Jeritan Merdeka

aman palestin

Sepi.

Dingin malam hanya bertemankan bunyi kipas siling yang sedang ligat berputar. Sesekali diselangi siulan cengkerik  yang bersahut-sahutan di luar rumah. Aman, tenang dan damai sekali. Suasana sebegini amat berharga untuk fokus menulis.

Tiba-tiba….

“ Phiewwwwwwww…….. bommm!!!”, bunyi dentuman kuat kedengaran. Banyak, berturutan dan sepertinya dekat daripada pelbagai arah.

“Astaghfirullahal’azim…,” aku beristighfar panjang seakan menjerit. Spontan menikus menundukkan kepala kerana bimbang sesuatu menghempapku. Cemas!

Mindaku pantas terbayang dan bagai terskrin di depan mata suasana perang di wilayah bergolak Gaza, Palestin. Peluru bersimpang-siur mencari mangsa tanpa belas kasihan, hujan bom meledak di sana-sini dalam keriuhan, suara tangisan dan jeritan wanita serta anak-anak kecil tenggelam di sebalik debu-debu runtuhan, cecair merah yang masih segar mengalir membasahi bumi tanpa segan. Pilu sungguh hati ini membayangkan sedemikian.

“ Vrommmmm..vrommm!!!, ” bunyi motosikal mengaum menggila mematikan lamunan. Aku bangun dari dudukku lalu berjalan menghampiri tingkap dan menguaknya sedikit.

“Mercun rupanya..,” intaiku dari celahan tingkap. Aku menggelengkan kepala beberapa kali, hati dipujuk agar bertenang dan menahan rasa ‘berapi’ pada anak-anak jiran yang sedang berjemaah bermain mercun. Kelihatan beberapa orang mat motor bersama motosikal kebanggaan masing-masing turut menyaksikan mereka sambil mengepul-ngepulkan asap rokok ke udara. Kemeriahan syawal yang masih belum berakhir amat rugi jika disia-siakan tanpa sebarang bunyi letupan mercun yang berwarna-warni dan membingitkan telinga agaknya. Telahanku kecewa. Hanya jelingan tajam yang tidak tembus dek cermin tingkap kuhantarkan tanda protes sendiri.

Oh anak merdeka!

MERDEKA KITA DAN MEREKA. APA BEZANYA?

       Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Laungan keramat pada jam tepat 12 tengah malam, 31 Ogos 1957 oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj di Padang Kelab Selangor telah menitiskan air mata kesyukuran ramai penduduk Tanah Melayu yang menyaksikan detik bersejarah itu. Jerit perih, darah dan air mata yang tertumpah dek perjuangan pembebasan yang panjang itu pasti terimbau jelas di ingatan para pejuang dan penduduk Tanah Melayu yang merasai sendiri kesukaran hidup yang dialami. Simbolik upacara penurunan bendera Union Jack dan digantikan dengan bendera Malaysia memberi maksud terpecah sudah belenggu yang mengikat leher tanah air bertuah ini daripada cengkaman penjajahan British.

       Ya, sudah 58 tahun Malaysia merdeka. Lebih lima abad juga Malaysia berkembang pesat setara negara membangun yang lain. Dalam tempoh itu juga, negara ini aman daripada pertumpahan darah dan rusuhan yang mengakibatkan kematian kecuali peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang patut dijadikan pengajaran bersama.

       Selain itu, perlembagaan yang dibentuk cukup memelihara keharmonian negara yang berbilang kaum, memberi kebebasan beragama di samping memelihara agama Islam sebagai agama persekutuan negara. Kita harus bersyukur bukan? Keamanan negara ini sungguh mahal harganya. Lihat sahaja di Syria, Palestin, Mynmar dan beberapa negara lain yang masih bergelumang dengan api perpecahan serta peperangan yang membunuh keamanan. Namun, adakah kita benar-benar merdeka? Apakah maksud merdeka yang sebenarnya? Apakah keamanan tanpa peperangan ini sudah cukup untuk kita menarik nafas lega?

       Maaf, bukan mahu diremehkan rasa syukur atas nikmat kemerdekaan yang kita rasai sekarang. Namun jauh daripada itu mahu mengajak kita berfikir sejenak nikmat apa yang telah kita terlalaikan dek lekanya pada kemerdekaan lahiriah yang diraih.

       Benar. Berbezanya negara kita dengan negara bergolak yang lain ialah peperangan. Malaysia tidak berlaku perang! Kita aman menjalani kehidupan seharian. Tiada ancaman peluru berpandu, tiada tentera-tentera ganas lagi bengis yang menggertak, bahkan kita bebas bekerja mencari rezeki selari dengan undang-undang yang telah digariskan. Namun, percayakah bahawa kehidupan kita telah lama dikawal oleh sesuatu yang tidak nyata oleh mata kasar, tetapi menyusup secara halus dan terperinci melalui pemikiran? Ia diulang dan diulang sehingga membentuk paradigma yang mencengkam masyarakat bahkan digubal sebagai undang-undang serta peraturan dalam beberapa lapangan. Sukar sekali untuk melepaskan diri daripada belenggu ini. Penyebarannya bukan kecil-kecilan di satu daerah sahaja, lebih daripada itu tersebar pantas di seluruh pelusuk dunia.

Berpeluh cemas? Selamat berkenalan dengan  perang pemikiran atau dikenali sebagai ghazwul fikr.

PERANG PEMIKIRAN : KITA TIDAK TERKECUALI !

       Perang pemikiran dalam erti kata luas bermaksud peperangan bersenjatakan fikiran, idea, tulisan, ideologi, argumentasi dan propaganda. Ia tidak berdiri sendiri kerana ia tidak lari daripada objektif peperangan itu sendiri iaitu memurtadkan kaum muslimin daripada agama Islam. Sekiranya tidak tercapai, sudah cukup membanggakan jika dapat menjauhkan umat Islam dan masyarakatnya daripada tali agamanya yang lurus. Malah, wajib kita ketahui bahawa perang pemikiran ini adalah pelengkap dan penyempurna cara bagi misi orang kafir dalam merosakkan islam dan umatnya.
Menurut pengkaji ghazwul fikr, perang pemikiran ini dilaksanakan melalui beberapa cara, antaranya ialah :

  • Menimbulkan keraguan-keraguan (tasykik) orang islam terhadap agama islam. Al-Quran dan hadith dipersoalkan kebenarannya dengan mengeluarkan pelbagai teori bohong diungkapkan oleh para orientalis barat. Tujuannya agar orang islam tidak lagi membaca mahupun mengkajinya.
  •  Pengaburan (tasywih) dengan cara menggambarkan islam secara buruk  yang digembar-gemburkan orang kafir untuk menghilangkan kebanggaan orang islam terhadap agama islam. Contohnya, islam dilabel sebagai teroris, ekstrimis, fundamentalis dan sebagainya.
  •  Pelarutan dan percampuradukkan (tadzwiib) antara pemikiran serta budaya islam dengan pemikiran serta budaya jahiliyah. Tujuannya jelas untuk mengurangkan jurang antara pemikiran dan budaya islam dengan jahiliyah agar umat islam tidak lagi dapat membezakan mana pemikiran dan budaya yang digariskan oleh islam sebenar.
  •  Pembaratan (taghrib) iaitu mendorong orang islam untuk menyenangi budaya, gaya hidup dan pemikiran barat serta pada masa yang sama cuba mengikis nilai-nilai islam lalu digantikan dengan nilai-nilai barat.

Ternganga? Tutup mulut anda.

      Rela atapun tidak, kita tidak terlepas daripada terjerumus dalam agenda serangan pemikiran ini. Mahu ataupun tidak, kita telahpun tersenarai dalam golongan yang disasarkan. Percaya mahupun tidak, kita telahpun dibesarkan dengan pengaruh agenda serangan pemikiran ini sedari kecil lagi bahkan oleh ibu bapa kita sendiri kerana mereka juga telah terpedaya!

      Pelbagai taktik dan medium  telah dilakukan rapi oleh orang kafir yang memusuhi islam ini. Jika diperhatikan dengan teliti di segenap sisi kehidupan kita, pasti akan ditemui bekas-bekas perang pemikiran yang telah berjaya dilancarkan. Ramai yang telah melihatnya, namun tidak ramai yang menyedarinya. Antaranya ialah 5s dan 4f iaitu sex (seks), sport (sukan), smoke (asap rokok), song(lagu), female (perempuan), fun (hiburan), food (makanan) dan fashion (fesyen).

PERANG PEMIKIRAN BERADA DI SEKITAR KITA

      Antara  contoh perang pemikiran yang telah dilancarkan oleh Yahudi dalam filem seperti yang dinyatakan  dalam sebuah buku bertajuk “ Teori Konspirasi; Rahsia Yahudi dalam Filem” ditulis bahawa antara pengaruh yang paling bahaya dibawa oleh Yahudi dalam filem Hollywood ialah dialog-dialog yang membawa manusia meragui akan kewujudan Tuhan. Pelbagai pendekatan yang dilakukan untuk mempromosikan pemikiran ini seperti mendidik masyarakat agar mempercayai sains mampu membongkar bahawa Tuhan itu lemah, tidak wujud dan boleh diatasi. Selain elemen sains, mereka juga menggunakan elemen takdir, nasib dan tuah seseorang untuk mengajak masyarakat tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Hal ini sudah terbukti berhasil dengan kewujudan ramai kelompok Atheis di serata dunia. Contohnya, dalam filem Sunset Limited dan Back to the Future. Inilah cerita-cerita yang ditayangkan di kaca televisyen dan ditonton anak-anak kita!

      Antara lain, satu artikel yang dipetik daripada Majalah al-Islam bertajuk “Agenda Anti-Islam dan Media Massa” berkenaan penghasilan komik kontroversi yang menghina islam oleh Charlie Hebdo telah diterbitkan untuk mempromosikan islamofobia di kalangan masyarakat selain meraih keuntungan berlipat kali ganda. Islamofobia semakin popular di seluruh dunia ketika peristiwa serangan berdarah ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York pada September 2001. Antara propaganda yang digambarkan ialah islam dilihat seperti monolitik, statik, tidak berkembang di samping terpisah dengan budaya Barat yang mengamalkan kebebasan mutlak serta mengamalkan hak asasi.  Inilah pengaburan (tashwih) yang cuba dilakukan mereka.

       Selain itu, medium yang ketara berjaya memperdaya ramai orang islam ialah melalui smoke atau lebih tepat lagi asap rokok. Penciptaan rokok yang telah terbukti  boleh menjejaskan kesihatan serta mendatangkan pelbagai penyakit kronik ternyata tidak dihiraukan oleh penggemar-penggemarnya terutamanya kaum lelaki. Tambahan lagi, inovasi baru yang telah dihasilkan iaitu rokok elektronik atau dikenali sebagai vape telah memberi lebih pilihan kepada mereka untuk membunuh diri sendiri walaupun fatwa yang dikeluarkan menyatakan pengharaman ke atasnya. Vape yang boleh didapati dalam pelbagai perisa itu ternyata berjaya membutakan mata generasi anak muda kita yang tanpa segan silu merakamkan aksi mereka melepaskan asap di udara. Bermacam gaya. Sungguh menyedihkan!           

      Banyak lagi contoh-contoh bukti perang pemikiran yang telah berjaya meresap dalam kalangan masyarakat kita. Fesyen adalah antara yang ketara serta pantas merebak. Antaranya ialah gaya fesyen pelik yang tercelup daripada Barat seperti gaya K-Pop, Punk dan yang paling terkini ialah fesyen Lolita. Fesyen yang berasal dari Jepun ini adalah satu jenis fesyen pemakaian ala Victoria atau Rococo yang moden dengan skirt kembang dan aksesori yang banyak. Selain itu, muslimah kita juga tidak sikit yang terpengaruh dengan gaya pemakaian yang bertopengkan islam tetapi sebenarnya tidak menepati syara’. Sebagai contoh, gaya tudung dan baju yang hampir menyerupai agama lain dan pakaian yang menutupi segenap kulit badan tetapi ketat serta jarang. Itulah yang telah disabdakan Rasulullah SAW sebagai berpakaian tetapi bertelanjang.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                    ANDA TERCEDERA? ANDA MAMPU MERAWATNYA

       Konspirasi Yahudi serta sekutunya untuk menghancurkan islam dan umatnya tidak mampu kita lawan dalam masa yang singkat. Namun, jadilah kita umpama burung kecil yang berusaha keras untuk memadamkan api yang sedang membakar Nabi Ibrahim biarpun air yang amat sedikit dibawa tampak mustahil untuk melakukannya. Tetapi ingatlah, tiada yang sia-sia di sisi Allah SWT dan tiada yang luput dari kiraan serta pemerhatian-Nya.

Berikut adalah saranan-saranan yang boleh dilakukan untuk merawat diri setelah tercedera terkena tembakan serangan pemikiran :

  1. Tambahkan ilmu berpandukan al-Quran dan hadith.
  2. Bertaubat atau kembali kepada Allah.
  3. Berazam untuk meninggalkan dosa dan perkara negatif.
  4. Kenali musuh islam dan agenda mereka.
  5.  Mendampingi orang-orang soleh.
  6.  Mengajak orang lain supaya tidak terpedaya.
  7.  Berusaha untuk istiqomah.
  8. Mewujudkan suasana kebaikan
  9. Menyertai jemaah islam yang boleh membimbing.
  10. Berdoa untuk keselamatan diri, keluarga, agama dan umat islam.
  11. Memboikot barang-barang yang dikeluarkan oleh yahudi dan sekutunya.

        Kesimpulannya, kemerdekaan daripada penjajahan kuasa asing adalah satu nikmat yang harus disyukuri. Namun, harus diingat bahawa kemerdekaan lahiriah itu tidak menjamin kemerdekaan dalaman yang mencakupi spiritual, intelektual, rohani dan emosi setiap rakyatnya. Hal ini kerana, walaupun negara tidak lagi dijajah secara zahirnya dengan kereta kebal, senjata mahupun ancaman kepada pemimpin negara, namun ia masih diracuni oleh pemikiran dan ideologi Barat yang dicedok serta diaplikasikan dalam negara. Perang pemikiran inilah modus operandi yang digunakan oleh Barat serta Yahudi untuk mempengaruhi, mendoktrin dan akhirnya secara tidak sedar mengawal pemikiran dan tindakan kita. Sesungguhnya mereka juga tidak akan pernah putus asa menghentam kita!

“ Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka. Katakanlah, “sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya). Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong dari Allah”

(Surah al-Baqarah :120)

       Justeru, sebagai belia yang sedar akan percaturan kotor Yahudi dan sekutunya terhadap islam, pasakkanlah keyakinan dan aqidah kepada Allah yang Maha Esa kerana itulah benteng yang paling ampuh. Perteguhkanlah persaudaraan sesama muslim dan semaikanlah budaya amar makruf nahi mungkar agar golongan taghut ini berasa gentar terhadap kesatuan suci ini sehingga panji kemenangan islam dikibarkan.  Semoga kita sentiasa berusaha menggolongkan diri dalam kalangan pejuang yang meloloskan diri daripada belenggu perang pemikiran yang mencengkam kehidupan. Sesungguhnya, jeritan merdeka (daripada syaitan dan taghut) akan terus dilaungkan sehingga nyawa di kerongkongan.

Wallahua’lam.

Disediakan oleh,

Nor Hidayah Ab Aziz,

JK PSM PEMBINA Kuala Terengganu.

Author media

More posts by media

Leave a Reply