Iman dan Takwa – Ghazali Yaid

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kita panjatkan kerana dipertemukan oleh Allah SWT dengan bulan Ramadhan yang penuh barakah. Semoga kita dapat menjalani bulan ini dengan penuh keimanan dan ihtisab untuk mencapai ketakwaan.
Sesungguhnya syaitan telah dirantai pada bulan Ramadhan ini. Maka tinggallah dua sahaja iaitu diri sendiri dan nafsu. Jika diri gagal mendidik nafsunya sekarang, diri akan terancam apabila syaitan kembali menggoda nafsu untuk mengheret diri ke lembah kejahilan. Pada bulan Ramadhan ini juga pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Maka perbanyakkanlah istighfar, bertaubat agar hati menjadi bersih dan jernih daripada dosa. Sesungguhnya Islam ini tidak akan menang di tangan-tangan pemilik hati yang kotor dan suka bermaksiat. Kata-kata yang keluar dari hati yang kotor tidak akan memberi kesan pada manusia. Hati yang kotor juga amat sukar untuk menerima kebaikan dan kefakihan.
..بَعُدَ منْ أدرَكَ رمَضَانَ فَلِمْ يُغْفَرْلَهُ ..
“Celakalah orang yang melalui bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak diampuni” – HR Al Hakim
Para dai’e semua adalah qudwah amaliyah kepada orang sekelilingnya. Menjadi kewajipan untuk sang dai’e mencapai tahap yang tertinggi dalam soal pengorbanan, akhlak yang mulia dan kejernihan hati. Pada bulan Ramadhan, Allah telah mengharamkan perkara yang harus pada waktu siang sebagai satu bentuk pendidikan. Ini secara tidak langsung melatih kemampuan dai’e untuk meninggalkan perkara-perkara mubah tertentu yang mana tidak berdosa jika dilakukan, tetapi boleh menyebabkan orang lain terjerumus pada dosa atau terkeluar dari lembah kesederhanaan jika mereka meneladaninya. Misalnya memakai pakaian yang mempunyai potongan yang luar dari kelaziman, berbelanja barang-barang yang mahal dan seumpamanya.
Ramadhan bagi seorang pendakwah pastinya lebih menghangatkan jiwa, kerana pada bulan ini mereka menjadi lebih kuat berbanding bulan yang lainnya. Oleh itu, harusnya para da’ie berebut pada bulan ini untuk menyentuh lebih banyak hati manusia yang jauh dari kebaikan.
Sedarlah daripada terlalu banyak berangan-angan kosong sehingga banyak amal dakwah terbantut. Beruzlah-lah daripada kejahilan manusia dan kehinaan dunia, tetapi bukan beruzlah daripada melakukan dakwah kepada masyarakat. Orang Islam rata-ratanya menjadi baik dan ingin mendekati Al Quran pada bulan ini adalah peluang untuk para dai’e menyentuh jiwa mereka dengan hakikat Al Quran.
Salam Ramadhan.
DEKATI ILAHI, HIDUPKAN JIWA DAI’E

 

Oleh:

Ghazali Yaid
Setiausaha Agung PEMBINA

Author media

More posts by media

Join the discussion One Comment

Leave a Reply