Hujah dangkal liberalisme Dr Farouk Musa

photo_2015-09-21_08-22-15
Secara peribadi saya tertarik dgn hujah balas yang dikemukakan oleh Dr Farouk Musa semasa menjawab persoalan tentang konteks Islam dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia semasa sesi soal jawab Forum Liberalism. Dr Farouk Musa telah mengambil contoh Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memaksudkan “Islam adalah agama bagi persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian persekutuan”, itu adalah merujuk kepada praktikal Islam dalam upacara rasmi Negara sahaja dan tidak lebih daripada itu.

Malah bagi menyokong kenyataannya, beliau telah memberi contoh Laporan Suruhanjaya Ried (m/s 73) yang katanya sebagai ‘penggubal’ perlembangaan memetik “The observance of this principle shall not imply that the state is not a secular state”. Selain itu juga beliau mengambil contoh kes Che Omar Che Soh vs Public Presecutor yang memberi tafsiran bahawa persekutuan ini bersifat sekular untuk menyokong hujahnya.

Pemahaman simplistik beliau tentang tafsiran Perlembagaan Persekutuan tidak lain hanyalah berniatkan menolak peranan Islam sebagai agama bagi persekutuan pada konteks yang lebih besar daripada sekadar upacara-upacara rasmi semata-mata. Perlu ditekankan disini bahawa Perlembagaan Persekutuan perlulah dibaca secara holistik dan menyeluruh tanpa bercanggah dengan mana-mana bahagian dalam persekutuan, seperti yang di sebutkan di dalam kes Danaharta Urus Sdn. Bhd. vs Kekatong Sdn. Bhd, Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa “The Constitution must be considered as a whole, and so as to give effect, as far as possible, to all its provisions”.

Peruntukan yang Mengangkat Peranan Islam

Maka keseluruhan konteks dan kandungan Perlembagaan perlu dirujuk bagi membuat satu pernilaian yang adil terhadap kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Secara keseluruhannya terdapat lapan lagi peruntukkan yang memberi kelebihan kepada Islam atau sekurang-kurangnya mengangkat peranan Islam lebih tinggi daripada dimaksudkan untuk digunakan sekadar dalam upacara upacara rasmi sahaja.

1. Perkara 11 (4) – Peruntukan menyekat atau mengawal pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan orang yang menganut agama Islam .
2. Perkara 12 (2) – Memperuntukkan adalah sah bagi persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyelenggara atau membantu dalam menubuhkan atau menyelenggara institusi- institusi Islam
3. Perkara 150 (6A) – Menetapkan kuasa parlimen tidak boleh diluaskan kepada perkara yang berkaitan hukum syarak atau adat Melayu dalam keadaan darurat.
4. Perkara 121 (1A) – Menetapkan bahawa Mahkamah Tinggi Semenanjung mahupun Sabah- Sarawak tidak boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
5. Perkara 38 (b) –Persetujuaan Majlis Raja-Raja supaya amalan, perbuatan atau upacara agama diluaskan ke Persekutuan secara menyeluruh.
6. Jadual keempat – Sumpah Yang Dipertuan Agong untuk memelihara pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri
7. Butiran 1 Senarai II (Negeri) Jadual Kesembilan – meletakkan hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam serta kuasa mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam di bawah bidang kuasa negeri.
8. Butiran1 (2) (d) Jadual Kelapan – Raja boleh bertindak melalui budi bicaranya tanpa nasihat Menteri Besar atau majlis Mesyuarat Kerajaan untuk menjalankan apa-apa fungsi sebagai Ketua Agama Islam. Bahkan Perkara 3 (2) secara jelas menyebut prerogatif (hak istimewa) Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam.

Adakah Islam dalam tafsiran perlembagaan hanya terhad dirujuk untuk upacara-upacara rasmi sahaja sedangkan dalam perkara-perkara lain Perlembagaan Persekutuan memberi peranan yang sangat besar untuk Islam berfungsi secara menyeluruh?

Persoalan ini perlu dijawab oleh Dr Farouk tanpa rasa paranoid demi memberi keadilan kepada peranan Islam seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Selain itu juga beliau juga telah mengambil contoh kes Che Omar Che Soh vs Public Presecutor, bagi menyokong sifat sekular Perlembagaan daripada aspek tafsiran Mahkamah. Saya fikir beliau sekali lagi mengambil contoh terpilih dalam kes-kes mahkamah untuk menyokong pendapatnya malah tidak langsung membuat perbandingan adil terhadap kes-kes lain yang memberi tafsiran yang lebih jelas dan nyata tentang kedudukan Islam pada takrifan Perkara 3. Seperti yang ditakrifan Yang Arif Dato Mohd Nor mantan hakim Mahkamah Tinggi dalam kes Meor Atiqulrahman v Fatimah Sihi

“Islam ialah ugama bagi persekutuan tapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah ugama utama di antara ugama-ugama lain yang dianuti di Negara seperti Kristian, Buddha, Hindu. Islam bukan setaraf dengan ugama lain. Bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan, dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi, teguh, dan terang. Jika bukan sedemikian, Islam bukanlah ugama bagi persekutuan, tetapi adalah salah satu di antara beberapa ugama yang dianuti di wilayah ini, dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan mana-mana ugama yang dianuti. Tiada lebih di antara satu sama lain.”

