PUNCAK ALAM, 22 APRIL – Mohd Eqwan bin Mohd Roslan, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menyebut bahawa keadaan identiti negara dipertaruhkan demi kepentingan politik dalam ucapan dasarnya pada Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan ke-10 (MATK10).

“Saya golongan muda dan saya mahu dikenali sebagai manusia yang berbangsa Melayu (beragama Islam) dan boleh hidup harmoni dengan bangsa-bangsa lain dalam kerangka kenegaraan dan identiti negara yang telah dipersetujui bersama dalam Kontrak Sosial. Cubaan untuk mengubah identiti diri dan negara ini tidak perlu diterima,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, “Perpaduan tidak perlu berlandaskan retorik politik dan pemaksaan identiti. Ia perlu berlandaskan sesuatu yang kukuh dan mendasar. Paling minima adalah bercakap menggunakan bahasa yang sama dan sistem pendidikan yang membawa kepada perpaduan. Adalah lebih baik kita merujuk ahli-ahli akademik dan pakar pendidikan dalam hal ini.”

Dalam mengejar pembangunan daripada sudut material, asas kepada pembangunan yang berasaskan kepada nilai-nilai murni tidak harus dilupakan. Jika tidak, pembangunan tersebut bakal memberi kerosakan dan membawa kepada keruntuhan tamadun dan peradaban.

Di akhir ucapannya, beliau menegaskan sekali lagi bahawa identiti negara adalah penting untuk dipelihara supaya fokus dan tenaga rakyat dapat diberikan untuk membangunkan serta mensejahterakan tanah ini. Ia perlulah diusahakan di semua peringkat, bermula daripada peringkat pendidikan itu sendiri.

Disediakan oleh Muhammad Syafiee (Wartawan PEMBINA)