Konsert Selena Gomez PEMBINA

Konsert Selena Gomez: Hedonisme Racun Kapitalis

Satu demi satu konsert hiburan ditentang umat Islam dari dianjurkan di negara ini, Selena Gomez pula dijadualkan mengadakan konsert Selena Gomez : Revival Tour di Stadium Tertutup Melawati pada 25 Julai ini.

Saya pelik, Selena Gomez bukan artis yang popular di Malaysia. Dia pun pernah membatalkan konsert sebelum ini di Malaysia. Rakyat Malaysia boleh hidup tanpa dia, tanpa nyanyian dia. Jadi tak perlu buat konsert pun tak apa. Maka, mengapa penganjur membawa artis ini ke Malaysia kalau bukan untuk memanipulasi wang ringgit rakyat Malaysia untuk menyuburkan kembali Hedonisme dan mengaut keuntungan semata-mata?

Sikap Materialistik penganjur konsert ini dikecam sekeras-kerasnya, di mana syarikat-syarikat ini mengaut keuntungan berlipat ganda dari penjualan tiket dan penajaan yang boleh mencapai kutipan dan penajaan jutaan ringgit!

Sikap mereka ini seumpama Kapitalis yang menjadi kaya raya dengan menjual racun untuk membunuh akhlak, merosakkan pemikiran dan masa berharga anak muda di Malaysia tanpa mengira kesan sosial dan akhlak di kalangan mahasiswa dan belia di Malaysia!

Mereka tidak sensitif dengan rakyat Malaysia yang menolak konsert hiburan yang membuang masa, merugikan wang ringgit dan tidak menyumbang kepada pembangunan akhlak dan sahsiah rakyat Malaysia! Sudahlah mengaut keuntungan, mereka tidak peduli apa jadi pada anak bangsa.

Kita sebagai rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam perlu melihat dalam konteks kesan jangka masa panjang kepada generasi muda Malaysia dan terus menerus menolak penganjuran konsert-konsert hiburan ini kerana kita percaya bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang mengangkat nilai-nilai murni, kesopanan, kesusilaan dan akhlak yang tinggi.

PEMBINA menolak sekeras-kerasnya penganjuran konsert Selena Gomez yang mempromosikan hedonisme Barat. Konsert ini juga dikhuatiri mencemarkan kemuliaan bulan Syawal dengan konsert yang mencampurkan lelaki dan perempuan dengan hiburan yang melampau. Lupakah kita pada kes kematian akibat pengaruh dadah, artis Kpop yang memeluk dan mencium anak gadis Melayu, yang berlaku ketika konsert-konsert hiburan berlangsung? Pihak penganjur dan Selena Gomez perlu menghormati pendirian dan prinsip rakyat Malaysia beragama Islam yang tidak bersetuju konsert ini diadakan di negara ini.

Saya menyeru kepada rakyat Malaysia terutama mahasiswa sekalian,
Marilah kita berfikir lebih jauh dari kepentingan diri dan kehendak peribadi, dan memikirkan akibatnya kepada masyarakat, negara dan generasi akan datang. Konsert ini bukan yang terakhir, jika kita tidak bertindak, ia akan diteruskan dengan pelbagai konsert-konsert hiburan lain yang akan berterusan melalaikan, merugikan masa dan wang ringgit anak muda Malaysia.

Keluarlah dari kepompong hidup yang penuh individualistik dan materialistik, kita tak mahu diracuni pula dengan racun hedonisme dari pelbagai jenis hiburan (Kpop, Hindustan, Online Games, Konsert Liar, Hollywood dan sebagainya).

Tunjukkan solidariti menolak penganjuran konsert-konsert hiburan ini, kita ajar para kapitalis-kapitalis itu, “Malaysia bukan destinasi untuk Konsert Hiburan!”

Khairunnisa binti Mazlan
Ketua Beliawanis PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top