was successfully added to your cart.

Masih ramai anak muda dan mahasiswa masih menganggap remeh akan Himpunan 812 Membantah ICERD yang dijadualkan pada hari Sabtu ini, 8 Dsember 2018. Malah masih ramai yang tidak mengerti apakah itu ICERD dan kenapa pihak kerajaan dilihat begitu bersungguh ingin menandatangani ICERD ini?

Mahasiswa perlu diingatkan kembali bagaimana tok nenek moyang kita dahulu berjuang pertahankan negara ini daripada cengkaman musuh sehingga membawa kepada himpunan membantah Malayan Union. Berkat bersepakat dan bersatu padu tanpa mengira latar belakang politik, desakan orang Melayu itu berjaya menundukkan penjajah ketika itu.

Malaysia Dahulunya Tanah Melayu

Fakta ini tidak boleh disangkal oleh sesiapa sahaja walaupun sejak naiknya pentadbiran baru dalam kerajaan Malaysia terdapat ramai pihak yang cuba memutarbelitkan fakta, tetapi sejarah membuktikan bahawa Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu adalah milik orang Melayu.

Setelah melalui sejarah yang panjang, bagi mencapai kemerdekaan, orang Melayu dengan penuh toleransi bersetuju menerima kerakyatan Cina dan India yang suatu ketika dahulu dibawa masuk oleh penjajajah ke Tanah Melayu. Maka termeterailah Kontrak Sosial yang mana intipati utamanya antaranya adalah ketiga-tiga kaum itu bersepakat tentang Hak Ketuanan dan Hak Keistimewaan Orang Melayu sebagai tuan asal kepada tanah ini mesti dipelihara.

Perlembagaan Persekutuan Memelihara Orang Melayu dan Islam

Semenjak 50-60 tahun yang lalu, kita sebagai masyarakat majmuk hidup dalam penuh muafakat. Buktinya lihatlah kiri kanan rumah kita, berjirankan pelbagai kaum dan agama dan hidup dengan aman apabila masing-masing menghormati hak kaum dan agama masing-masing. Tetapi kini, ada pihak-pihak tertentu yang cuba memporak-perandakan keamanan negara dengan mencabar Perlembagaan Persekutuan yang telah menjamin keamanan sejak dahulu lagi.

ICERD sejak awal lagi bercanggah dengan Perlembagaan Negara kita. Perlembagaan merupakan perundangan yang tertinggi dalam negara kita Malaysia. Sebagai contoh, tujuan ICERD ini adalah untuk menghapuskan segala bentuk diskriminasi sama ada pada sudut bangsa, agama dan lain-lain dan diskriminasi itu didefinisi mengikut kehendak mereka. Sedangkan dalam masa yang sama, Perlembagaan Negara kita sangat melindungi hak bangsa Melayu dan agama Islam dan pastinya perlembagaan perlu digubal untuk menyelaraskan dengan perjanjian tersebut.

Walaupun ianya dinafikan oleh menteri-menteri yang dilihat tidak jujur kononnya bangsa Melayu dan agama Islam tidak akan disentuh kerana boleh buat ‘reservasi’. Persoalannya sekarang adalah, sudah pasti banyak perlu dibuat reservasi memandangkan Perlembagaan melindungi hak orang Melayu dan agama Islam, dan jika terlalu banyak perkara perlu dibuat reservasi, untuk apa lagi meminta untuk diratifikasi ICERD ini???!!!

Dengan ratifikasi ICERD ini meletakkan Malaysia di bawah pantauan peringkat antarabangsa dan akan diheret ke Mahkamah Antarabangsa jika tidak menepati perjanjian sebagai negara ahli. Artikel-artikel yang terdapat di dalam Perjanjian ICERD ini jelas bertentangan dengan amalan negara di Malaysia.

Sungguhpun kononnya kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD ini, tetapi tidak ada apa yang mustahil bagi kerajaan kini yang juga boleh digelar sebagai kerajaan “U-TURN” ini.

Ayuh Turun!!!

Cukup jelas, himpunan ini sangat penting dan bukanlah himpunan membuang yang membuang masa. Kita generasi muda, generasi pejuang kepada tanah air ini dan bukannya petualang yang menyebabkan negara kucar-kacir.

Untuk itu saya menyeru kepada anak muda khususnya mahasiswa mahasiswi seluruh Malaysia untuk turut hadir pada Sabtu ini ke Himpunan 812 bagi menunjukkan kesatuan orang Melayu dan Islam disamping mempertahankan hak Perlembagaan dan Kontrak Sosial sedia ada melindungi semua bangsa. Kita ingin menghantar mesej yang jelas kepada seluruh dunia, walaupun orang Melayu sangat mudah bertolak ansur, tetapi jangan cuba sama sekali melampaui batas sehingga mencuba untuk merampas hak orang Melayu dan cuba untuk menghina agama Negara ini iaitu agama Islam, kerana Bangsa Melayu terkenal sebagai bangsa pencipta sejarah yang hebat!

#mahasiswaturun812

Farhan Abdullah,
Pengerusi Pembina
Cawangan Melaka Tengah

Author Nor Syamimi

More posts by Nor Syamimi

Leave a Reply