Jangan korbankan kepentingan lulus BM SPM

Pada pembentangan bajet 2017 yang lalu, Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Najib bin Abdul Razak telah mengumumkan pengambilan Pegawai Perubatan Gred UD41 secara lantikan kontrak. Pengambilan secara kontrak ini adalah bagi menyelesaikan isu lambakan dan pengangguran dalam tempoh yang lama graduan jurusan perubatan.

Baru-baru ini, timbul pula isu apabila pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberikan persetujuan memberikan kelonggaran untuk syarat lulus subjek Bahasa Melayu peringkan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) kepada calon pegawai perubatan yang tidak mengambil SPM.

Pada asalnya, lulus subjek Bahasa Melayu SPM adalah salah satu syarat wajib sebelum ditawarkan sebagai Pegawai Perubatan Gred UD41 (houseman) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jika ada calon pegawai yang tidak mengambil SPM, mereka dikehendaki terlebih dahulu mengambil peperiksaan tersebut bagi membolehkan mereka dilantik secara kontrak. Dikatakan bahawa masalah timbul apabila mereka hendak mendaftar untuk menduduki peperiksaan BM SPM tetapi dikehendaki megambil 6 subjek sekaligus termasuk subjek sejarah.

Dengan kelonggaran yang diberikan oleh pihak JPA ini, bermaksud mereka tidak perlu memenuhi syarat lulus BM SPM untuk lantikan secara kontrak. Namun syarat ini masih wajib dipenuhi sekiranya mereka diserap untuk lantikan tetap.

Persoalannya, mengapa syarat lulus BM SPM tersebut hendak dimansuhkan? Bukankah ada cara lain untuk menyelesaikan masalah ini seperti menyediakan masa dan cuti khas untuk mereka menduduki peperiksaan ini?

Penjawat awam lantikan kontrak mahupun lantikan tetap adalah pekerja yang bermajikankan negara ini, mengangkat sumpah taat seetia kepada raja serta menjunjung perlembagaan negara. Mereka perlu mempunyai sifat jati diri yang tinggi. Sifat jati diri yang tinggi dan beridentitikan negara yang berdaulat adalah sifat yang dibentuk melalui sistem pendidikan di negara kita.

Mari kita semak kembali Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK). Kelonggaran ini adalah suatu bentuk pengkhianatan terhadap DPK. Menguasai ilmu perubatan semata-mata tidak mencukupi untuk memenuhi hasrat pendidikan untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Mereka yang tidak menjunjung dasar yang ditetapkan ini tidak seharusnya mengeluh apabila tidak mendapat tempat dalam perkhidmatan awam sebaliknya cuba untuk memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu lulus BM SPPM.

Dalam menyelesaikan masalah lambakan graduan perubatan, kerajaan tidak harus mengabaikan perkara asas yang membentuk perpaduan rakyat. Sesuatu masalah tidak akan selesai dengan cara menimbulkan masalah yang lain di kemudian hari. Perpaduan negara ini harus dijadikan antara aspek utama yang perlu diletakkan dalam menetapkan sesuatu dasar atau ketetapan dalam segenap aspek pentadbiran.

Nor Syamimi Musa

Ahli Kolumnis Pembina