Kau Memang Cantik Buatku Tertarik

Kau memang cantik buat aku tertarik, kau memang tampan buat aku terpempan.  Namun apa ertinya cantik andai iman mudah dijentik malah apa ertinya tampan andai iman mudah goncang dengan perempuan.  Mengerti atau disalah erti? Hakikatnya sudah terbukti kerana setiap 17 minit  17 saat, anak tidak sah taraf didaftarkan.

Terkejut? Terpana? Terkesima? Sukar untuk dipercaya namun itulah hakikatnya yang harus kita telan bersama.  Lebih menyedihkan lagi, menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat lebih 300 000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga 2012.  Paling menggerunkan lagi negeri Selangor telah mencatatkan jumlah kelahiran anak tidak sah taraf yang paling tinggi dengan purata 12 800 orang setiap tahun dan disusuli dengan Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Pahang.  Manakala statistik pembuangan bayi yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 396 kes dicatatkan dari tahun 2005 hingga 2010.  Bagi tahun 2011 pula, dalam bulan Januari sahaja sebanyak 34 kes buang bayi dilaporkan di akhbar utama Malaysia.

 Salah siapa sebenarnya? Bayi yang dilahirkan? Si pelaku zina? Mangsa keadaan? Ibu dan ayahnya penzina? Gurukah yang salah mendidik? Jiran tetangga? Masyarakat atau pemimpin?   Menunding jari tidak akan menjernihkan malah akan mengusutkan.  Tidak semudah yang diperkata kerana untuk menjernihkannya memerlukan kita mencari puncanya.  Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa kes pembuangan bayi dan kes anak tidak sah taraf ini berpunca daripada perbuatan seawal khalwat.  Islam itu indah malah memudahkan.  Solusinya sudah tersimpan kemas di dalam kitab suci Al-Quran dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud:

        “Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”.

 Masih buta lagikah hati kita saat ini?  Kes pembuangan bayi seperti ini biasanya difokuskan kepada golongan remaja.  Mana tidaknya, saat perut si dara memboyot sang arjuna mula melarikan diri.  Tiada lagi kata-kata manis malah kata-kata kesat pula dihamburkan.  Malu mula menerpa, lantas jalan mudahnya si anak yang tidak mengerti dosa pahala ditinggal di jalanan malah ada yang belum sempat lahir dibunuh dalam kandungan.  Adakah rijal seperti ini yang ingin kita lahirkan untuk memimpin sebuah negara Islam?

14 Februari merupakan titik tolak malah menjadi penyebab utama kepada meningkatnya kes ini.  ‘Valentine’s Day’ atau Hari Kekasih, frasa yang tidak lekang menata di bibir setiap remaja.  Ghazwul Fikr (perang saraf) telah lama menyerang anak muda generasi pelapis pemimpin negara. Walau pun ada yang tahu bahawa ‘Valentine’s Day’ asalnya dari kisah seorang lelaki Kristian yang bernama St. Valentine yang mempertahankan cinta terhadap kekasihnya namun masih ramai umat Islam yang meniru budaya yang diagung-agungkan ini.  Mana tidaknya banyak kedai bunga serta coklat dipenuhi dengan pasangan kekasih.  Lebih membimbangkan lagi saat hari yang dinanti tiba maka bertebaran pasangan kekasih di taman-taman bunga.  Paling menyedihkan apabila ada di antaranya yang memakai tudung bersama dengan pasangan kekasih sedang berpelukan mesra.  Di mana maruah kita sebagai umat Islam?  Sudah hilangkah jati diri kita?  Di mana syabab yang lantang menyuarakan haq?  Di mana rijal yang tegas menangkis kebatilan?  Di mana? Di mana?

 Ayuh rijal yang bakal menjadi Qaid negara.  Lantunkan suaramu agar dunia gerun terhadap umat pelapis baginda Rasulullah, generasi Sultan Muhammad Al-Fateh, kader dakwah umpama As-Syahid Hasan Al-Banna.   Jangan biarkan mihrab cinta kita kepada yang Esa diperkotak-katikkan dengan gantian cinta murahan.  Tahun ini 14 Februari 2014 jatuh pada hari Jumaat.

Justeru, biar dunia digencarkan dengan semangat shabab yang hanya akan membumikan cintanya kepada Allah dan Rasul laksana menyambung risalah Nabi Muhammad.

Dan ingatlah ketika suatu kaum di antara mereka berkata, “Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?”  Mereka menjawab, “Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab} kepada Tuhan-Mu dan agar mereka bertaqwa.” (Al-A’raf:164)

Oleh itu, kita hendaklah bersama-sama menyedarkan masyarakat tentang bahayanya zina terutamanya pada hari Jumaat ini.  Mari bersama-sama kita gempur kempen ‘Say No to Zina’  Semoga dengan usaha kita itu nanti akan menjadi alasan dan bukti di Padang Mahsyar kelak.  Wallahualam.

Tulisan oleh,

Anis binti Mohd Radzuan,
Ketua Beliawanis PEMBINA Kuala Lumpur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top