Kenyataan Rasmi Konsert hiburan melampau dicemari dadah, penganjur perlu dikenakan tindakan tegas

1. Kita dikejutkan dengan kes kematian 6 orang belia akibat terlebih dos dadah methamphetamine di konsert 3 hari Future Music Festival Asia 2014 yang diadakan di Stadium Bukit Jalil bermula 13 – 15 Mac 2014. Empat dari enam orang yang dilaporkan mati tersebut merupakan belia Melayu Islam. Penganjur FMFA2014 adalah Livescape Sdn Bhd yang dimiliki juga oleh warganegara Malaysia beragama Islam dan berbangsa Melayu.

2. Dadah methamphetamine atau lebih dikenali dengan nama ‘meth’ atau ‘crystal’ diambil bertujuan memberikan ketahanan fizikal untuk berparti bagi satu tempoh yang panjang.

3. Ini bukan kali pertama kejadian ini berlaku. Pada 15 Mac 2013, kira-kira setahun yang lalu, 17 orang dilaporkan maut atas sebab yang sama di konsert A State of Trance yang telah diadakan di Litar Antarabangsa Sepang yang dianjurkan oleh syarikat yang sama.

4. Livescape Sdn Bhd selaku penganjur Future Music Festival Asia 2014 mensasarkan kehadiran 60 ribu hingga 85 ribu pengunjung dengan jumlah 20 ribu warga asing dengan matlamat menjadikan Malaysia Negara hab hiburan antarabangsa. Syarikat ini mengadu mengalami kerugian jutaan ringgit akibat tindakan kerajaan membatalkan permit konsert mereka.

5. PEMBINA mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan kerana telah membatalkan serta-merta permit konsert tersebut pada tahun ini rentetan kes kematian yang dilaporkan seperti di atas. Namun, PEMBINA kesal tindakan ini sebenarnya telah terlewat di mana penganjur mendakwa berpengalaman menganjurkan lebih 100 konsert dengan konsep yang sama.

6. PEMBINA mendesak pihak kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pelancongan mengkaji semula matlamat kerajaan menjadikan Malaysia Negara hab hiburan antarabangsa. Kematian belia secara sia-sia ini dan keruntuhan moral generasi muda merupakan kerugian yang lebih besar berbanding pendapatan yang dijangka dijana melalui sektor pelancongan negara.

7. PEMBINA mendesak pihak kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula dan menarik lesen perniagaan syarikat penganjur. Penganjur perlu bertanggungjawab di atas kes-kes kematian tersebut walaupun di dalam kenyataan rasmi mereka baru-baru ini menyatakan kekesalan yang berlaku dan menyalahkan pengunjung semata-mata di atas insiden. Penguatkuasaan bagi penganjuran program hiburan seperti ini perlu diperketatkan lagi.

8. PEMBINA mendesak agensi kerajaan seperti Kastam Di Raja Malaysia (KDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) meningkatkan penguatkuasaan dalam membanteras penyalahgunaan dadah ini. PEMBINA kesal apabila laporan media menyatakan dadah jenis tersebut boleh didapati dengan mudah dan murah. AADK dilihat masih belum berjaya membanteras najis dadah dari merosakkan generasi muda.

9. Syariat Islam tidak melarang kita berhibur kerana ia merupakan fitrah manusia yang memerlukan elemen-elemen yang mendamaikan jiwa. Tetapi, hiburan melampau yang sia-sia, hiburan tanpa batasan, tiada kawalan pergaulan silang jantina dan dicemari najis dadah ditegah oleh agama. Kita perlu yakin bahawa Islam sebagai agama yang syumul memberikan penyelesaian kepada semua aspek kehidupan seorang manusia.

10. PEMBINA mengajak seluruh masyarakat untuk memainkan peranan dalam memberikan tekanan dan menolak penganjuran program hiburan melampau yang merosakkan jatidiri belia.

11. PEMBINA sebagai sebuah persatuan belia Islam mengajak seluruh warga belia untuk kembali serius membangun jatidiri dengan ajaran Islam yang luhur agar dapat menjadi benteng diri melawan elemen-elemen negatif yang merosakkan. PEMBINA menyediakan wadah untuk belia dan beliawanis membangun potensi diri secara positif.

Jabatan Komunikasi Strategik,
Persatuan Belia Islam Nasional

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top