Kenyataan Rasmi Persatuan Belia Islam Nasional Berkenaan Pengiktirafan UEC

Kerajaan Tidak Perlu Melayan Desakan Tuntutan Mengiktiraf UEC

Kenyataan Rasmi Persatuan Belia Islam Nasional Berkenaan Pengiktirafan UEC

1. Seringkali apabila ada pihak pendesak mempertahan UEC, disebut bagaimana University of Oxford mengiktiraf UEC. Yang terkini adalah salah seorang ketua biro Pemuda MCA.

2. Pemuda MCA perlu datangkan bukti bahawa University of Oxford telah mengiktiraf UEC seperti yang dilaporkan oleh beberapa portal berita termasuk Sinar Harian dan Malaysian Digest.

3. Ini kerana laman sesawang kemasukan pelajar antarabangsa University of Oxford dengan jelas telah menyebut:

“Sijil Pelajaran Malaysia (SPM/Certificate of Education) or Unified Examination Certificate (UEC) would not be sufficient for candidates to make a competitive application.”

4. Tetapi laman sesawang yang sama menyebut satu-satunya sijil daripada Malaysia yang diterima untuk kemasukan ke program sarjana muda adalah Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Ini menunjukkan kualiti STPM kita.

5. Adakah universiti-universiti antarabangsa yang dikatakan mengiktiraf UEC itu, menerima mereka sebagai pelajar yang membayar yuran penuh untuk pelajar antarabangsa atau yuran disubsidi untuk pelajar tempatan? Jika lepasan UEC ingin memasuki universiti awam, adakah mereka sanggup untuk membayar yuran penuh seperti pelajar-pelajar antarabangsa yang menggunakan sijil-sijil ujian lain?

6. Dengan kehebatan UEC yang dicanang-canangkan, berapa pula kerajaan di dunia yang menerima UEC untuk ke sektor awam?

7. Kelompok pendesak UEC mengecilkan peranan pengiktirafan ini kepada isu kompetensi akademik semata-mata. Jika ia isu kompetensi semata-mata, sudah tentu kerajaan di seluruh dunia mengiktiraf UEC yang dikatakan hebat (mengikut mereka) ini sebagai syarat kelayakan ke sektor dan institusi awam, dengan sama hak dengan rakyat negara mereka, yang dengan baik mengikut sistem pendidikan negara masing-masing. Sijil pendidikan lebih daripada sekadar isu kompetensi semata-mata.

8. Kelompok pendesak ini dengan mudah melabel orang yang membantah sebagai rasis, walhal tidak ada apa-apa yang rasis dalam membantah sesuatu yang tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan tidak membantu perpaduan. Rasis yang sebenar adalah kelompok yang berdegil selama puluhan tahun yang tidak mahu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan demi perpaduan antara kaum untuk jangka masa panjang.

9. Terdapat juga daripada kelompok pendesak yang mengungkit pemberian-pemberian yang diberikan kepada pemegang UEC seperti pinjaman pelajaran. Jika pemberian-pemberian ini diungkit, ia lebih wajar untuk diungkit dalam konteks pemberian tersebut perlu dikaji semula kerana ia mungkin satu kesilapan atas desakan pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

10. Pembina menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang memberi desakan bagi mengiktiraf UEC di universiti awam dan perkhidmatan awam.

11. Pembina berharap agar kerajaan tidak layan kelompok pendesak ini. Pembina menyokong penuh usaha memperkasa Dasar Pendidikan Kebangsaan demi perpaduan masyarakat di masa akan datang. Pembina berharap agar kerajaan tidak tersilap melayan dan mengiktiraf kelompok pendesak ini, yang akhirnya anak muda hari ini akan tanggung di masa akan datang.

12. Dasar Pendidikan Kebangsaan harus diperkasakan perlaksanaannya di semua peringkat persekolahan. Ini termasuklah strategi yang dinyatakan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan iaitu menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah, mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua.

Eqwan Roslan
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top