KATA MUSLIM? APA BUKTINYA?

merdeka-kak-ana
Laungan merdeka! Laungan keramat. Bukti kita bebas daripada penjajahan.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Opps!

Tunggu dahulu.

Itu hanya kemerdekaan daripada penjajahan fizikal. Belum boleh menarik nafas panjang lagi. Masih ada lagi yang tertinggal. Penjajahan dari segi dalaman dan pemikiran belum tentu lagi merdeka.

Jihad asghar (kecil) mengusir penjajah daripada negara sudah generasi moyang kita dahulu sempurnakan, kini jihad akbar (lebih besar) kita untuk mempertahankan kemerdekaan ini masih perlu diusahakan dan diteruskan. Kegemilangan sejarah hari ini akan bersinar hanya bergantung kepada kesungguhan kita memperjuangkan cita-cita kita pada hari ini dan mengorbankan apa sahaja demi meneruskan idea Negara Islam yang dipelopori Rasulullah s.a.w sewaktu di Madinah al-Munawwarah suatu kegemilangan Islam dahulu. Sejarah harus dibanggai dan dipertahankan bukan hanya dikenang.

Jika kita lihat usul pertama dalam Usul ‘Isyrin (Usul 20) yang telah diasaskan oleh mujadid terhebat abad ini, Imam Syahid Hasan al-Banna, apakah itu Islam? Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan; Islam adalah negara dan tanahair ataupun kerajaan dan ummat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadah yang sahih, kesemuanya sama pengiktibarannya di sisi kita.

Ya. Islam adalah negara dan tanahair. Ini bermakna barangsiapa yang mengaku dirinya sebagai Muslim, semestinya wujud rasa cinta dan sayang terhadap tanah tumpah kelahirannya sendiri. Bumi yang kita sedang pijak dan menuai hasil kekayaan inilah yang sepatutnya kita zahirkan kecintaan kita kepadanya. Bumi yang aman untuk kita beramal inilah bumi yang seharusnya kita tebarkan budi bakti kita. Bukan bumi yang kita patut kutuk dan hina. Jika kita tidak berpuas hati dengan cara pemerintahan yang ada sekalipun amatlah tidak adil jika kita lemparkan kepada tanahair yang tidak bersalah.

Cabaran semasa ialah cabaran serangan pemikiran. Suatu kemerdekaan yang belum kita kecapi. Pelbagai serangan pemikiran yang telah sampai kepada kita tatkala ini. Barat mencanangkan slogan sekular dalam memenjarakan agama di tempat-tempat ibadat sahaja. Kapitalisme, demokrasi, sosialisme dan komunisme diiimejkan sebagai suatu teori yang seharusnya masyarakat Islam ikuti. Semuanya akan membawa kepada kehidupan yang lebih moden dan terkehadapan dalam arena antarabangsa.

Secara asasnya semua serangan pemikiran ini ialah penyesatan dan tipu daya semata. Namun jika kita amati sejarah zaman dahulu, matmalat mereka sebenarnya jauh dan lebih mendalam daripada itu. Serangan pemikiran ini akan membawa kepada pengusiran dan penyeksaan terhadap masyarakat Islam itu sendiri. Oleh kerana kejahilan kita yang mengikuti ajaran mereka akhirnya membawa keburukan yang paling dahsyat dalam kehidupan masyarakat Islam.

Menurut Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya, Pemuda Muslim dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini mengingatkan kepada kita bahawa jangan sesekali kita lupa tentang perancangan pertubuhan-pertubuhan rahsia yang dilakukan oleh Yahudi sedunia dalam usaha merosakkan dunia secara umumnya dan masyarakat Islam khususnya. Mereka mahu meletakkan seluruh dunia di bawah satu pemerintahan baharu ataupun ‘New World Order’. Pemerintahan yang berlandaskan nafsu dan kejahilan. Mereka mahu menghancurkan Daulah Islamiyyah yang menjadi kekuatan masyarakat Islam sedunia.

