Konsert artis barat: kerajaan perlu peka budaya negatif yang dibawa masuk

BANGI, 19 Ogos – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)  menyeru pihak kerajaan dan berwajib untuk memberikan perhatian berhubung isu kemasukan kumpulan dari luar negara seperti  Linkin Park dan Metalicca yang datang ke Malaysia untuk mengadakan konsert.

Setiausaha Agungnya, Ustaz Salman Abdul Rahman berkata, agensi-agensi kerajaan berkaitan terutamanya di bawah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pelancongan harus peka dengan perkembangan ini.

Selain itu, NGO-NGO  Islam juga perlu lebih lantang menyatakan bantahan untuk isu seperti ini.

Katanya, Kumpulan Linkin Park dan Metallica datang ke Malaysia sebenarnya memberi petanda sama ada mereka benar-benar mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia, atau mereka datang sebagai satu usaha mempromosikan bukan sahaja lagu-lagu serta mesej mereka, bahkan gaya hidup yang diamalkan.

“Gaya hidup tanpa halatuju seperti imej bertatu dan bersubang, muzik berat yang bingit, lirik-lirik lagu yang celaru identiti dan sebagainya dibimbangi menjadi trend generasi muda yang sedang mencari identiti.

tolak-hedonisme-Large

“Kita bimbang seandainya majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam dan mengamalkan ajaran Islam, tetapi dalam masa yang sama menerima gaya hidup atau mesej-mesej artis luar seperti kedua-dua kumpulan tersebut.

“Bukti jelas menunjukkan ketika berlangsungnya konsert-konsert mereka, suasana yang menyelubungi adalah gaya hidup yang mereka promosi, sama ada dari aspek pakaian dan pergaulan bebas, bahkan yang lebih dahsyat lagi adalah kewujudan minuman keras dan najis dadah,” ujarnya.

Difahamkan, kumpulan Linkin Park Konsert ‘Living Things’ di Malaysia ini akan diadakan di Stadium Nasional Bukit pada jam 8 malam ini. Manakala kumpulan rock lagenda, Metallica pula mengesahkan bakal membuat konsert  pada 21 Ogos ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Konsert ini dijadualkan bersempena dengan kempen promosi Tahun Melawat Malaysia 2014.

Menurut Ustaz Salman, berhibur itu tidak salah, bahkan dituntut di dalam Islam. Islam meraikan tuntutan naluri yang perlukan hiburan untuk meredakan tekanan-tekanan dalam kehidupan harian.

Tetapi, hiburan negatif dan kosong akan melahirkan peribadi-peribadi yang tidak menyumbang ke arah pembinaan masyarakat bertamadun.

Oleh sebab itu, generasi muda harus bijak memilih hiburan yang baik, positif dan tidak melalaikan.

Justeru, beliau berharap selepas ini pihak berkuasa memperbanyakkan lagi program-program alternatif bagi membina jatidiri belia secara positif untuk pembangunan negara sekali gus menjadi benteng daripada aktiviti tidak berfaedah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top