Mahasiswa Korban Masa untuk Bakti Masyarakat

Mahasiswa Korban Masa untuk Bakti Masyarakat

Bukit Katil, 1 Mei – Sebuah program yang diberi nama Sekawah Bersama berkonsepkan bakti sosial telah berjaya menarik ramai mahasiswa seluruh Melaka mengorbankan cuti hujung minggu mereka untuk menyumbang kepada masyarakat semalam. Program yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) Melaka diadakan di Masjid Raudhatul Jannah, Bukit Katil bertujuan menyedarkan mahasiswa akan peranan mereka di tengah masyarakat serta cakna akan isu semasa.

Pengarah program Kamarulhelmy ketika ditemui berkata “Kami mengadakan program ini bertujuan mengajak mahasiswa menyedari peranan mereka yang bukan sahaja menelaah pelajaran di universiti, bahkan sebenarnya masyarakat ternanti-nanti sentuhan mahasiswa memberi bakti kepada mereka”.

Antara yang menarik pada program ini, mahasiwa menyediakan khidmat cucian kereta berbayar kepada pengunjung dimana hasil disumbangkan sepenuhnya ke tabung Rohingya.

“Alhamdulillah, kami bersyukur dan seronok sangat dapat bersama jayakan program ini. Terutama apabila kami dapat sumbangkan tenaga mencuci kereta penduduk setempat dan bayaran disumbangkan kepada warga Rohingya. Moga dengan sedikit usaha kami dapat menyedarkan ramai lagi mahasiswa tentang nasib saudara kita di Rohingya yang telah dirampas hak mereka”, ujar Alif pelajar tahun satu Universiti Teknikal Melaka, antara mahasiswa yang turut serta.

Kempen kesedaran nasib warga Rohingya disemarakkan lagi dengan ceramah yang disampaikan oleh seorang tokoh yang terlibat langsung dalam misi kemanusiaan di sana, Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin. Beliau dalam ceramahnya menyeru para hadirin untuk belajar daripada sejarah supaya nasib bangsa kita tidak tergadai di tanah air sendiri.

Program ini turut mengadakan pelbagai aktiviti untuk semua lapisan umur seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, pencarian Sang Bilal, Kempen Jom Baca Alquran, SPA tangan dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Disediakan oleh Wartawan PEMBINA Melaka.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top