Khairy Perlu Berhenti Polimikkan Isu Penangkapan Orang Tidak Berpuasa

[vc_row type=”in_container” full_screen_row_position=”middle” scene_position=”center” text_color=”dark” text_align=”left” overlay_strength=”0.3″][vc_column column_padding=”no-extra-padding” column_padding_position=”all” background_color_opacity=”1″ background_hover_color_opacity=”1″ width=”1/1″ tablet_text_alignment=”default” phone_text_alignment=”default”][vc_column_text]

Khairy Perlu Berhenti Polemikkan Isu Penangkapan Orang Tidak Berpuasa
Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa Jabatan agama Islam tidak perlu mengawasi dan menangkap mereka yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan di twitter beliau semalam amat mengecewakan dan menunjukkan kekeliruannya sendiri terhadap undang-undang jenayah syariah di Malaysia.

Perlu difahami bahawa Ramadan merupakan bulan mulia dan bulan ibadat bagi seluruh umat Islam. Islam juga memandang serius berhubung dengan pelaksanaan ibadat puasa Ramadan.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berbuka puasa sehari dalam bulan Ramadan tanpa sebarang rukhsah (keringanan) yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qada puasa tersebut walaupun selama-lamanya.”

Berdasarkan hadis tersebut jelas bahawa meninggalkan ibadat puasa pada bulan Ramadan tanpa uzur merupakan dosa besar.

Berdasarkan enakmen jenayah syariah negeri-negeri di Malaysia terdapat peruntukan kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan. Sebagai contoh di dalam Enakmen Jenayah Syariah (SELANGOR) 1995, memperuntukkan mengenai kesalahan tidak menghormati Ramadhan di dalam seksyen 19:

“Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan:-

(a) menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu itu;

(b) secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya.”

Kekeliruan pertama dari kenyataan Khairy Jamaluddin ialah dengan tidak menyatakan bahawa Jabatan Agama hanya menangkap mereka yang melakukan kesalahan tersebut secara terbuka atau di tempat awam sahaja seperti premis makanan dan sebagainya. Malah kesalahan tersebut merupakan kesalahan yang dikuatkuasaan melalui siasatan Jabatan atau aduan dari masyarakat sendiri. Bukan dengan semberono dan mencari aib manusia.

Penangkapan golongan yang tidak berpuasa di tempat awam juga merupakan keperluan kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam itu sendiri terhadap kemuliaan bulan ramadan.

Kekeliruan kedua apabila Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa terdapat banyak lagi cara untuk melaksanakan nahi mungkar dan bukan melalui undang-undang. Selain menyarankan bahawa dakwah dengan hikmah dan adab itu lebih baik.

Walhal tanggungjawab mencegah kemungkaran seperti tidak berpuasa di tempat umum itu adalah suatu kewajipan bagi umat Islam malah terbeban khusus buat pemerintah bagi mengambil tindakan.

Sebagaimana ditegaskan oleh Allah swt dalam surah al Hajj ayat 41 yang bermaksud:

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh melakukan kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala sesuatu.”

Dengan kata lain, tanggungjawab pihak berkuasa atau pemimpin ialah melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang telah diperintahkan oleh Allah swt bagi memelihara maslahah (kepentingan) dan menolak mafsadah (kerosakan) agar terjamin kehidupan individu dan masyarakat.

Seterusnya, kekeliruan ketiga Khairy Jamaluddin adalah bila beliau mencadangkan sumber yang digunakan untuk menangkap pesalah tersebut kepada membantu orang miskin dan yang memerlukan. Tanpa dijelaskan sumber yang dimaksudkan itu sama ada wang atau sumber tenaga manusia, namun bagi saya keduanya tidak membazir sebarang sumber jika digunakan bagi memastikan syariat Allah SWT terlaksana.

Mungkin beliau lupa kenyataannya yang memuji perbelanjaan sebanyak RM1.6 juta untuk membiayai kos konsert K-Pop pada Hari Belia Negara 2012 sebagai suntikan modal bagi menjana pulangan ekonomi yang lebih besar kepada negara.

Adakah pulangan yang merosakkan ummat ini yang dianggap berbaloi? Sedangkan tindakan Jabatan Agama Islam menjaga kemuliaan bulan Ramadan itu adalah merugikan?

Sharifah Abdul Samad,
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah Undang-undang (KUIS)

JK Akademik PEMBINA[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top