5 kesan pelaksanaan UEC

5 kesan pelaksanaan UEC

Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Pepatah ini begitu halus menyeru kita supaya menghormati nilai budaya dan perlembagaan ataupun peraturan yang telah ditetapkan di sesuatu tempat.

Mengenai isu tuntutan oleh Dong Jiao Zong atau Dong Zong untuk pihak Kementerian Pendidikan Tinggi mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) atau Sijil Peperiksaan Bersepadu melalui sebuah memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Razak jelas bahawa mereka tidak menjunjung langit di mana bumi mereka berpijak.

Tuntutan untuk mengiktiraf UEC ini perlu dilihat daripada kaca mata kepentingan perpaduan kaum serta kesan jangka masa panjang terhadap sistem pendidikan di Malaysia. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa tuntutan ini ibarat api dalam sekam kerana sekiranya ia ditunaikan, secara perlahan akan merosakkan perpaduan kaum yang telah dipelihara sejak sebelum merdeka lagi.

Silibus yang terkandung dalam UEC mengunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar. Malahan kandungan subjek Sejarah dalam silibus juga bukanlah mengikut silibus yang bertepatan dengan hasrat Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bagaimana jati diri dan kesetiaan terhadap Negara dalam diri anak-anak ini akan dibentuk? Jika mereka tidak mengenali bahasa Kebangsaan dan menyelami sejarah negara ini pastinya para pelajarnya akan hilang kesetiaan pada negara. Walaupun dikatakan terdapat subjek bahasa Melayu, kewajipan untuk lulus subjek ini tidak ditekankan berbanding kewajipan lulus Bahasa Mandarin.

Selepas menjalani sistem pendidikan melalui UEC, para pelajar ini akan keluar ke peringkat pengajian yang lebih tinggi dan seterusnya meneroka dunia pekerjaan dalam pelbagai sektor. Bayangkan bagaimana mereka akan bergaul dengan rakyat berbilang bangsa di negara ini jika sebelum ini di sekolah mereka tidak belajar tentang sejarah kontrak sosial, sejarah kemerdekaan, pembentukan Malaysia dan sebagainya? Kesan pendidikan yang kelihatan perkauman ini akan menular dalam pelbagai sektor pekerjaan seperti ekonomi, politik dan sosial. Hal ini pasti akan menjadi api dalam sekam yang meruntuhkan kesejahteraan negara ini.

Realitinya, kebanyakan sektor industri pada masa kini dikuasai oleh kaum Cina. Dengan semangat perkauman yang ditanam sejak zaman persekolahan, sektor industri ini kelak pastinya akan mengutamakan kaum mereka sendiri berbanding kesaksamaan kepada kaum lain kerana perasaan rasisme yang menebal. Tidak perlu lihat terlalu jauh untuk melihat senario ini kerana bibit-bibit perkauman ini sudah mula terbentuk dalam sektor pekerjaan di Malaysia. Contohnya, ada beberapa syarikat yang meletakkan syarat untuk calon pekerja fasih berbahasa Cina untuk diambil bekerja. Sudah pastilah jawatan tersebut hanya ditawarkan kepada kaum Cina dan bukan kaum lain. Jika Dong Zong tegar membuat tuntutan yang bersifat rasis ini, tidak mustahil dalam dunia politik juga akan menghasilkan tuntutan kepada agenda Cina yang bersifat pragmatik dalam sistem demokrasi.

Akhirnya nanti, jurang perpaduan sesama kaum di Malaysia akan menebal. Tiada tindakan tegas terhadap isu pendidikan Cina yang rasis ini daripada pihak berautoriti. Bagaimana Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal untuk merapatkan jurang antara kaum dan memupuk perpaduan melalui pendidikan di sekolah. Jika hal seperti ini yang berlaku, bagaimana nilai perpaduan kaum itu akan dicapai?

PEMBINA amat menyokong usaha ke arah pembentukan rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri dan semangat kecintaan terhadap tanah air. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum harus memahami dasar-dasar yang dibentuk oleh kerajaan yang bertujuan ke arah membentuk perpaduan rakyat. Jangan pula dasar-dasar ini ditentang demi kepentingan peribadi mahupun kepentingan sesuatu pihak. Pihak kerajaan pula diharapkan agar terus berpegang teguh dengan dasar-dasar yang telah digubal untuk memastikan rakyat negara ini memahami dengan membumi nilai perpaduan dan kesatuan bagi memastikan kemakmuran Malaysia.

Nor Syamimi Musa
Kolumnis Pembina

Kredit Gambar: thestar.com.my

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top