1) Pembina mengikuti perkembangan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan berkenaan UEC sejak akhir-akhir ini

2) Pembina menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang memberi desakan bagi mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) di universiti awam dan perkhidmatan awam.

3) Pengiktirafan UEC membolehkan lepasan UEC untuk tidak mengikuti sistem sukatan pembelajaran berasaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) tetapi sebaliknya melaksanakan sebuah sistem pendidikan yang dipantau sendiri oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau dikenali seabgai Dong Jiao Zong (DJZ).

4) DJZ berhujah dengan menyatakan sijil UEC diterima di pelbagai institusi akademik di seluruh dunia. Persoalannya, berapa negara selain China dan Taiwan yang menerima lepasan UEC sebagai kemasukan pelajar tempatan dan menerima sijil tersebut dalam perkhidmatan awam?

5) Kenyataan Tan Sri Annuar Musa di dalam Parlimen yang menyifatkan perkara ini dilihat dengan prejudis adalah tidak benar. Penentangan terhadap DJZ mempunyai asas yang kukuh. Mereka mempunyai rekod yang panjang berdegil untuk tidak memenuhi syarat Dasar Pendidikan Kebangsaan. Juga di dalam kertas cadangan mereka terhadap Rancangan Malaysia kesepuluh, pertubuhan DJZ dengan terbuka mempersoal kedudukan hak Bumiputera di tanah air ini.

6) Merujuk kepada kenyataan media oleh Concerned Lawyer for Justice yang memetik laporan Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) yang bertajuk Human Rights in Malaysia (2016), kajian daripada Professor Dr Sharon Carstens, Professor of Anthropology and International Studies di Portland State University (PSU) Amerika Syarikat, masyarakt Cina di Malaysia mempunyai perasaan negatif terhadap penggunaan Bahasa Melayu. Professor Dr. Teo Kok Seong juga mendedahkan melalui kajiannya daripada 14,000 peserta PLKN pada tahun 2010, 604 pelatih tidak boleh berbahasa Melayu.

7) Kesan pengiktirafan UEC ini bakal mengundang pergeseran yang lebih besar di masa akan datang. Ia akan memberi impak yang negatif bagi generasi muda masa kini dan berlanjutan kepada generasi-generasi yang seterusnya. Ianya akan menambahkan jurang perpecahan dan perbezaan antara kaum. Bahkan pada kesan masa panjang, turut sama menggugat perpaduan negara ini.

8) Pihak yang bercakap soal perpaduan tetapi menyokong pengiktirafan UEC adalah samaada terkeliru atau berkepentingan politik.

9) Pembina berpendirian cubaan mengiktiraf UEC wajib ditolak oleh semua pihak termasuk kerajaan dan desakan DJZ tidak perlu dilayan. Ia tidak memenuhi hasrat Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) yang bertujuan melahirkan perpaduan kaum yang harmoni. Muhasabah dari sejarah pertembungan kaum di Malaysia, Dasar Pendidikan Kebangsaan digubal bagi mengukuhkan perpaduan negara melalui satu sukatan pelajaran bahasa iaitu bahasa Melayu dan perkongsian pendidikan sejarah yang sama melalui subjek sejarah. Kedua-dua perkara ini tidak terjamin di bawah UEC. Justeru itu kesetiaan negara juga tidak terjamin melalui UEC.

10) Dasar Pendidikan Kebangsaan harus diperkasakan perlaksanaannya di semua peringkat persekolahan. Ini termasuklah strategi yang dinyatakan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan iaitu menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah, mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua

11) Pembina juga menyeru mana-mana badan mahasiswa dan NGO khususnya belia untuk tampil bersama dalam mendesak supaya UEC ini tidak diiktiraf. Generasi muda perlu mengambil bahagian mencorakkan masa depan negara.

Eqwan Roslan
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional