Perjalanan sebagai seorang mahasiswa, bukanlah ibarat berjalan di atas karpet merah, sebaliknya ibarat berjalan di atas jalan yang berliku, penuh onak duri, demi mengenggam segulung ijazah. Namun begitu, disebalik liku-liku hidup sang mahasiswa, Malaysia baru-baru ini telah digemparkan dengan isu Mahasiswa yang terjebak dengan budaya 4K iaitu Kuliah, Katil, Kafe dan Komputer.

Mahasiswa hari ini seolah-olah kaku dan lesu. Sebagai mahasiswa, saya akui, di dalam kelas, ada kalangan mereka yang lebih gemar bermain telefon bimbit daripada menumpukan perhatian dalam kuliah, berlama-lama di kafe sambil bersembang dan menonoton televisyen, malas keluar dan lebih suka berehat-rehat di katil bilik dan asyik menelaah permainan komputer berbanding buku-buku dan pelajaran, hatta wi-fi perpustakaan pun mereka gunakan untuk memuat turun permainan terbaru dan episod terkini drama-drama pujaan hati.

Masa ibarat dibuang sia-sia, akhirnya apabila minggu menghantar tugasan telah tiba, barulah tiba-tiba bersemangat nak buat kerja, lantas hasilnya, taklah berkualiti mana…Pensyarah pun hadir ke kelas dengan penuh kekeluhan dan kekecewaan.

Apabila tiba masanya untuk bergraduasi, genggamlah mereka segulung ijazah, namun begitu, sedihnya tatkala melihat, keputusannya tidaklah cemerlang mana.. Cukup makan untuk layak bergraduasi. Adakah mahasiswa sebegini yang kita mahukan?

Melihatkan fenomena ini saya makin tertanya-tanya, apa sebenarnya asbab kelayuan mahasiswa kita hari ini? Setelah saya mencari dan meneliti realiti ini, salah satu punca yang telah mejangkitkan mahasiswa dengan fenomena 4K ini adalah kurangnya rasa tanggungjawab dalam memahami erti menjadi mahasiswa.

Ramai di antara sahabat-sahabat saya yang hadir ke universiti dengan harapan ingin bebas jauh dari kongkongan keluarga, dari apa-apa tanggungjawab yang membebankan diri. Namun begitu, kebebasan mereka yang dipandu nafsu akhirnya terbabas jatuh dalam kancah kelalaian. Mereka tidak menjiwai erti menjadi mahasiswa, tidak punya rasa tanggungjawab dan kesungguhan untuk cemerlang di medan universiti.

Minda mereka hanya mahu melakukan apa yang mereka suka, mencari jalan mudah dalam setiap perkara dan bersenang lenang berlibur bersama-sama. Hasilnya? Mahasiswa kita hari ini bergraduasi dengan penyakit 4K yang saya amat khuatiri akan berjangkit di alam pekerjaan nanti.

Apakah tiada harapan buat sang mahasiswa untuk merawat diri dari terus terjerumus dalam dunia 4K ini?

Solusinya, pertama, mahasiswa sendiri hendaklah memahami dan menjiwai tanggungjawab sebagai penuntut ilmu. Saya masih ingat sewaktu di sekolah rendah, guru saya selalu pesan – “Amalina, tuntutlah ilmu sampai ke Menara gading”.

Hai sahabat, sedarlah, dalam beribu-ribu sahabat kita yang lain memohon untuk menyambung pelajaran melalui UPU, kita telah Allah rezekikan dengan peluang ke Menara gading. Hadirnya kita ke universiti ini bukanlah untuk bersenang lenang, bersuka ria, tetapi kita hadir dengan menggalas tanggungjawab untuk menuntut ilmu. Kitalah pewaris tampuk pimpinan yang akan menerajui Malaysia.

Saidina Umar pernah berkata “Pemuda hari ini adalah cerminan pemuda akan datang”.

Mahukah kita melihat generasi anak bangsa akan datang semakin lalai dan layu atas kealpaan kita? Mahukah kita lihat kemunduran negara sendiri akibat ketidak seriusan kita dalam menuntut ilmu? Sedarlah mahasiswa, kaulah harapan yang akan memimpin negara.

Selain itu, mahasiswa juga harus sedar masa itu sangat berharga buat kita. 24 jam yang kita ada, jika diurus dengan betul, macam-macam yang dapat kita lakukan.

Pepatah Arab ada berbunyi “ Waktu itu ibarat pedang, jika kita tak potong dia, dia akan potong kita”

Jika majoriti masa kita hanyalah diluangkan untuk Komputer (gajet, permainan Komputer, menonton filem), bila masanya untuk kita melunaskan tugasan kita, mengulangkaji pelajaran?

Sedarlah mahasiswa, kita ini dah mulai menjengah usia 20an, ayuh sibukkan masa kita dengan perkara-perkara berfaedah, antaranya adalah dengan menyertai aktivisme bersama mana-mana persatuan dalam mahupun luar universiti.

Saya meru pakan aktivis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) di UNIMAS. Sepanjang menjadi aktivis persatuan ini, pelbagai pengalaman telah saya kutip, program-program ilmu dan kerohanian yang telah saya anjurkan dan sertai telah memberikan saya pelbagai pengalaman dalam bidang kepimpinan selain mengubah persepsi saya serta membakar semangat untuk menjadi mahasiswa yang cemerlang dan mampu berbakti kepada masyrakat.

Walau sibuk beraktivisme, pelajaran tidak pernah saya abaikan. Keputusan peperiksaan saya juga masih berada di tahap yang memuaskan. Maka, beraktivisme juga mampu menjadi wadah untuk kita menyalurkan tenaga dan semangat kita ke arah perkara yang lebih bermanfaat, bukan membazir masa semata.

Pada pandangan saya, sebenarnya, kunci kepada permasalahan mahasiswa 4K ini adalah apabila mahasiswa mulai hidup beragenda. Mahasiswa yang beragenda adalah mahasiswa yang sedar akan tanggungjawab dan kewajipannya menuntut ilmu, maka dia akan bersungguh agar menggapai keputusan yang cemerlang. Dia juga sedar dan tahu, dia punya tanggungjawab yang harus dipikul di bahu, kerana suatu hari nanti dialah yang bakal mengorak langkah mendidik anak bangsa. Dia matang dalam kehidupan, menghakis sisa-sisa perangai ke anak-anakkan yang mahu bebas dari sebarang taklifan. Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

“Sesungguhnya Allah TAKJUB(kagum) dengan PEMUDA yang tiada dalam dirinya sifat KEBUDAK-BUDAKAN…” (Hadith Riwayat Ahmad)

Apabila mahasiswa jelas dengan agenda dan tujuan hidupnya, maka, tiada lagi penyakit 4K yang melemahkan mereka, melainkan apabila mahasiswa itu mulai futur, kembali alpa dan leka.

Konklusinya, mahasiswa hari ini sebenarnya mampu untuk cemerlang seandainya mereka keluar dari penindasan 4K yang sangat membazirkan tenaga dan masa mereka. Mahasiswa ini sebenarnya asset penting negara kerana merekalah anak bangsa yang akan mencorakkan generasi akan datang.

Jika kita tidak berusaha untuk mengubah diri kita ke arah kebaikkan, masih tidak mahu berganjak melakukan perubahan, apalah nasib negara kita di masa hadapan? Tepuk dada, tanya selera. Semoga Bermanfaat

Wallahu’alam.

amalina-annuar-solusi-mahasiswa-4k
Amalina Annuar
Biro Kajian PEMBINA
Setiausaha 1 PEMBINA UNIMAS
Anugerah Dekan setiap Semester, Anugerah Tokoh Mahasiswi 2016