1. Merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberi persetujuan untuk kelonggaran syarat kelayakan Lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
  2. Calon Pegawai Perubatan UD41 yang dilantik dengan kelonggaran semasa lantikan kontrak perlu memenuhi syarat Lulus BM di peringkat SPM bagi tujuan pelantikan tetap ke jawatan Pegawai Perubatan di KKM.
  3. Calon persendirian yang mendaftar untuk Peperiksaan SPM kali pertama boleh memohon kelulusan daripada Pengarah Lembaga Peperiksaan untuk mengambil Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran tunggal iaitu bagi memenuhi syarat perkhidmatan bagi lantikan ke perkhidmatan awam, tanpa perlu menduduki subjek-subjek SPM yang lain.
  4. Pembina melihat kelonggaran ini sebagai sesuatu yang tidak wajar dan bertentangan dengan hasrat Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) yang bertujuan melahirkan perpaduan kaum yang harmoni.
  5. Dasar Pendidikan Kebangsaan digubal bagi mengukuhkan perpaduan negara melalui satu sukatan pelajaran bahasa iaitu bahasa Melayu dan perkongsian pendidikan sejarah yang sama melalui subjek sejarah.
  6. SPM tidak harus dilihat daripada sudut pandang kompetensi perkhidmatan dan keupayaan bercakap Bahasa Melayu sahaja. Ia adalah sebahagian daripada Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi mengukuhkan perpaduan kaum.
  7. Oleh sebab itu, Pembina berpandangan menduduki subjek Bahasa Melayu sahaja bagi SPM adalah tidak memadai.
  8. Kerajaan tidak harus berlonggar dalam perkara yang melibatkan identiti dan perpaduan negara.
  9. Kelonggaran yang diberi pada kali ini akan membolehkan tuntutan kelonggaran bagi sektor awam lain di masa akan datang.
  10. Lebih buruk lagi, kelonggaran ini bakal membuka ruang-ruang tuntutan yang lebih besar seperti tuntutan oleh Dong Zong yang menuntut kerajaan mengambil lepasan UEC untuk ke sektor awam. Kelonggaran ini adalah kejayaan kecil bagi tuntutan Dong Zong.
  11. Pembina menggesa kerajaan, terutamanya JPA menilai semula keputusan kelonggaran ini serta mempertegas hasrat memperkukuh perpaduan melalui pendidikan. Pertimbangan haruslah tidak menggadaikan perkara-perkara dasar bagi kesejahteraan di masa akan datang.
  12. Bagi lepasan-lepasan perubatan, Pembina menasihatkan agar sama-sama mendokong dasar pendidikan kebangsaan serta merancang jadual masing-masing untuk mengambil subjek teras SPM. Pemberian cuti bagi menduduki SPM juga dapat membantu dalam hal ini.

 

Eqwan Roslan
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional