Jangan Bunuh Masa Muda

masa-itu-emas

Gempar seluruh negara dengan aksi gadis bertudung yang berkelakuan kurang sopan di konsert artis Korea yang lalu. Fenomena ini bukan baru. Ia adalah satu dari ledakan-ledakan kemuncak terlalu fanatik kepada hiburan. Hedonisme yang melampau.

Bila kita soroti, aksi tersebut bukan berlaku dengan tiba-tiba. Bahkan terdapat pengakuan dari pengunjung konsert tersebut yang mengakui bahawa gadis-gadis itu bersetuju diperlakukan sedemikian. Seolah-olah ia adalah natijah akhlak seorang gadis yang semakin hilang rasa malu dan terhijabnya rasa takut pada azab Allah.

Adakah aksi peluk cium itu sahaja yang patut kita marahkan dan pertikaikan?

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Dua kenikmatan, kebanyakan manusia tertipu dengannya; Kesihatan dan Masa Lapang.”

Menggunakan masa lapang untuk hiburan yang tidak dikawal telah menjadikan mereka mangsa pada hari ini. Ya, bukan hanya peminat K-Pop. Begitu juga bagi kegilaan Online Game, Komik Online, novel-novel, drama-drama bersiri di televisyen, program realiti tv dan sebagainya. Ia akan menjadi satu ketagihan sekiranya tidak dikawal dengan ilmu agama dan dibendung dengan akal yang rasional.

Saya ambil hiburan K-Pop sebagai contoh paling dekat.

Hiburan dari Korea Selatan menjengah tanah air di akhir usia pengaruh hiburan Hindustan. Bermula dengan beberapa siri drama dan filem Korea yang dipertontonkan di kaca TV (yang telah disaring adegan kurang senonoh) dan penjualan DVD drama bersiri, maka lahirlah peminat-peminat yang mula mencari alternatif di laman web.

Seiring perkembangan masa, ilmu dan teknologi, peminat disajikan lebih banyak alternatif, lebih-lebih lagi apabila lagu-lagu, program realiti tv dan konsert yang dirakam telah diterjemah ke Bahasa Inggeris. Bahasa yang lebih mudah difahami maknanya berbanding bahasa Korea. Namun kebanyakan adegan-adegan intim dan kurang senonoh terpampang di hadapan mata seolah-olah tiada yang menapis dari menapak di minda penggemarnya.

Ketika masa lapang yang ada, hanyut dalam keseronokan dan asyik melayari internet yang menyajikan pelbagai pilihan hiburan. Bermula dengan mengikuti siri-sirinya. Kemudian memuat turun dan menyusun jadual agar tidak terlepas setiap siri yang terkini. Malah ternanti-nanti dan mencari-cari video berkenaan artis atau genre kegemaran. Mencari dan menyertai kelab-kelab peminat. Mula berkongsi minat  dengan rakan-rakan dan mencari kelompok yang sama jiwa. Mula menjadi khayal dalam dunia fantasi. Masa tidur dan rehat sudah berapa kali dikorbankan.

Penganjur konsert pula mengambil kesempatan atas kegilaan ini dengan menawarkan peluang berjumpa secara langsung dengan artis-artis tersebut. Mereka menarah wang ringgit anak-anak muda kita membeli dengan rakus masa-masa muda mereka.  Sedangkan konsert-konsert itu tidak pernah mengubat jiwa yang tidak pernah puas, malah menjadikan ia satu ketagihan di sela-sela masa lapang saban hari. Ya, barangkali nikmat masa lapang itu telah dikhianati. Maka, apabila segala angan-angan dan khayalan boleh menjadi realiti, segala peluang diambil sehingga terlupa sebentar hakikat diri.

Masa muda adalah amanah dan masa berharga bagi seorang manusia. Orang muda mampu membawa perubahan pada dunia dengan kudrat, kecerdikan ilmu dan masa lapang yang banyak. Bahkan kita akan dipersoalkan di hari akhirat kelak, bagaimana masa muda itu kita isikan?

Bersama PEMBINA, saya menjumpai ramai rakan-rakan yang telah kembali mencari diri dari kelekaan yang menghanyutkan. Kesibukan melakukan aktiviti bersama ahli dan masyarakat, mengalihkan perhatian dari kembali terjerumus ke lembah yang sia-sia.

Bagi rakan-rakan yang mahu mencari jalan keluar dari kegilaan ini, kami sedia menyambut anda dengan tangan terbuka. Di ketika ini, anda sangat memerlukan rakan-rakan yang mampu menasihati, menjadi contoh dan membimbing ke jalan yang lebih baik. Yang memahami jiwa, yang mahu memberi anda peluang kedua.

Khairunnisa binti Mazlan

JK Pembangunan Organisasi

Majlis Mahasiswa

PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top