was successfully added to your cart.

Mahasiswa Muslim mesti proaktif, tidak cukup dengan responsif!

pembina

FASA pembentukan mahasiswa adalah satu fasa pertengahan antara fasa sekolah dan fasa pekerjaan. Oleh itu, dalam menguasai fasa mahasiswa ini, kita lebih cenderung melakukan banyak pemerhatian dan mula mencari identiti diri.

Pengaruh rakan dan suasana sekeliling adalah antara faktor yang paling banyak menyumbang dalam pembentukan diri seorang mahasiswa.

Malah, fitrah peringkat usia bagi seorang mahasiswa kebiasaannya dipenuhi dengan semangat juang yang tinggi dan sentiasa bersemangat dalam melakukan pelbagai perkara baharu.

Namun, melihat kepada rantaian politik sekeliling bermula daripada arena politik antarabangsa hinggalah ke arena politik kampus, kecelaruan yang berlaku dalam setiap arena politik gagal menjadi contoh yang baik kepada jiwa mahasiswa yang dahagakan hala tuju yang benar.

Bahkan, baru-baru ini politik kampus Malaysia digemparkan dengan berita mahasiswa dikelar ketika kempen pilihan raya kampus di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), lantas membuktikan sikap ketidakmatangan mahasiswa dalam meneraju arus politik kampus.

Lantaran itu, lahirlah golongan mahasiswa yang mengekspresikan kekecewaan mereka dengan bersikap responsif dengan masalah yang timbul. Sebagai contoh, mahasiswa memilih untuk berdemonstrasi kepada pihak atasan dalam menyampaikan kehendak mereka.

Sebahagian mahasiswa juga termakan racun politik kepartian negara lalu menyertai demonstrasi jalanan bagi menumbangkan kerajaan sedia ada atas alasan mereka berhak mengekspresikan rasa marah terhadap masalah politik negara.

Menyangka mereka berjuang atas satu dasar yang benar, namun hakikatnya mereka dipergunakan untuk perjuangan yang kononnya mahu membaik pulih situasi negara.

Mudah kata, mahasiswa senang untuk menjadi responsif atas alasan itu adalah perjuangan!

Namun, dengan menjadi mahasiswa responsif sahaja tidak akan berjaya membawa sebuah perjuangan ke tahap yang lebih tinggi. Malah, bersikap responsif juga tidak akan cukup untuk menyumbang ke arah perubahan negara yang lebih maju.

Ianya satu sikap yang bersifat tidak kekal. Kerana realitinya kita memerlukan perubahan dari dalam (inside out) yang memerlukan mahasiswa untuk lebih bersikap proaktif yang memimpin perubahan yang lebih tersusun dan terarah, berbanding sikap responsif yang hanya akan membawa kepada perubahan yang melulu.

Mahasiswa Muslim proaktif dalam mengasimilasikan ilmu akliah dan ilmu wahyu.

Sebagai seorang pelajar yang lahir daripada sistem pendidikan negara, saya tidak dapat menyangkal bahawa terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan kita yang sebenarnya gagal dalam mengasimilasikan kedua-dua ilmu akliah dan ilmu wahyu.

Walaupun sudah ramai mahasiswa yang pernah bersekolah agama pada peringkat sekolah rendah ataupun menengah, penggabungan antara ilmu agama dengan ilmu ‘dunia’ seperti ilmu sains dan teknologi gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Sedangkan sejarah ketamadunan Islam yang hebat pada masa silam bertitik tolak daripada usaha asimilasi kedua- dua ilmu itu.

Namun kini, kedua-dua ilmu tersebut seakan terpisah dan tidak nampak akan hubungkaitnya. Lantas, kegagalan pelajar dalam menggabungkan ilmu akliah dan ilmu wahyu sejak sekolah berterusan sehingga mereka bergelar mahasiswa, kerana di universiti kita sudah dididik untuk berada dalam jurusan yang begitu spesifik dan hanya berlegar dalam ruang lingkup bidang itu sahaja.

Dan hasil daripada kegagalan sistem ini akhirnya melahirkan golongan profesional yang keliru dan buntu. Justeru, lahirlah individu-individu seperti pemimpin yang berkarisma tetapi korup, pegawai yang mempunyai reputasi tetapi pecah amanah, ahli politik yang pandai berbicara tetapi kata-katanya tipuan belaka dan ahli sains yang bijak tetapi bongkak.

