakah mereka lupa bahawa setiap urusan itu pasti akan dipersembahkan kepada Maha Penguasa ketika di akhir sana nanti? Adakah mereka lupa bahawa mereka memikul amanah dan tanggungjawab yang telah diamanahakan oleh pejuang kemerdekaan bangsa terdahulu?Adakah mereka lupa bahawa merekalah yang menjadi guru dalam mencorak legasi kemerdekaan kini?

Adakah mereka pemimpin yang merdeka?

Realitinya,dalam usaha kita memaknai erti kemerdekaan yang sebenar,kefahaman akan asas pembentukan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka itu harus difahami oleh setiap warganegara yang mendiami tanah ini. Tanah ini hak milik umat islam. Akan kita bangunkan umatnya. Memimpin sejahtera semua bangsa di bawahnya.Kunci kepada pembentukan kemerdekaan ini adalah semangat patriotisme yang lahir daripada manifestasi syahadah agung:

“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang sebenar) melainkan Allah, dan aku juga bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah”.

Kekuasaan yang disandarkan kepada Allah semata-mata akan melahirkan pejuang tanah air yang ikhlas dalam mencintai dan memelihara tanah airnya. Peradaban sejarah Tanah Melayu mencatatkan bahawa perjuangan kemerdekaan tanah ini bermula seawal detik Portugis menyerang Melaka. Kesultanan Melayu Melaka yang berada di bawah kekuasaan khilafah islam pada ketika itu berjuang bermatian dalam mempertahankan bumi islam Melaka yang berdaulat. Namun, kekalahan yang dialami bukan beerti kegagalan, tetapi ianya merupakan obor semangat kepada siri-siri penetangan yang menyusul selepas itu. Perjuangan kemerdekaan yang lahir itu berbenih daripada tunjang akidah kepada Ilahi.

Soekarno pernah berkata; “Bangsa yang tidak percaya akan kekuatan diri tidak dapat berdiri sebagai suatu bangsa merdeka”. Sesungguhnya kekuatan diri itu bergantung sepenuhnya kepada kekuatan hubungan kita dengan Tuhan. Maka nilai akidah islam yang tinggi dan mulia itu menjadi pasak kepada kemerdekaan bumi tercinta ini. Justeru itu, di mana nilai akidah bangsa merdeka ini jika diukur berdasarkan situasi masyarkat sekarang? Adakah peristiwa merdeka dalam lipatan sejarah itu bermakna kita merdeka daripada pegangan akidah yang satu ini? Tentu sekali tidak. Bahkan tali tauhid yang menghubungkan kita amat perlu diperkukuhkan, seiring dengan perubahan zaman. Jati diri rakyat sebagai seorang individu muslim harus dikembalikan semula! Kerana inilah asas binaan dalam mencapai sebuah negara merdeka yang aman harmoni.

Maka bagi menyambut kemerdekaan kali ke-58 ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah dalam mencari kembali erti sebenar sebuah kemerdekaan. Kita semua adalah legasi kemerdekaan yang bakal memimpin negara ini suatu hari nanti. Kita bertanggungjawab bersama dalam memikul amanah untuk menjaga negara ini daripada pelbagai sudut ancaman. Hiburan yang melalaikan sewaktu acara sambutan kemerdekaan harus segera dihentikan. Anak muda yang leka harus dikejutkan semula daripada fantasi pembebasan jiwa mengikut nafsu yang tidak dipandu oleh wahyu. Barisan kepimpinan negara mestilah mengkoreksi diri dan meletakkan keutamaan rakyat dan negara sebagai prioriti. Kemerdekaan ini adalah warisan yang perlu dipertahankan. Kerana di tanah air inilah, bakal lahirnya legasi-legasi kemerdekaan yang akan membawa Malaysia kearah pembinaan sebuah ketamadunan islam yang gah dan berdaulat.

Oleh,

Nur Nabilah Husna bt Rosli

JKC Informasi dan Kajian II

PEMBINA IPOH