Naima : Suka mencuba perkara baru

“Saya sengaja bagi Naima dapat A- sebab saya tahu Naima boleh buat lagi baik daripada itu. Sebab cikgu tengok Naima dah terlalu selesa dalam zon selesa”, Cikgu Kusarah.

Begitulah kata-kata seorang pendidik yang cukup mengesani hati Saudari Nurnaima binti Zainuddin sehingga ke hari ini. Intipati kata-kata ringkas ini telah memberikan impak yang sangat besar kepada dirinya lalu mendorong beliau agar sentiasa keluar dari zon selesa. Jadi tidak hairan jugalah, kata-kata itu telah membentuk peribadi dirinya menjadi seseorang yang cepat berdikari, tegas dan selalu berfikir di luar kotak.

Anak perempuan bongsu ini merupakan anak ke-10 daripada 12 orang adik beradik kepada pasangan Encik Zainuddin dan Puan Zainon. Beliau dilahirkan pada tanggal 30 Jun 1990 di Kuala Kangsar, Perak dan kini keluarganya menetap di Kuala Klawang, Negeri Sembilan.

Setelah mendapat pengajian awal di Sekolah Kebangsaan Kuala Klawang dan Sekolah Menengah Undang Jelebu di Negeri Sembilan, beliau meneruskan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam di Sekolah Menengah Teknik Datuk Seri Mohd Zin, Alor Gajah dan kemudian menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Melaka dalam bidang Sains Fizik. Kini beliau merupakan pelajar tahun akhir Jurusan Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nurnaima (hujung kiri) bersama keluarga dan sanak saudara

Sekalipun sibuk dengan komitmen sebagai mahasiswa di semester akhir, beliau telah diamanahkan bagi memikul tanggungjawab sebagai Jawatankuasa Media PEMBINA Pusat (JK Media PEMBINA Pusat). Sepanjang penglibatan beliau bersama PEMBINA semenjak 2008, beliau yakin dengan usaha PEMBINA dalam melahirkan mahasiswa Islam untuk terlibat secara positif dalam aktiviti pembangunan negara. Saudari Naima berpendapat, pembangunan negara yang progresif tidak mampu dicapai seandainya golongan intelek yakni mahasiswa hari ini lesu dan bersikap tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku di sekitar mereka apatah lagi yang berlaku di negara ini. Aspek jatidiri mahasiswa Islam yang ditekankan oleh PEMBINA sangat relevan pada masa kini memandangkan semakin ramai mahasiswa Islam pada hari ini berada dalam kecelaruan identiti dan mula hilang halatuju. Oleh itu, beliau berharap agar semua ahli PEMBINA dan mahasiswa Islam bersama-sama sepakat dalam “Meneraju Arus Mahasiswa”.

Bekas pendebat ini sememangnya aktif dalam aktiviti kokurikulum dan berpersatuan seawal usia 12 tahun. Beliau aktif menyertai pelbagai pertandingan; antaranya pertandingan syarahan, deklamasi puisi, pidato dan debat Bahasa Inggeris sehingga ke peringkat negeri dan kebangsaan. Pengalaman selama 5 tahun berkecimpung dalam debat Bahasa Inggeris membuahkan hasil apabila beliau dapat bertanding debat Bahasa Inggeris di Kejohanan Antara Teknik (KAT) peringkat kebangsaan. Antara penglibatan beliau dalam berpersatuan adalah sebagai Ketua Editor bagi majalah dan buletin di sekolah dan matrikulasi, aktif sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Ketua Pasukan Debat, Pengerusi Persatuan Puteri Islam, Pengarah Urusan Syarikat Votag Kraf Sdn.Bhd (Program Usahawan Muda-PUM), memegang jawatan sebagai Timbalan Exco Penerbitan dan Penerangan dalam Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) di Kolej Matrikulasi Melaka, Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, AJK bagi HIMPUN, Konvensyen Keluarga Melayu Muslim, Dialog Student Power, Timbalan Pengarah Zero to Hero UKM serta terlibat dalam pertandingan anjuran Microsoft- Imagine Cup.

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Kolej Matrikulasi Melaka sesi 2008/2009

Sikap ingin mencuba perkara baru terserlah dalam diri Saudari Naima apabila beliau telah diberikan peluang dan kepercayaan untuk terlibat sama dalam sebuah penyelidikan yang mengabungkan keilmuan dalam bidang teknologi maklumat (artificial intelligent) dan bidang perubatan (diagnosing brain tumour) di bawah penyeliaan para pensyarah FTSM dan doktor perubatan PPUKM. Disamping harus membina sistem perubatan dan menulis tesis, beliau juga sedang menyiapkan jurnal bagi membentangkan penyelidikan yang dilakukannya. Sungguhpun beliau masih merupakan pelajar sarjana muda, beliau berharap penulisan jurnal tersebut dapat memberikan manfaat dalam bidang teknologi maklumat dan bidang perubatan.

Bila ditanya mengenai perancangan 5 tahun akan datang, beliau yang suka mencatat idea-idea baru dalam buku nota kecilnya berkata, beliau ingin menyambung pelajaran dalam MSc in Information Systems & Business Analysis di Aston University dan akhirnya merancang untuk membuka syarikat perundingan IT yang menjurus dalam bidang perubatan, pendidikan dan telekomunikasi.

Di akhir perbualan, beliau mengingatkan kepada semua mahasiswa agar keluar dari zon selesa dan sentiasa berazam untuk menyalurkan segala potensi dan bakat pada diri bagi memartabatkan agama Islam dan ingatlah bahawa “potensi diri adalah untuk digilap lalu disebarkan, bukan untuk disimpan”.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top