Kenyataan Senator P Waytha Moorthy bahawa kerajaan akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah satu tindakan yang tidak tepat dan bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.

ICERD merupakan salah satu alat untuk mengukur sejauh mana negara ini memenuhi “citarasa” hak asasi manusia mengikut kefahaman barat. Jadinya, apa-apa insitusi dan usaha yang berasaskan kaum akan dihapuskan. Kesan kepada Malaysia adalah seperti MARA, MRSM dan UiTM dihapuskan, penghapusan tanah rizab melayu dan yang paling penting kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera dalam Artikel 153 perlembagaan kita juga perlu dihapuskan.

Bagi saya kesilapan yang dilakukan oleh pihak menteri adalah melihat Artikel 153 dan usaha memartabatkan bangsa Melayu adalah tindakan superior dan mengancam bangsa lain. Sebab itu, ada menteri yang menyatakan bahawa ketuanan Melayu itu tidak perlu kerana bersifat rasis.

Tuan-tuan, kita perlu fahami bahawa sejarah negara kita dibina atas dasar orang Melayu bertoleransi untuk memberi kerakyatan kepada kaum lain. Ini satu sejarah yang sangat manis menunjukkan bagaimana toleransi berlaku. Kaum lain juga turut menghormati kedudukan istimewa orang Melayu di dalam perlembagaan dan keistimewaan yang dimiliki. Keistimewaan ini juga bertitik tolak apabila taraf ekonomi orang Melayu ketika waktu itu jauh berbeza dengan kaum lain sedangkan mereka tuan tanah ini.

Cukup untuk kita membawa masyarakat Malaysia untuk kembali kepada titik sejarah ini. Yang menjadikan perpecahan kaum adalah bila mana ada usaha yang cuba untuk merubah bentuk negara kita dengan mempertikaikan kedudukan Melayu dan sistem Raja Berpelembagaan.

Pada sudut mana di negara ini yang kita lihat kaum lain tidak diberi hak yang sama rata? Bukan untuk bersifat rasis, tapi perlu bersikap realistik. Kekayaan boleh dimiliki oleh sesiapa pun, bahkan agama lain boleh diamalkan dengan amannya.

Ini yang perlu diketahui oleh menteri kita. Bukan terus melulu membuat keputusan bersetuju kepada semua perkara. Kita kena dan perlu hormat perlembagaan. Sudah dinyatakan dengan jelas Artikel 153 memberi kedudukan istimewa kepada orang Melayu. Kedudukan raja juga boleh dipertikaikan kerana menjaga hak istimewa orang Melayu. Tidak ke pelik kalau kita mahu tanda tangani dan memperbetulkan ICERD dalam masa yang sama tak nak ubah perlembagaan. Kalau pimpinan negara tidak menghormati perlembagaan kita, macam mana pula rakyat kita nak hormat dan lebih jauh pada orang luar negara untuk hormat negara kita.

Saya tidak mahu untuk kita mengulang perkara yang sama berulang kali, mengulang pergaduhan yang sama dan mengulang hujah yang sama. Sudah sampai saya kira untuk mengajak masyarakat Malaysia terutama orang muda tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik untuk menjadikan rukun negara sebagai asas kesatuan kita. Saya percaya golongan muda negara ini sudah muak dengan permainan politik yang tidak membuahkan hasil untuk kita rasai. Mari kita hentikan dengan kembali kepada titik ini. Hormatilah dan pertahankanlah. Kalau semua orang boleh setuju pada perkara ini, tidak lagi kita berkocok sesama kita.

Ayuh isi petition ini sebagai tanda sokongan
https://chn.ge/2D7Avc4

Muhammad Azam bin Asri
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)