Sekiranya mahasiswa itu seorang yang proaktif, walaupun dia dapat mengenal pasti kegagalan sistem pendidikan sedia ada bahkan dia juga merupakan hasil daripada sistem berkenaan, sikap proaktif yang dimilikinya akan menjadikan dia bertindak melakukan perubahan dari dalam (inside out) bermula dengan dirinya sendiri.

Bukannya hanya menjadi responsif dengan segala omelan dan kutukan tanpa memberi apa-apa sumbangan.

Contohnya, sekiranya kita seorang mahasiswa yang mengambil bidang sains, gunakanlah bidang itu untuk memberi kefahaman kepada diri dan orang lain mengenai kebesaran ciptaan Tuhan.

Sekiranya kita seorang mahasiswa dalam bidang perundangan, jadikanlah bidang berkenaan sebagai satu jalan untuk menyumbang kepada sistem yang lebih adil.

Sekiranya kita seorang mahasiswa dalam bidang pendidikan, gunakanlah bidang itu untuk mendidik generasi hadapan menjadi insan yang mengenal Tuhan.

Mudah kata, dengan adanya sikap proaktif mahasiswa bermula dari sekarang, generasi baru yang lebih berwibawa dapat dilahirkan.

Mahasiswa proaktif menguasai pelbagai bidang

Mahasiswa proaktif pasti mengambil teladan ilmuwan Islam yang menguasai pelbagai bidang. Ambillah contoh daripada Ibnu Khaldun – walaupun kerjayanya dalam bidang perundangan, ternyata minatnya dalam ilmu sejarah masih dapat dimanfaatkan.

Contohilah Ibnu Sina – terkenal dalam bidang perubatan, tetapi alim juga dalam ilmu hadis dan juga seorang hafiz.

Contohilah Imam Ghazali – walaupun terkenal dalam bidang tauhid, fiqah dan tasawuf tetapi mahir juga dalam bidang astronomi, falsafah dan bahasa.

Hakikatnya, ilmu ini tidak terbatas dalam satu bidang sahaja. Walaupun kita seorang mahasiswa dalam bidang kejuruteraan, tetapi kita masih mempunyai pilihan untuk menguasai ilmu agama, ekonomi, sosiologi dan sebagainya.

Walaupun kita seorang mahasiswa dalam bidang sastera, kita sebenarnya mampu untuk menguasai bidang sains.

Kita adalah generasi mahasiswa Muslim yang hebat, dan ini semua bermula dengan nilai ketauhidan dalam diri yang bakal membentuk jati diri proaktif dalam diri kita.

Antara kelebihan utama sekiranya mahasiswa mendalami ilmu dari pelbagai bidang adalah mahasiswa itu dapat membuka ruang lingkup pemikirannya dengan lebih meluas.

Jika dahulu penilaian dalam membuat keputusan hanya terbatas dengan kemahiran dan medan ilmu yang sempit, kini parameter pemikiran akan menjadi lebih luas dengan adanya penguasaan ilmu dalam bidang lain. Pilihannya sama ada kita mahu untuk bersikap proaktif atau tidak.

Kesimpulan

Masyarakat Malaysia kini sudah mula mahukan perubahan. Namun perubahan yang diinginkan lebih daripada sekadar perubahan ekonomi dan pembangunan semata-mata.

Kerana kita sudah menyaksikan bahawa sudah lebih separuh dekad kita mengejar cita-cita untuk menjadi negara maju dan membangun, tetapi nampaknya nilai individu dalam entiti masyarakat kita semakin mundur.

Dan kita sebagai mahasiswa, bertanggungjawab mencorak perubahan negara pada masa akan datang. Jika kita berasa puas dengan sikap responsif kita dalam memaksa sesuatu perubahan untuk dilakukan, yakinlah bahawa perubahan itu hanya bersifat sementara dan tiada hala tuju.

Namun, sekiranya kita mengambil langkah untuk menjadi mahasiswa proaktif yang melakukan perubahan nilai hidup bermula dengan diri sendiri, nescaya masyarakat dan negara yang lebih baik akan dapat dibina. Malah tidak mustahil untuk kegemilangan peradaban dan tamadun masyarakat kita pada suatu ketika dahulu dapat didirikan semula.

Nur Hanis Mohamad Noor
Aktivis PEMBINA Eropah

Author media

More posts by media

Leave a Reply