Gan Ping Sieu peguam tapi tak faham undang-undang

ibrahim1-300x336

BANGI, 4 Mac – Desakan Presiden bersama Center for a Better Tomorrow, Gan Ping Sieu yang mahu orang bukan Islam di negara ini bebas menyebarkan kitab agama mereka ternyata sengaja mencetuskan kontroversi untuk mewujudkan ketegangan antara agama.

Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ustaz Ibrahim Mohd Hasan Al-Hafiz, berkata Ping Sieu membuat kenyataan seolah-olah beliau tidak memahami Perlembagaan Malaysia.

“Bukankah dia seorang peguam? Atau beliau sengaja buat-buat tak faham?,” soalnya.

Semalam, Ping Sieu mengeluarkan kenyataan bahawa orang bukan Islam juga perlu dibenarkan untuk mengedarkan kitab agama mereka seperti orang Islam. Dia memberi alasan pendidikan untuk membolehkan tindakan itu.

“Apa lagi yang perlu diprasangkakan? Ping Sieu perlu menerima hakikat bahawa kedudukan agama lain tidak sama dengan agama Islam.

“Perkara 3 dalam Perlembagaan Malaysia secara jelas menyatakan bahawa Islam merupakan agama Persekutuan. Manakala, agama lain tidak disebut, menunjukkan bahawa Islam mempunyai keistimewaan berbanding agama-agama lain.

“Perkara 11 dalam Perlembagaan juga menunjukkan di mana setiap orang mempunyai kebebasan beragama dan ia tertakluk kepada Fasal (4) di mana undang-undang Persekutuan boleh menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

“Maka ini secara jelas menyatakan bahawa agama Islam boleh disebarkan kepada semua, tetapi agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam,” tegasnya ketika dihubungi.

Selain itu katanya, jika kenyataan Ping Sieu adalah kerana jahil terhadap Perlembagaan, maka PEMBINA bersedia menerangkan kedudukan istimewa Islam di Malaysia seperti dinyatakan dalam Perlembagaan.

“Jadi kita nasihatkan padanya untuk berhenti mengeluarkan kenyataan seperti itu lagi.

“Hormatlah perlembagaan demi menjaga perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang selama ini hidup dalam aman damai,” ujarnya.

Spekulasi ini timbul apabila sebelum ini terdapat beberapa organisasi yang mengedarkan terjemahan al-Quran kepada orang bukan Islam. Namun, tindakan itu mendapat bantahan gerakan bukan Islam kononnya menganggap ia adalah usaha untuk memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam.

 

Siti Fatimah Ishak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top