Dalam sejarah manusia zaman kini, ternyata umat Islam terpaksa mendepani cabaran yang besar dan getir, yang nyatanya tidak pernah dihadapi oleh mereka sepanjang sejarah. Nasih Ulwan dalam penulisannya yang bertajuk, Cabaran Pemuda, telah menjelaskan lima cabaran yang dihadapi oleh pemuda Islam zaman moden iaitu cabaran syaitan dan hawa nafsu, cabaran serangan pemikiran, cabaran keruntuhan akhlak, cabaran kerajaan sekular dan yang terakhir cabaran putus asa dalam kerja Islam.

Kehebatan cabaran-cabaran tersebut datang bersama dengan ledakan ciptaan perkakas pasca-moden yang canggih seperti teknologi komputer dan peralatan komunikasi lainnya, yang merupakan perkara baru dalam sejarah umat Islam yang tidak pernah wujud sebelum ini. Ledakan teknologi moden ini berjaya membuka ruang luas bagi menerjah secara segera dan mendadak pelbagai bahan dan maklumat yang kadang-kadang sebenarnya hanya berbentuk sampah sarap maklumat belaka, malah membahayakan aqidah dan akhlak umat Islam.

Antara status yang dimuatnaik di laman sosial.

Slogan ‘pecah ovari’ ini seperti menjadi fenomena dalam kalangan anak muda kebelakangan ini di media sosial Malaysia. Slogan berbaur lucah ini mula tular di Malaysia sejak kemunculan putera kacak dari Brunei, Putera Abdul Mateen dalam acara polo berkuda Sukan SEA bertemu pasukan Malaysia tahun 2017 lalu. Kini amat mengecewakan apabila slogan ini kembali menjadi tular sejak seorang pemuda yang dianggap tampan memenangi undian rakyat pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu dan menjadi salah seorang ahli parlimen negara kita. Malah lebih memalukan apabila slogan berbaur seks tersebut disebut-sebut oleh golongan-golongan wanita beragama Islam di media sosial.

Slogan tersebut yang datang dan mula tular dari barat moden merupakan slogan baru dan bukan berasal dari mana-mana tamadun bangsa dahulu. Namun fokus penulisan ini bukanlah untuk membahas definisi slogan terbabit tetapi bagi menunjukkan betapa golongan muda islam kini menghadapi cabaran yang amat berat sehingga tiada lagi nilai-nilai akhlak seperti malu yang sepatutnya menebal dalam diri seorang wanita Islam khususnya. Mudahnya golongan muda kini terikut dengan kerosakan akhlak jahiliah tamadun lain. Tidak mungkin juga kita lupa tragedi gadis Melayu memeluk artis Korea semasa persembahan, gadis Melayu menghisap vape dan menayangkan di media sosial, malah satistik anak luar nikah yang semakin hari semakin meningkat dalam negara kita.

Unsur jahiliah yang dikatakan wujud sejak kerasulan Nabi SAW kini sudah berulang kembali dengan gaya dan pendekatan yang jauh lebih canggih serta dibantu oleh peralatan moden yang terhasil dari tamadun materialisme. Gugatan dan ancaman inilah yang perlu dihadapi dengan baik dan penuh bijaksana oleh umat Islam zaman kini. Kita hendaklah memperkuat dan memperkasa pegangan akidah dan penghayatan akhlak demi generasi umat, agar mereka boleh muncul di tengah kehidupan masa kini dengan memiliki personaliti yang tahan uji dan kalis gugatan.

Antara penyelesaian terpenting bagi menangani krisis akhlak golongan muda ini adalah dengan 3 langkah:

1. Mempertingkatkan keimanan.

Golongan muda perlu meyakini bahawa Allah sentiasa bersamanya, mendengar dan melihat perlakuannya, mengetahui perkara yang nyata dan rahsia, mengetahui pandangan mata yang khianat dan perkara yang tersembunyi di dalam dada. Dia sentiasa ingat firman Allah:

‏ما يكون من نجوى ثلاثة الا هو رابعهم ولا خمسة الا هو سادسهم ولا أدنى من ذلك ولا أكثر الا هو معهم اينما كانوا‏

Maksudnya: Tidak berlaku bisikan antara tiga orang malainkan Dialah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai melainkan Ia bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. (Al Mujadalah: 7)

2. Bersahabat dengan orang-orang yang baik.

Suatu kenyataan yang diakui apabila seorang pemuda bersahabat dengan orang yang beriman, dia akan memperolehi kebaikan, istiqamah dan teguh untuk beramal dengan asas-asas Islam. Bahkan dia boleh mencapai tahap keimanan, ketaqwaan dan thabat seperti mereka. Sebaliknya, sekiranya dia bersahabat dengan orang yang fasik, engkar dan menyeleweng, dia akan memperolehi daripada mereka kejahatan, kefasikan dan penyelewengan. Inilah apa yang telah diingatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana yang diriwayatkan oleh Tarmizi:

‏المرء على دين خليله فلينظر من يخالل

Maksudnya: Seseorang itu berada di atas agama sahabat akrabnya, maka setiap daripada kamu hendaklah melihat siapakah yang hendak dijadikan sahabat akrab.

3. Memenuhi masa lapang dengan sesuatu yang bermanfaat.

Sabda Rasulullah s.a.w sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Muslim:

‏ أحرص على ما ينفعك واستعن بالله ولا تعجز‏

Maksudnya: Bersungguhlah melakukan apa yang mendatangkan faedah kepada engkau, mintalah pertolongan kepada Allah dan jangan merasa lemah.

Oleh itu bersempena dengan Ramadan yang mulia ini saya ingin menyeru golongan muda untuk memanfaat masa yang ada. Alangkah banyaknya bidang boleh diceburi oleh pemuda untuk mengisi masa lapang. Sama ada dengan bersukan yang boleh menguatkan tubuh badan, membuat penyelidikan dan pembacaan yang boleh menambah pengetahuannya, menghadiri kelas-kelas pengajian agama yang boleh mengasuh akhlaknya, dan cara-cara lain yang boleh menjauhkannya daripada mengikut hawa nafsu dan dorongan nafsu ammarah.

Semoga ramadan ini menjadi titik perubahan dan mengembalikan kembali nilai-nilai akhlak golongan muda menurut neraca akhlak Islamiyah yang sebenar. Seterusnya melahirkan golongan muda qudwah juga suri teladan kepada setiap lapisan masyarakat.

Sharifah Abdul Samad
Ketua Beliawanis PEMBINA

Author Nor Syamimi

More posts by Nor Syamimi

Leave a Reply