BANGI, 29 April – Mahasiswa di seluruh Malaysia yang akan mengundi pada 9 Mei ini diseru supaya keluar daripada belenggu blok kepartian dan seterusnya mengundi berdasarkan prestasi calon. Azam Muhammad Asri, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) memberi kenyataan ketika ditemuramah selepas sidang media di Bangi.

Dalam kenyataan mereka, PEMBINA turut menyatakan bahawa undi rosak bukan jalan yang betul untuk mengubah keadaan kepimpinan negara sekarang. Kempen  #UndiRossk ini adalah satu kempen yang digerakkan oleh aktivis Projek Dialog.

“PEMBINA menegaskan bahawa gerakan #UndiRosak adalah satu gerakan yang tidak matang dan gagal. Ia juga satu gerakan yang tidak bertanggungjawab dengan melepaskan tanggungjawab yang telah diamanahkan untuk memilih calon wakil rakyat bagi penggal baru,” jelas Azam.

PEMBINA telah mengambil jalan membuat tinjauan bagi melihat reaksi mahasiswa terhadap kempen ini. Sebanyak 85% daripada 1020 reponden tidak langsung terkesan dengan kempen ini.  Mereka hanya belum membuat keputusan untuk mengundi siapa sahaja calon atau parti pilihan mereka.

“Pemilihan calon yang berwibawa terletak di atas kebijaksanaan mahasiswa untuk menilai siapa yang akan membawa suara umat Islam di parlimen kelak. ”

Pilihanraya Umum ke-14 akan diadakan pada 9 Mei ini iaitu pada hari Rabu. Seluruh rakyat Malaysia akan turun mengundi pada tarikh tersebut.

 

Azam bersama pimpinan PEMBINA dan wakil cawangan ketika sidang media.