Ledakan Aktivisme di Tahun Baru Hijrah!

Kedatangan bulan Muharam memberi penanda kepada Umat Islam bahawa kita sedang menghadapi tahun baru 1434 Hijrah. Penggunaan kalendar Hijrah yang dimulakan pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab telah memberi paradigma baru kepada dunia Islam membuktikan penguasaan ilmu dan teknologi Falak pada ketika itu. Lantas kalendar Hijrah juga membuktikan kesyumulan Islam yang tidak hanya menyentuh soal ibadat, tetapi turut meliputi hal pentadbiran hidup manusia. Justeru, awal Muharam perlu dihayati dari konteks Islam sentiasa membina ketamadunan dan umat Islam perlu sentiasa membawa perubahan yang positif kepada Islam.

Hijrah bermaksud meninggalkan suatu tempat menuju ke tempat lain. Hijrah juga boleh diertikan perubahan daripada suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lebih baik. Melihat kepada keadaan umat Islam sekarang khususnya mahasiswa, PEMBINA menyeru kepada semua mahasiswa dan mahasiswi, belia dan beliawanis untuk berhijrah kepada meningkatkan aktivisme dan berusaha membina kesatuan antara umat Islam. Dengan mengambil semangat dan pengajaran dari Hijrah agung Rasulullah SAW, kita perlu mempertingkatkan diri supaya menjadi benteng kepada ancaman pada hari ini.

Ibrah dari Sirah

Dalam peristiwa Hijrah agung Nabi Muhammad SAW tercatat beberapa nota-nota berharga yang boleh mahasiswa dan mahasiswi ambil untuk dijadikan pengajaran penting. Sewaktu Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar bermalam di Gua Thur selama 3 malam, seorang anak muda bernama Abdullah bin Abu Bakar telah membantu Rasulullah dengan bermalam berdekatan mereka. Apabila tiba waktu sahur, Abdullah akan kembali ke Mekah dan mengintip-intip sebarang perbualan berkaitan perancangan untuk menghalang Hijrah Baginda. Tiba waktu malam, beliau akan kembali ke Gua Thur dan menyampaikan berita tersebut kepada Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar. Bagi mengelakkan strategi ini dikesan oleh musuh, Abdullah telah meminta Amir bin Fuhayrah membawa kambing-kambingnya mengikut jejak tapak kakinya supaya kesan tersebut akan hilang.

Peranan Beliawanis

Asma’ binti Abu Bakar antara contoh beliawanis yang menyumbang dalam Hijrah Rasulullah SAW. Selepas Kafir Quraisy menyedari Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar telah keluar dari Mekah, mereka cuba mendapatkan informasi pelbagai pihak termasuk Saidina Ali bin Abu Talib tetapi gagal. Akhirnya Abu Jahal telah bertemu Asma’ untuk menanyakan dimana Abu Bakar, ayahnya. Apabila dia menjawab tidak tahu, Abu Jahal telah menampar pipi Asma’ sehingga menyebabkan terjatuh anting-antingnya.

Beliau juga yang menyediakan makanan sebelum Rasulullah dan Saidina Abu Bakar memulakan Hijrah. Apabila mereka sudah hendak memulakan perjalanan, Asma’ mendapati tali pengikat bekalan makanan pada kenderaan tersebut tidak ada. Maka beliaupun mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua bahagian, satu dijadikan tali mengikat makanan dan satu lagi sebagai tali pinggangnya. Dengan sebab peristiwa ini, beliau digelar “Empunya Dua Tali Pinggang”.

Sejarah yang Pasti Berulang

Melihat kepada kisah diatas, mungkin ramai yang mengatakan bahawa peranan-peranan tersebut tidak penting dan tidak signifikan kepada perubahan. Namun, apa yang ingin ditekankan ialah bagaimana mereka berusaha keluar dari kepompong keselesaan, memikirkan strategi supaya peranan mereka dapat berjalan dengan baik dan bersedia menghadapi tentangan dari kaum kafir Quraisy. Semangat inilah yang perlu ada pada Umat Islam khususnya mahasiswa dan mahasiswa sekalian.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Senantiasa ada satu umat dari umatku yang menegakkan kebenaran. Mereka tidak boleh dibahayakan oleh sesiapa yang menentang sehingga datang hari kiamat dan mereka tetap di dalam keadaan mereka”

Tentangan untuk menghancurkan Islam akan sentiasa berlaku disetiap zaman. Keperluan untuk berhijrah itu akan sentiasa ada. Samada perubahan tempat ataupun perubahan keadaan yang lebih baik. Persoalannya, adakah kita bersedia untuk berhijrah, dan menyumbang kepada hijrah tersebut?

Untuk berhijrah kita perlukan perubahan dari dalam diri. Bermula dengan niat yang ikhlas kerana Allah Taala dan beriman kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Mulakanlah aktivisme kita bermula saat ini. Saat kita menyambut Tahun Baru Hijrah dengan mengambil semangat dari peristiwa Hijrah Rasulullah SAW.

Ledakan Aktivisme di Tahun Baru Hijrah

“Meneraju Arus Mahasiswa”

 

Muhammad Uzair Izzat Amir bin Muhamad,

JK Politik Kampus PEMBINA.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top