Tahun 2018, sekali lagi rutin tahunan rakyat Malaysia disambut iaitu hari kemerdekaan atau ditukar pada kali ini sebagai hari kebangsaan. Titik bersejarah ini perlu dihayati setiap tahun bagi memastikan kita tidak lupa pada sejarah dan titik peluh perjuangan generasi lama. Titik ini berupaya untuk membawa rakyat Malaysia kembali kepada kesatuan dan perpaduan yang saban hari dicairkan melalui isu-isu yang berlaku.

61 tahun merdeka telah membawa kita jauh ke hadapan berbanding negara-negara lain. Tidak dinafikan, kita patut berbangga dengan kejayaan yang kita miliki ini walaupun ada beberapa kelemahan yang mencacatkan. Kejayaan dari segi pembangunan pertanian, ekonomi, infrasturktur, sosial, dan identiti negara telah menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan dunia. Namun begitu kita tidak boleh terlalu bernostalgia dengan kejayaan ini yang telah dilakarkan oleh pimpinan kini.

Kepimpinan negara sepanjang kemerdekaan telah melakarkan kejayaan yang mampu untuk kita nikmati hari ini. Menjadi persoalan adalah apakah kejayaan yang akan dibuat oleh generasi muda hari ini? Apakah yang akan ditinggalkan generasi muda hari ini kepada generasi seterusnya? Apakah mahasiswa hari ini bersedia untuk mencipta kejayaan yang lebih baik pada masa hadapan? Dan apakah masih ada anak muda hari ini yang berjiwa besar untuk membawa negara Malaysia ke arah yang lebih baik?

Di dalam kegembiraan kita menyambut peristiwa bersejarah ini, perlulah dilontarkan persoalan yang saya ajukan tadi supaya tidaklah kita terlalu selesa dengan kenikmatan yang dimiliki sehingga lemah dalam membawa hala tuju bangsa, negara dan agama. Sekiranya hari ini mercu tanda yang tersergam indah dapat kita lihat, apa pula idea yang akan kita jasadkan supaya mampu diwarisi oleh generasi seterusnya? Sama-sama kita fikirkan apakah yang boleh kita lakukan dari pelbagai aspek samada dari aspek budaya, kesihatan, flora fauna, pendidikan, identiti negara dan sebagainya.

Dalam membawa negara ke arah yang lebih baik, mahasiswa hari ini seharusnya lebih jelas dengan sejarah perjuangan negara ini. Perlu difahami bahawa tindak tanduk golongan rakus penjajah yang berlatarbelakangkan pelbagai negara dan fahaman telah mencairkan keindahan tamadun yang telah dibina sekian lama. Ini telah disedari oleh generasi sebelum ini dan seterusnya mereka membuat tindakan dengan membebaskan negara daripada penjajahan.

Ini menjadi satu indikator penting dalam mentaliti mahasiswa pada hari ini supaya tidak dengan mudah mencairkan pegangan masyarakat kita dan identiti negara yang telah dijaga sekian lama. Bangunlah Malaysia dari setiap aspek, tapi jangan sesekali kita membenarkan identiti negara diubah. Kalau diubah, apa lagi maksud Malaysia tanpa terasnya. Kalau diubah, apa lagi maksud bangsa Melayu kalau tanahnya sendiri sudah tiada maksud.

Oleh yang demikian, sempena meraikan hari kebangsaan Malaysia pada tahun ini, saya mengajak mahasiswa dan mahasiswi seluruh Malaysia untuk mempunyai mentaliti pemimpin negara agar bersedia untuk membawa Malaysia ke arah negara yang lebih bertamadun dalam masa yang sama menguatkan identitinya. Ini adalah perjuangan kita. Malaysia, ini negara perjuangan.

Muhammad Azam Asri,
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional.