Konsert Di Bukit Jalil dibatalkan setelah berlaku kematian?!
Bertapa murahnya nilai nyawa seorang manusia hari ini. Bukan seorang, malah 6 orang! Nilai nyawa hanya untuk dibazirkan di konsert?! Ya benar ajal maut ditangan tuhan. Tetapi ini bukanlah sesuatu yang menggembirakan.
Penganjur menyatakan terkilan kerana konsert dibatalkan dan memohon maaf kepada pengunjung yang datang dari seluruh pelusuk negara.
Bagaimana dengan perasaan ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang mereka? Tidakkah itu lebih menyedihkan?! Tidak perlu memohon maaf kepada ahli keluarga?
Ya benar, penganjur mengatakan “Kami hanya menganjurkan konsert. Pengunjung yang bersalah kerana mengambil dadah atas keinginan sendiri. Bukan kami yang beri!”
Saya ingin bertanya, apakah kebaikan penganjuran konsert ini kepada anak muda? Menambah ilmu? Membina intelektual? Menambah iman kepada Allah swt? Menambah pahala? Apa kebaikannya ? Nyatakan.
Umumnya penganjuran konsert seperti ini hanya akan mengundang gejala sosial. Benar penganjur tidak menjual dadah, tetapi ia mengundang pengedar-pengedar dadah untuk mengambil kesempatan.
Kerana itu mencegah lebih baik daripada merawat. “Prevention is better than cure”. Islam telah ajar perkara ini lebih 1500 tahun dahulu iaitu ‘Saddu Zara’i”. Menutup segala ruang yang boleh menyumbang kepada kemudharatan.
“Kami hanya mahu berhibur!”
Ya betul, siapa halang kamu untuk berhibur. Tapi hiburan juga ada batas. Semua perkara ada batasnya. Makan juga ada batas. Apa jadi jika kita makan apa saja tanpa kira racun atau bukan dan makan semahu mahunya tanpa henti? Boleh membawa maut! Begitu juga berhibur. Islam kata, berhiburlah. Tetapi bukan sampai meragut nyawa.
Penganjur harus bertanggungjawab kerana membuka ruang kepada berlakunya insiden-insiden yang tidak diingini. Lebih menyedihkan saya, wakil penganjur yang bercakap ketika ditemuramah wartawan adalah seorang Islam berbangsa Melayu.
“Bro, see what you have done? You and your team must be responsible bro. You may say ‘it is not my fault, they do it by themselve’. Maka, then why do you organize such event? It brings no good at all. And it is proven! Se the result, and it is already too late. How if one of the victims is your relative?” Cukuplah kawan, apa lagi yang mampu sedarkan kamu untuk insaf ? Kamu seorang Muslim, jadi carilah Islam sebagai paduan kehidupan. Kami sedia menghulurkan tangan jika kamu perlukan bantuan untuk memahami Islam dengan lebih baik.
Penganjur juga tidak sensitif dengan suasana sedih seluruh negara atas tragedi malang yang yang menimpa MH370.
Kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa, ini adalah suatu pengajaran yang cukup besar buat kalian. Janganlah sangat mudah memberikan lesen penganjuran. Selama ini kami menentang penganjuran konsert seperti kerana kami tidak mahu perkara sebegini berlaku, dan kini telah berlaku.
Pemimpin-pemimpin Islam harus ambil peranan yang lebih tegas dan berani. YB Khairy Jamaluddin, Kementerian Belia dan Sukan, perlu melihat perkara ini dengan lebih serius. Belia adalah golongan paling ramai yang terlibat dalam konsert ini dan mangsa adalah belia.
Sebab itu, sejak daripada dahulu, kita menyatakan bantahan kepada Konsert K-Pop di Himpunan Belia. Ia bukan saja merosakkan pemikiran dan jati diri belia malah boleh membahayakan nyawa. Kementerian Belia dan Sukan perlu menyusun dan merangka program pembinaan jati diri belia dengan lebih komprehensif dan efektif. Sebagaimana YB KJ tegas dengan bomoh yang khurafat dan syirik, YB perlu sama tegasnya dengan penganjuran konsert ini. Tidak ada bezanya antara bomoh dan konsert ini kerana kedua-duanya membawa kemudharatan yang sama serta kemusnahan imej negara.
PEMBINA menghulurkan tangan kepada KBS untuk membantu merangka program-program untuk belia terutama yang beragama Islam. Kami mempunyai pakej-pakej yang ditawarkan kepada belia untuk membina jati diri dan keperibadian belia Muslim yang jelas dan utuh.
Cukuplah belia-belia semua. Keseronokan apa yang kita cari di dunia ini? Cukuplah berhibur sekadarnya. Binalah diri kita agar memberi manfaat kepada keluarga, negara, dan agama. Hiduplah dengan gaya yang sihat dan bermanfaat.
Kembalilah kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W.
Nurul Aizam Zaini,
Pengerusi Cawangan PEMBINA Melaka