Hari Beliawanis PEMBINA Dungun Informatif dan Meriah

Beliawanis3

Bidadari syurga indah terpelihara,begitulah tema Hari Beliawanis PEMBINA Dungun yang telah diadakan dengan jayanya pada 17hb januari 2015. Bertempat di Mayang Sari Resort, Dungun terengganu, program ini telah membuka tirai 2015 dengan penyertaan beliawanis daripada dungun, kuala terengganu dan ketengah jaya.

Antara acara menarik yang telah direncanakan untuk peserta pada hari tersebut termasuk ice breaking games, slot kecantikan diri, cabutan bertuah, forum perdana, pertandingan Fashion Show Muslimah dan Kempen Jauhi Zina. Hari beliawanis ini telah dikendalikan oleh MC yang cukup keletah berbicara iaitu Cik Faezah Roslan. Program telah dimulakan dengan bacaan AlFatihah dan diikuti slot ice breaking di antara peserta yang telah dikendalikan oleh Puan Siti Norhazwani Kamaruddin. Peserta berkesempatan untuk berkenalan dengan lebih mesra melalui permainan yang diadakan. Pengenalan PEMBINA sebagai sebuah organisasi yang kaya dengan pelbagai aktiviti menarik dan pembinaan ahli sebagai tokoh dalam pelbagai biding telah dimaklumkan kepada peserta program oleh Ketua Beliawanis PEMBINA Dungun, Puan Ainul Huda Jamil.

Program diteruskan lagi dengan slot Kebersihan dan Penjagaan muka oleh Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA Dungun, Dr Nur Fatiha Bt Kamarzaman. Pelbagai tips kesihatan dan pengetahuan tentang Acne Vulgaris telah diberikan dengan menarik sekali. Peserta ditekankan untuk mengambil berat tentang hygiene set bukannya beauty set dalam menjaga kecantikan muka kerana muka yang bersih adalah lebih sihat dan cantik.

Sesi forum yang bertajuk “Bila Baju Kurung bertemu Baju Melayu” juga di antara slot menarik dan mendapat perhatian yang serius daripada peserta. Slot forum menampilkan Dr Nor Ruzaini Sulaiman sebagai moderator, Ustazah Nuraini (Ketua Wanita ISMA dungun) dan Puan Ainul Huda sendiri sebagai barisan ahli panel. Forum berkisar tentang ikhtilat di antara lelaki dan perempuan yang perlu dijaga semasa berurusan di antara satu sama lain. Ustazah Nuraini juga menyentuh tentang cara cara pemakaian yang menurut syarak bagi seorang Muslimah itu. Puan Ainul Huda pula menyentuh isu beberapa orang Muslimah yang dipeluk artis K-Pop dalam insiden konsert mereka baru baru ini sebagai contoh daripada bahaya tidak menjaga ikhtilat ini selain itu beliau juga menyentuh tentang isu feminism yang bahaya dalam membentuk ideologi bertentangan dengan hukum islam dan kepentingan mencari ilmu demi menentang fahaman tersebut.

Acara kemuncak adalah pertandingan Fashion Show Muslimah yang mana perserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut tema acara makan malam, casual, formal, pertunangan dan percutian. Kumpulan ini dikehendaki memilih dan menata rias seorang model menggunakan kreativiti daripada pakaian pakaian yang telah disediakan dan akan diberikan markah mengikut beberapa kriteria. Antara kriteria yang diberikan markah adalah ketepatan pilihan pakaian dengan tema, kesesuaian pakaian dan warna, ciri ciri pakaian muslimah dan markah bonus. Acara tersebut telah diadili oleh Dr Nur Fatiha dan Cikgu Nik Maria. Keseluruhan peserta sangat teruja dan seronok dengan acara ini.

Hari beliawanis kali ini telah dimeriahkan dengan kehadiran Kumpulan Nasyid RAQWANNISA daripada Ketengah Jaya yang telah mendendangkan dua buah nasyid berkisar tentang peri pentingnya kita berkorban dan berjuang untuk Islam. Kumpulan ini tekah berjaya menjuarai pertandingan nasyid peringkat Negeri Terengganu dan belawanis pembina dungun mendoakan semoga kumpulan ini lebih maju di masa depan kelak.

Hari beliawanis menutup acaranya dengan jamuan makan tengahari di Pantai Telok Lipat. Peserta peserta menjamu selera dalam tiupan bayu laut yang sepoi sepoi bahasa. Syabas dan tahniah kepada semua AJK program yang telah bertungkus lumus menjayakan program pada hari ini dan terima kasih daun keladi kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak. Kepada Allah jualah kita memohon keberkatan dan semoga dapat merancakkan lagi amal dakwah di Dungun yang barakah ini. Amen

Ainul Huda Jamil

Ketua Beliawanis Cawangan Dungun

Persatuan Belia Islam Nasional