Daulah Islamiyyah ialah dambaan seluruh umat Islam di Malaysia. Negara Islam yang mengamalkan Islam secara menyeluruh dan aman daripada jenayah menjadi impian. Menurut ilmu siyasah syar’iyyah, rukun Daulah Islamiyyah ada empat: beriman dengan apa yang diturunkan Allah s.w.t (al-Quran dan as-Sunnah), pemerintah, rakyat dan tanah atau bumi. Kalau sudah namanya rukun, tiada kelompongan patut ada untuk membuatkan ianya sah! Rakyat Muslim haruslah berganding bahu dalam merealisasikan impian ini. Tidak boleh mengharapkan hanya satu pihak untuk impian ini terlaksana. Bukan hanya berharapkan pemerintah untuk merealisasikan Negara Islam ini namun kita sama-sama ke arah itu. Jika pemerintah ada kesilapan dan kekurangan, nasihat daripada rakyat amatlah diperlukan. Jadilah kita sehebat Khalifah Umar al-Khattab dengan rakyatnya yang menerima nasihat seorang wanita tentang masalah mahar.

Mulai sekarang kita harus katakan pada diri sendiri, ‘Apa yang harus kita lakukan?’ bukan lagi ‘Apa yang engkau sudah lakukan?’ Seimbang dan adil. Menurut Abdullah Nasih Ulwan lagi, masyarakat Islam perlu ada dua benteng perisai yang asasi daripada menangkis segala serangan pemikiran yang datang menyusup. Benteng ilmu pengetahuan dan benteng akidah islamiyyah. Ilmu pengetahuan untuk melahirkan keyakinan kita terhadap Islam dan seterusnya membuahkan akhlak-akhlak Islam yang mantap dan menjadi contoh ikutan masyarakat lain.

Segala kejahilan yang melata dimuka bumi kita kita harus perangi dengan ilmu pengetahuan yang tinggi dan meluas. Segala keraguan tentang sistem Islam dan sejarahnya kita santuni dengan keyakinan yang mendalam. Segala syubhah tentang konsep Islam kita lawan dengan hujah-hujah kuat dengan dalil al-Quran dan as-Sunnah. Tambahan pula, mahu atau tidak kita hidup mestilah bermasyarakat. Kita tidak boleh hidup sendirian dengan kerja yang bersifat individual semata. Kita harus bergabung dengan kepimpinan Islam dalam menyebarkan risalah Islam dan membina kekuatan Islam.

Mari kita semak semula beberapa sifat asas yang telah digariskan oleh Imam Syahid Hasan al-Banna bagi setiap insan yang berjalan atas landasan Allah s.w.t. Adakah sifat-sifat ini sudah sebati dalam diri kita ataupun masih perlu digilap sehingga kilat menyinar.
1. Keimanan yang teguh, tidak mudah goyang dan tidak mudah rapuh.
2. Keikhlasan yang benar yang tidak mengenal kepura-puraan dan sifat menunjuk-nunjuk.
3. Keazaman yang kuat yang tidak mengenal erti takut.
4. Amal yang berterusan yang tidak mengenal maksud sebenar penat dan susah.
5. Pengorbanan yang tinggi yang tidak mengenal selain daripada kemenangan atau syahid.

Belum terlambat lagi untuk kita koreksi semula sejauh mana kita menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Adakah ianya kemerdekaan hakiki yang tenang ataupun kemerdekaan sementara yang mengusutkan iman. Cintailah negara kita walaupun negara ini belum lagi mencapai apa yang kita inginkan. Terlalu panjang masa yang diperlukan untuk mencapai segala impian itu. Jangan hanya kerana kecacatan sesetengah pemerintah kita merosakkan nama negara di mata luar. Jangan kita anggap hanya perkara biasa terhadap isu-isu yang memanaskan berita negara tentang cubaan-cubaan merosakkan nama negara. Cubaan-cubaan memburukkan nama dan imej Malaysia haruslah pemerintah tangani dengan adanya hukuman-hukuman yang setimpal. Hanya rakyat yang merdeka hatinya daripada ajaran Barat akan bersedia untuk mencintai tanahairnya dengan ikhlas. Tanpa balasan. Noktah!

Penulis,
Nur Farhana binti Zali
Ketua Beliawanis PEMBINA UniSZA

Sumber rujukan:
1. Abdullah Nasih Ulwan, Pemuda Muslim dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini
2. Imam Syahid Hasan al-Banna, Usul ‘Isyrin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top