Graduan Perubatan Buat Keputusan Sendiri, Mengapa KKM dan JPA Harus Turuti?

Kita baru-baru ini telah dikejutkan dengan kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu Peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkidmatan Awam (JPA) bagi Pegawai Perubatan Gred U41 lantikkan kontrak. Ini bermakna, graduan perubatan yang telah berjaya bergraduasi di luar negara tanpa SPM dibenarkan menjalankan latihan “Houseman Officer” di mana-mana hospital KKM. Bermakna, tanpa SPM pun, malah tak perlu lulus Bahasa Melayu peringkat SPM pun boleh jadi pegawai perubatan Gred U41 dan berkhidmat dalam perkhidmatan awam di Malaysia.

Menurut kenyataan akhbar pada 2 Julai 2017 oleh Dato’ Dr Noor Hisyam Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Sejak 23 Febuari 2017 lagi, JPA telah memberi kebenaran kepada KKM untuk memberi kelonggaran ini kepada graduan perubatan yang memohon sebagai Pegawai Perubatan Gred U41 lantikan kontrak untuk bertugas sebagai “Houseman Officer” di mana-mana hospital KKM. Ini bermakna, graduan perubatan ini boleh menjalani latihan siswazah selama 2 tahun dan berkhidmat wajib selama 2 tahun secara kontrak. Manakala untuk permohon ke jawatan tetap pula, KKM masih menetapkan syarat wajib lulus Bahasa Melayu peringkat SPM. Untuk rekod, lulus SPM hanyalah pada gred E sekitar markah 40-44 peratus. Bermakna, cukuplah mudah untuk melepasi skor gred E kalau dibandingkan dengan belajar asasi perubatan yang memerlukan gred A bagi semua subjek yang diambil ketika kelas asasi perubatan.

Dalam kenyataan akhbar yang lain, Dato’ Dr Noor Hisyam Abdullah menjelaskan “Kelonggaran ini bukanlah suatu perkara baru. Malahan lantikkan kontrak bagi Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan bukan warganegera juga tidak memerlukan kelulusan BM di peringkat SPM. Persoalannya di sini, layakkah seorang warganegara Malaysia yang mempunyai kad pengenalan biru, untuk di letakkan sama taraf dengan bukan warganegara? Layakkah seorang graduan perubatan “Houseman Officer” untuk disamakan dengan Pegawai Perubatan “Medical Officer” dan Pakar Perubatan “Specialist” yang dijemput berkhidmat bagi menyelesaikan isu ketiadaan anak tempatan yang telah mencapai tahap pakar yang sama? Ini kelonggaran yang dibuat bagi menghadapi kemudaratan yang lebih besar.

Graduan perubatan warganegara Malaysia pastinya tidak layak disamakan dengan bukan warganegara Malaysia. Persoalannya di sini, lemah sangatkah kita sehingga perlu memberi kelonggaran ini kepada warganegara sendiri? Pada pendapat peribadi penulis, adalah lebih baik jika mereka berusaha semampu mungkin untuk lulus mata pelajaran Bahasa Melayu walaupun terpaksa mengambil cuti, atau menggunakan tempoh menuggu dipanggil berkhidmat atau mengambil kelas di hari cuti berbanding memberikan kelonggaran yang seperti ini.

Sebenarnya kalau difikirkan sedalam-dalamnya, ini adalah pilihan mereka dan ibu bapa mereka ketika mereka berusia 17 tahun untuk tidak mahu mengambil SPM. Mereka telah pun memilih untuk tidak mahu mempelajari Bahasa Melayu peringkat SPM sekaligus tidak mahu memenuhi idea-idea perpaduan di dalam Dasar Pendidikan Negara. Berdasarkan kenyataan akhbar yang sama juga “KKM prihatin bahawa ini tentu akan menjejaskan masa depan mereka setelah berusaha sedaya upaya menjalani jurusan Perubatan di universiti.” Hal ini dilihat seperti bersusah payah belajar jurusan Perubatan di luar negara sahaja diambil kira. Bagaimana pula dengan graduan jurusan perubatan dari universiti tempatan yang telah terbukti taat dan setia kepada sistem negara kita sejak mereka berusia 17 tahun dengan mengambil SPM? Malah ada di sesetengah universiti tempatan, graduan perubatan ini, masih perlu mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib universiti sekiranya ingin bergraduasi. Bayangkan graduan universiti tempatan ini juga telah bergraduasi dan berebut-rebut tempat yang sama dengan graduan luar negara ini.

Sepatutnya KKM dan JPA tegas dalam hal ini. Graduan perubatan ini telah memilih untuk keluar dari sistem normal sebagai seorang warganegara Malaysia. Kenapa pula kementerian harus berlembut? Kalau kasihan sekalipun kerana mereka bersusah payah belajar jurusan Perubatan, kenapa lulus Bahasa Melayu SPM dengan gred E pun mereka tidak boleh? Pelik bukan?

Penulis menyeru KKM dan JPA untuk melihat isu ini dalam konteks yang lebih besar sebagai rakyat Malaysia. Kita mahukan perpaduan yang utuh. Untuk itu, rakyat perlu berkomunikasi dan untuk berkomunikasi kita memerlukan bahasa yang sama iaitu Bahasa Melayu. Bahasa Kebangsaan Malaysia. Janganlah kerana graduan Perubatan tanpa SPM ini yang hanya dikatakan sekitar 300 orang ini, kita korbankan masa depan 31 juta orang rakyat Malaysia yang lain.

Wan mohd amir B wan mohamad Zaharuddin

Ahli Kolumnis Pembina