Buat mahasiswi di menara gading, Biasakan yang luar biasa

Saya tidak pasti kematangan diri saya wujud lebih awal daripada rakan–rakan seusia saya disebabkan faktor saya anak pertama atau mempunyai adik-beradik yang ramai tetapi yang ingin saya tekankan ialah kematangan ini mendidik diri saya untuk menjadi wanita yang memikirkan generasi masa depannya.

Kematangan ini mengajar saya untuk membiasakan diri dengan tanggungjawab ‘saya akan menjadi suri rumah suatu hari nanti’. Namun, usah tersilap jika saya katakan menjadi suri rumah bukan bermakna menjadi wanita yang duduk di rumah dan tidak bekerja semata-mata.

Menjadi suri rumah dengan erti kata sayalah yang akan menyerikan rumah tangga saya dengan perhiasan ketakwaan kepada Allah, akhlak yang mulia dan ibadat yang sahih kepada anak-anak saya, makanan yang halal dan baik untuk ahli keluarga serta hiburan yang mendidik jiwa. Nampak tidak realistik dan teori bukan? Namun itulah yang sepatutnya ada pada diri setiap wanita yang bernama muslimah. Disebabkan timbulnya tanggungjawab itu, maka saya melatih diri saya membiasakan diri melakukan urusan-urusan rumah tangga sejak di zaman mahasiswi lagi.

Saya menahan mata di saat orang lain menarik selimut selepas solat subuh. Saya merajinkan diri menyediakan sarapan walaupun untuk diri sendiri dan kadang kala untuk teman serumah. Ada kalanya, senior meminta saya menjaga anak mereka, saya bersetuju demi kebiasaan dengan pendidikan anak-anak (tarbiatul aulad). Rumah sewa bersepah dan berhabuk, saya rajinkan diri untuk menyapu walaupun hati berbisik ‘siapa yang nak kisah rumah sewa kau bersih ke tak’. Tetamu datang ke rumah walaupun rakan sekuliah, saya jamu mereka dengan secawan teh andai itu sahaja yang ada ketika itu. Semua ini kerana “alah biasa tegal biasa”.

Kita, wanita hari ini bukan seperti wanita di zaman opah dan nenek kita. Pendidikan telah mengubah status zaman muda kita menjadi wanita berintelektual tinggi. Oleh itu, masa ‘anak dara’ kita dihabiskan di asrama universiti ataupun rumah sewa jauh daripada keluarga. Jika tinggal bersama keluarga, kini hidup kita lebih mudah, semuanya ada disiapkan oleh ‘orang gaji’.

Disebabkan hal ini, semakin hari semakin pudar nilai kewanitaan itu. Masa lapang yang terlalu banyak diisi dengan angan-angan kosong cinta palsu, lelaki korea dan drama kahwin paksa sehingga kita terlupa selepas episod ini semua, ada satu episod yang menuntut tanggungjawab kita sebagai seorang wanita; menjadi penyeri rumah tangga.

Wahai mahasiswi, masa hadapan kita menuntut anda untuk berkorban.

Hipokrasi memang hanya boleh bertahan dua tiga hari jika anda katakan anda mampu melakukan sesuatu yang jarang anda lakukan tetapi kebiasaan yang selalu kita lakukan memang sukar untuk ditinggalkan. Suasana zaman belajar memang tidak menyediakan prasarana yang mendidik nilai kewanitaan kita terutama pengurusan rumah tangga. Tinggal kita untuk mencari ruang dan peluang untuk mengisi dada dengan pendidikan itu dan menjadikannya kebiasaan dalam kehidupan mahasiswi.

Jadikan masa terluang terutama cuti semester untuk melatih diri mempersiapkan diri menjadi penyeri rumah tangga. Zaman ini penceraian berlaku dengan kadar yang tinggi, zaman ini masalah sosial makin menjadi-jadi namun zaman ini wanitanya kebanyakan berpendidikan tinggi. Seharusnya semakin hari nilai keluarga menjadi lebih baik kerana wanita yang berperanan dalam pengurusan rumah tangga semakin bijak dan berintelektual tinggi namun mengapa jadi sebaliknya? Sesuatu yang harus dimuhasabah semula.

Sebagai langkah solusi, ingin saya kongsikan tips mahasiswi patut lakukan untuk menjadi Wanita High Class:

  1. Luangkan masa untuk membaca buku pendidikan anak-anak (tarbiyatul aulad) kerana realitinya anda tidak akan sempat menyelak buku setelah mendapat anak
  2. Berjumpa dengan wanita yang sudah berpengalaman lama dalam rumah tangga untuk mengetahui tips-tips pengurusan keluarga yang terbaik
  3. Ambil peluang menjadi pembantu guru tadika ketika cuti semester supaya anda belajar cara melayan kerenah anak kecil selain boleh mendapat duit poket tambahan
  4. Belajar memasak pelbagai jenis resepi dan teknik memasak dengan cepat dan mudah kerana nanti anda menjadi wanita bekerjaya perlu menjimatkan masa dan tenaga
  5. Pergi ke kelas agama atau mengikuti program untuk mempelajari fikh wanita dan fikh ibadat.

 

atiqah azis
Nur Atiqah Azis
JKPO Pembina Seri Iskandar

1 thought on “Buat mahasiswi di menara gading, Biasakan yang luar biasa”

  1. Pingback: BUAT MAHASISWI DI MENARA GADING, BIASAKAN YANG LUAR BIASA – Zon Beliawanis

Leave a Reply to BUAT MAHASISWI DI MENARA GADING, BIASAKAN YANG LUAR BIASA – Zon Beliawanis Cancel Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top