Hijrah Cinta Ilahi

Quran dan Tasbih Love

Sudah menjadi lumrah bagi para muslimat dalam mengimpikan seorang teman hidup yang soleh bak imam muda, bertanggungjawab seperti pemimpin yang berwibawa, serta berkemampuan dalam memenuhi segala keperluan keluarga. Kadangkala bagi sesetengah muslimat, demi merealisasikan impian mereka, maka mulalah untuk bersungguh dalam menceburkan diri dalam pelbagai unit persatuan islam dan kerja-kerja dakwah. Usaha untuk menjadi “daieyah” dipupuk semata-mata inginkan seorang akhi yang soleh untuk menjadi teman hidupnya dan merasakan melangkah ke baitul muslim bersama seorang yang soleh akan dapat menyelesaikan segala masalah dan tercapailah sudah matlamat akhir dalam perjalanan beliau dalam dunia dakwah.

Salahkah memasang impian sedemikian? Mengimpikan seorang teman hidup yang baik sifat dan agamanya adalah sangat dituntut oleh Islam. Dan memang itulah juga harapan setiap ibubapa, untuk menyerahkan anak perempuan kesayangan mereka kepada insan yang dipercayai untuk disayangi dan dilindungi. Namun bukanlah itu yang menjadi tujuan dan sandaran utama para pejuang risalah dakwah.

Wahai muslimat, perbetulkanlah niat utamamu dalam menjadi srikandi di jalan yang penuh ranjau ini. Ambillah tauladan dari hadis nabi yang tidak asing ini.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”

Mungkin kebanyakan dari kita mempunyai kisah-kisah silam dan telah bertekad untuk membuat hijrah total dengan tekad yang jitu untuk berubah menjadi muslimah sejati. Apa yang penting dalam proses hijrah tersebut, hadirkanlah Allah dalam setiap langkahmu kerana hanya DIA yang boleh memberikan kekuatan dan kecekalan untuk kita sentiasa istiqamah dengan hijrah untuk terus tsabat di atas jalan dakwah.

Usahlah terlalu bimbang tentang soal jodoh, kerana Allah telah berjanji bahawa

“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, sedangkan perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (Surah an-Nur’:26)

Setelah perbetulkan niat, eloklah disusuli dengan semaian akhlak dan peribadi muslimah serta bajai dengan ilmu-ilmu rumah tangga dalam diri masing-masing sejak awal lagi. Jangan dilupa, persiapkanlah juga dirimu dengan amalan-amalan rohani seperti perbanyakkan hafalanmu dan tilawahmu, mantapkan ilmu dan tahajjudmu. Persediaan yang mantap amat penting bagi memastikan kita siap dalam menempuh alam yang penuh cabaran. Melayari rumahtangga tidaklah diselubungi keindahan, bibit-bibit romantis dan  riangtawa semata-mata, ia juga disulami dengan kepayahan, detik-detik kekecewaan dan kesedihan. Apatahlagi rumah tangga dakwah, pengorbanan, kesabaran, tolak ansur dan kesefahaman perlu berlipat kali ganda lebihnya. Ini kerana berkahwin bukanlah semata-mata untuk menghabiskan masa dengan bermesra, tetapi untuk melengkapkan perjuangan kita mencapai matlamat akhir iaitu untuk membina ustaziyatul alam.

Oleh itu wahai teman, usah gusar dan janganlah gundah, jodoh itu urusan Allah. Percayalah pada ketetapanNya. Sekiranya hijrahmu itu untuk mengejar cinta Ilahi, Dia pasti akan memberikan cinta yang sejati ganjaran syurgawi!

‘Ainul Huda binti Jamil
Ketua Beliawanis Cawangan Dungun

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top