Tidakkah penghakiman ini jelas memberi tafsiran Perkara 3 itu jauh melangkaui konteks pemahaman sekular seperti yang didakwa apabila memberi ruang esklusif kepada Agama Islam sebagai Agama Persekutuan berbanding agama-agama lain seperti yang ditakrifkan dalam kes penghakiman oleh Yang Arif Dato Mohd Nor.

Malah saya juga sarankan Dr Farouk Musa lebih rajin menyemak laporan penghakiman lain seperti kes Menteri Dalam Negeri & Ors v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur, (kes Kalimah Allah) juga senada memberi penekanan peruntukkan Perkara 3 yang membawa implikasi besar peranan Agama Islam dalam perlembagaan Persekutuan.

Jikapun beliau masih berkeras mahu berhujah menggunakan kes Che Omar Che Soh vs Public Presecutor ini untuk berhujah lanjut, beliau juga perlu mengambil kira kritikan yang telah dilontarkan oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dalam kertas kerjanya bertajuk “Islam dan Tafsiran Keperlembagaan oleh Mahkamah telah membedah dan memberikan komentar terhadap penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Che Omar bin Che Soh tersebut seperti berikut:-

“Persoalan dalam kes itu ialah sama ada hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah dan bagi kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 bercanggah dengan ajaran Islam dan, oleh itu tak keperlembagaan dan tak sah (unconstitutional and void). Adakah mahkamah mengatakan bahawa Malaysia sebuah “negara sekular” atau “negara Islam”? Jawabnya tidak dan bukan itu persoalan yang perlu diputuskan oleh mahkamah”

Maka ianya jelas Dr Farouk memang berniat untuk memberi kekeliruan dengan mengambil contoh kes mahkamah untuk membuktikan sesuatu yang tidak dibincangkan dan tidak dimaksudkan di dalam kes penghakiman tersebut.

Hujah terakhir yang diutarakan beliau adalah merujuk kepada ‘penggubal’ perlembagaan iaitu Laporan Suruhanjaya Reid yang melaporkan memetik :

“The observance of this principle shall not imply that the state is not a secular state”,

Peranan Sebenar Suruhanjaya Reid

Kesilapan pertama dalam hujahnya adalah mengatakan bahawa Suruhanjaya Reid adalah “penggubal” bagi Perlembagaan, ini adalah tidak benar kerana Suruhanjaya Reid hanyalah ditugaskan untuk mengumpul, dan memungut pelbagai memorandum yang diambil daripada orang perseorang, parti politik, dan pelbagai pertubuhan untuk dipertimbangkan dalam laporan cadangan yang disediakan mereka ke arah perbentukan perlembagaan merdeka.

Malah perkara yang lebih penting adalah perenggan ini bukanlah cadangan Suruhanjaya Reid tetapi ayat ini hanya melaporkan cadangan daripada sebahagian Memorendum Parti Perikatan dan bukan daripada Suruhanjaya Reid sendiri untuk menghasratkan dokumen Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen sekular.

“We have considered the question whether there should be any statement in the Constitution to the effect that Islam should be the State religion.

There was universal agreement that if any such provision were inserted it must be made clear that it would not in any way affect the civil rights of non-Muslims. In the Memorandum submitted by the Alliance it was stated.

Cadangan ini seperti yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Reid tidak langsung dimasukkan dalam dokumen lengkap Perlembagaan Persekutuan yang merdeka, maka dengan kata lain cadangan ini telah ditolak untuk dimasukkan semasa proses pembentukan Perlembagaan Negara, malah tiada satupun perkataan sekular disebut dalam mana- mana bahagian perlembagaan persekutuan, ini juga diakui oleh beliau sendiri dalam penyampaiannya. Konsensus yang perlu diakui bahawa sekular mewakili apa-apa pengertian dan takrifan tidak pernah dihasratkan oleh penggubal Perlembagaan Persekutuan.

Pada amatan saya, Dr Farouk Musa terlalu simplistik dalam berhujah dan ianya telah memberi konotasi negatif dengan implikasi yang besar terhadap pemahaman Islam dan peranannya dalam konteks Perlembagaan Malaysia yang berdaulat ini. Segala hujah-hujah tentang Islam dan Perlembagaan Malaysia telah secara serius diperjuangkan PEMBINA dalam siri Sembang Santai diseluruh Negara. Beliau bolehlah hadir untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang maklumat ini. Akhir pesanan saya, hentikanlah kekeliruan ini demi Malaysia yang lebih aman dan harmoni.

Muhammad Aidil Idham
Biro Kajian dan Informasi PEMBINA.
Pengerusi PEMBINA Ipoh

Author media

More posts by media

Join the discussion 2 Comments

Leave a Reply