was successfully added to your cart.

Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) mengalu-alukan usaha yang dibuat oleh kerajaan Negeri Terengganu dalam penguatkuasaan peraturan menutup aurat kepada ahli sukan Terengganu yang terlibat dalam arena sukan tanah air. Usaha kerajaan Negeri Terengganu ini bertepatan dengan kehendak syariat Islam bagi menjaga dan menutup kehormatan diri semasa bersukan dan beraktiviti samada kepada lelaki mahupun wanita.

Banyak keterlibatan atlet terkenal dunia yang beragama Islam yang boleh kita contohi. Mereka mampu menonjol sehingga ada yang menempah kejayaan yang gemilang dalam arena sukan antarabangsa dengan pakaian patuh syariah. Perkara ini tidak menghalang mereka daripada terus aktif dalam arena sukan antarabangsa.

Ruqaya Al Ghasara, berjaya menjuarai beberapa kejohanan dunia, beliau menjadi wakil pertama negara dengan menyertai temasya Sukan Olimpik menerusi acara larian 100 meter pada 2004 serta turut merangkul emas ketika Sukan Asia di Doha pada tahun 2006. Beliau juga turut dijadikan sebagai contoh ikutan oleh atlet Muslim seluruh dunia. Wanita berhijab pertama atlet sukan angkat berat iaitu Amna al-Haddad, pernah menyertai pertandingan acara CrossFit Asia dan Kejohanan Angkat Berat Arnold di Ohio dan beliau mempunyai sejarah dalam merangkul 6 pingat emas dan 3 perak dalam Kejohanan antara Kelab Asia.

Selain itu, Khadija Mohamed mendapat keputusan daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa yang membenarkan beliau sebagai atlet angkat berat wanita menutup kaki dan lengan dalam mewakili pasukan wanita Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta keterlibatan beliau dalam sukan Olimpik di London pada tahun 2013. Atlet muslim lain yang turut berpakaian menutup aurat seperti Ibtihaj Muhammad (Amerika) mewakili acara pedang, Sarah Attar (Arab Saudi) acara marathon, Kariman Abuljadayel (Arab Saudi) dan Kamia Yousufi (Afghanistan) bagi acara olahraga serta Woroud Sawalha (Palestine) yang terlibat dalam acara larian 400 meter.

Usaha kerajaan Terengganu sepatutnya dijadikan contoh diamalkan dalam arena sukan di Malaysia dan perlu disahut secara positif sebagai satu langkah penambahbaikan arena sukan tanah air yang selari dengan era moden ini.

Pembina juga mencadangkan kepada kerajaan untuk wujudkan unit khas syariah bagi pereka pakaian atlet sukan muslim yang terlibat. Perkara ini supaya dapat membantu atlet sukan dengan mengenakan pakaian yang betul dan syarie serta mampu memudahkan dan memberi keselesaan mengikut tahap kelasakan mahupun pergerakan atlet dalam acara-acara sukan yang perlu diberikan perhatian khusus seperti angkat berat, berenang, bina badan dan gimnastik.

Pembina percaya perkara ini mampu membawa Malaysia seiring dengan negara Islam yang lain dalam menjaga hak ahli sukan yang beragama Islam dan dalam masa yang sama melaksanakan tuntutan agama Islam itu sendiri. Ini kerana telah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjaga dan memelihara kehormatan diri tidak kira dalam bidang apa pun yang diceburi.

Siti Soraya binti Mat Khairi
Jk Penerangan Pembina

Author Nor Syamimi

More posts by Nor Syamimi

Leave a Reply