Kalam Presiden PASCA HIMMAH 3

Kalam Presiden: PASCA HIMMAH 3.0

Pada tahun 1911, dua kumpulan manusia berlumba-lumba untuk menjadi manusia yang pertama menjejakkan kaki ke kutub Selatan. Kumpulan pertama diketuai Roald Admundsen yang berasal dari Norway. Kumpulan kedua pula diketuai Robert Falcon, pegawai tentera laut British.

Roald Admundsen telah membuat persediaan yang sangat rapi. Beliau telah berguru dengan eskimo. Antara persediaan yang beliau lakukan:

  1. Memutuskan untuk menggunakan kereta luncur anjing untuk mengangkut bekalan
  2. Anjing-anjing tersebut melakukan majoriti daripada kerja yang menggunakan tenaga
  3. Mereka bergerak 6 jam sehari antara 15 hingga 20 batu supaya semua mempunyai rehat yang cukup
  4. Menetapkan tempat simpanan makanan di sepanjang perjalanan
  5. Menyediakan peralatan terbaik

Kesemua aspek telah dibuat persiapan sebaik mungkin. Masalah yang paling besar yang timbul adalah gigi salah seorang ahli kumpulan terpaksa dicabut.

Robert Falcon Scott yang mengetuai pasukan kedua menggunakan kereta luncur bermotor dan kuda. Hari kelima kenderaan mereka rosak. Kuda-kuda mereka pula tidak bertahan dalam cuaca sejuk dan terpaksa dibunuh. Akhirnya mereka terpaksa memikul bekalan mereka seberat 200 pound sendiri.

Peralatan yang disediakan pula tidak sesuai. Pakaian mereka yang tidak sesuai menyebabkan kesemua mereka terkena radang angina (frostbite). Setiap pagi mereka menghabiskan satu jam untuk memakai kasut. Mereka kekurangan air dan makanan kerana stok tidak mencukupi, jarak antara bekalan jauh dan tidak ditanda dengan baik.

Semua ini bertambah buruk apabila Scott membuat keputusan untuk menambah satu ahli kumpulan di saat akhir, walaupun mereka hanya menyediakan bekalan untuk empat orang.

Setelah 10 minggu, kumpulan ekspedisi Scott sampai ke kutub selatan, lewat lebih daripada sebulan berbanding kumpulan ekspedisi Admundsen. Seorang ahli kumpulan Scott mati. Seorang lagi berfikir dia membahayakan kumpulan lalu keluar ke ribut salji dan tidak pulang. Sebelum dia meninggalkan khemah, dia berkata, “saya mahu keluar, mungkin agak lama.”

Dalam perjalanan pulang, Scott dan kumpulannya telah berjalan selama dua bulan tetapi masih lagi berbaki 150 batu. Kesemua mereka mati. Mereka menghabiskan saki baki nyawa mereka dengan menulis di dalam diari. Antara kata-kata terakhir Scott:

“Kita mati selaku jantan. Saya fikir ini menunjukkan semangat dan kuasa untuk bertahan tidak luput daripada bangsa kita.”

Scott ada semangat tapi Scott tidak memiliki kepimpinan.
___

Pengajaran yang kita boleh ambil:

  1. Persediaan rapi dan memberikan sepenuh pemikiran dalam merancang adalah penting dalam mengharungi perjalanan.
  2. Ketelitian dapat menyediakan kita untuk menghadapi perjalanan jauh.
  3. Semangat adalah sesuatu yang diperlukan, tapi semangat tidak membawa apa-apa makna tanpa perancangan yang rapi dan perlaksanaan yang berdisiplin.
  4. Kepimpinan bukanlah sekadar berkata-kata yang menaikkan semangat. Memberikan sepenuh jiwa dan fokus serta ketelitian dan disiplin lebih penting daripada berkata-kata.

Selamat berdakwah. Semoga himmah yang tinggi membuahkan tindakan yang setanding dan amal yang konsisten.

Kalam Presiden PASCA HIMMAH 3
Eqwan Roslan
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top