Assalamualaikum w.b.r

Umum mengetahui bahawa mahasiswa dan pemuda adalah aktor penting dalam pembentukan dan pembangunan sesuatu perubahan. Sejarah membuktikan di Malaysia mahupun di luar negara, mahasiswa dan golongan pemuda berjaya mencorak landskap politik nasional yang baru dan membawa nafas perubahan yang lebih baik.

Sedikit singkapan tabir sejarah mahasiswa dahulu. “Kaum muda” yang dipelopori oleh Syeikh Tahir Jalaluddin merupakan salah satu gerakan yang boleh dijadikan contoh anak muda kini. Mereka membuktikan keupayaan generasi muda terutamanya yang berpendidikan, dalam mengubah cara bentuk masyarakat. Walaupun pada awalnya, golongan Kaum Muda ini kelihatan seperti menentang cara pembawakkan generasi lama atau Kaum Tua, tetapi kesan yang telah diberikan sangat bermakna bagi masyarakat ketika itu. Hasilnya, mereka berjaya menubuhkan beberapa pergerakan mahasiswa dan anak muda yang berobjektifkan untuk memerdekakan Tanah Melayu dan perjuangan mereka diiktiraf oleh tokoh-tokoh nasional.

Pembina tidak mencuba menanamkan perasaan anti-establisment dan radikal, tetapi lebih kepada menyedarkan kepada mahasiswa kini berkenaan kualiti yang dimiliki oleh generasi terdahulu. Mereka menyedari kebolehan dan kekuatan mereka untuk disumbangkan kepada negara dan agama. Pembina sedar bahawa krisis kepimpinan negara dan isu-isu semasa yang sedang kita hadapi kini lebih membawa kepada kerugian untuk negara dan agama. Menjadi persoalan kepada mahasiswa masa kini, apakah kualiti yang dimiliki oleh generasi kita untuk menyelesaikan masalah seperti ini? Sejauh mana keterlibatan kita dalam urusan membangunkan negara dan agama?

Oleh yang demikian, Pembina yang bersifat neutral dan tidak memihak kepada mana-mana blok kepartian menyeru kepada mahasiswa secara umumnya untuk mengambil tempat dalam pilihan raya kali ini.

Menyeru mahasiswa di seluruh negara untuk terlibat dalam pilihan raya kali ini dengan pelbagai pendekatan. Tidak semestinya dengan menyertai parti politik sahaja. Pengelibatan mahasiswa bermula dengan cara turun mengundi, mengambil tahu isu semasa politik negara, mengkaji calon yang bertanding, berani memberi komentar, berkempen dan menyeru rakan-rakan untuk turut terlibat sama dalam proses pengundian.

Menyeru mahasiswa untuk mengundi berdasarkan prestasi calon yang mempertahankan insitusi agama Islam dan mempunyai kredibiliti yang baik. Ini membantu mahasiswa untuk keluar dari konsep binary thinking.

Menyeru mahasiswa untuk memecahkan pemikiran blok kepartian yang dimiliki majoriti masyarakat masa kini. Ini akan memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk tidak terikat dengan “dendam” orang lama dan lebih bebas untuk beraksi memikirkan survival negara dan agama.

Menyeru mahasiswa untuk bersifat sayangkan negara. Mahasiswa harus mempunyai keupayaan berfikiran kritis dalam memikirkan masa depan negara dan keluar daripada kepompong corak permainan politik generasi lama supaya mahasiswa tidak berpecah belah dek kerana percaturan politik mereka. Mahasiswa harus lebih berani untuk membawa suara baru yang rasional dan intelektual.

Pilihan raya boleh menjadi titik permulaan golongan muda terutamanya mahasiswa untuk menggunakan kebolehan yang mereka miliki dan bertindak berani dalam merangka landskap politik negara yang lebih berteraskan survival negara dan agama. Ini adalah aspirasi mahasiswa Malaysia. Mahasiswa adalah nafas baru untuk rakyat ini. Selamat mengundi wahai mahasiswa!

Meneraju Arus Mahasiswa

Muhammad Azam Asri

Presiden

Persatuan Belia islam Nasional (PEMBINA)

Muat turun fail PDF di sini :KENYATAAN PRESIDEN PEMBINA SEMPENA PRU14