Fenomena Gerhana Bulan dan Isu Pertukaran Agama Anak

Jikalau diperhatikan apakah carian yang paling trending di laman sesawang dalam 3 hari kebelakangan ini kita akan mendapati fenomena gerhana bulan atau Super Blue Blood Moon merupakan carian yang paling trending. Siaran – siaran langsung diadakan bagi merekodkan fenomana yang muncul sekali dalam 265 tahun. Ramai menonton fenomena bersejarah ini. Tidak kurang juga masjid-masjid yang penuh kerana solat sunat gerhana.

Namun begitu, dua hari sebelumnya, Malaysia digemparkan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan pertukaran kepada agama Islam bagi 3 orang anak seorang mualaf yang bernama Ridhuan Abdullah adalah terbatal dan tidak sah. Ia merupakan suatu berita yang sayu dan menyedihkan bagi umat Islam bila mengenangkan aqidah anak-anak ini. Saya tidak mahu memberi komentar ke atas teknikaliti keputusan mahkamah tersebut tetapi yang lebih memeritkan hati adalah apabila mengenangkan isu ini dipandang enteng oleh umat Islam di Malaysia.

Isunya disini adalah, umat Islam melayan berita ini sebagai berita yang berlalu pergi, tidak diendahkan, tidak diambil berat dan dianggap berita picisan seperti berita-berita lain yang ada. Adakah kita tidak merasa bersalah ke atas agama 3 orang anak ini? Tidak sampai seminggu, bahkan hanya 2 hari sahaja diperlukan bagi umat Islam teruja dengan fenomena gerhana bulan 265 tahun itu lantas melupakan isu ini. Tiada apa-apa tindakan dan protes atau kesatuan yang menunjukkan dukacitanya agama ini.

Barangkali fenomena yang berlaku sekali dalam 265 tahun ini merupakan fenomena luar biasa yang belum tentu muncul dalam 3 generasi mendatang. Berada dalam detik-detik gerhana yang unik ini merupakan satu keistimewaan. Justeru itu, isu agama yang sensitif seperti ini dianggap ringan seperti debu-debu yang mengghinggap di hati umat Islam, teramat ringan sehingga angin yang berlalu sudah cukup menerbangkannya jauh entah ke mana.

Cuba perhatikan semula sejarah negara ini. Kita ungkapkan semula kisah Natrah pada tahun 1950-an. Kita akan mendapati sensitiviti umat Islam pada ketika itu amat dasyat sekali. Saya sempat membelek tulisan Fatini Yaacob bertajuk “Natrah (1937 – 2009): Cinta, Rusuhan, Air Mata” yang diterbitkan pada tahun 2010. Hanya kerana aqidah seorang remaja perempuan bernama Natrah (hanya seorang!), berbondong-bondong umat Islam dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan ceruk-ceruk negeri lain sehinggalah ke Singapura datang dan berkampung beramai-ramai bagi menunjukkan sikap pembelaan mereka sehinggahlah keputusan Mahkamah Tinggi Singapura dibacakan. Mereka mendemakan sejumlah wang ringgit, barang kemas dan apa yang ada pada mereka bagi kes pembelaan aqidah Natrah. Ada yang menaiki bas, ada yang berbasikal beratus batu dan tidak kurang juga yang berjalan kaki.

Isunya adalah keluarga asal Natrah dari keturunan Belanda telah menjumpai Natrah dan tidak berpuas hati Natrah memeluk agama Islam dan sudah berkahwin setelah semenjak kecil selama 13 tahun Natrah diasuh oleh ibu angkatnya, Che Aminah dengan tata susila Melayu dan agama Islam. Dengan menggunakan selok-belok undang-undang dan mahkamah serta dibawa dibawa tinggal di gereja, keluarga asalnya berjaya merampas Natrah.

Isu Natrah berakhir dengan sangat menyedihkan selepas keputusan Mahkamah Tinggi Singapura dibacakan. Beliau dibawa pulang oleh keluarga asalnya, dan dipaksa memeluk agama kristian. Tetapi jiwa-jiwa umat Islam pada ketika ini merupakan jiwa-jiwa kuat yang sangat mengambil berat akan agamanya waima aqidah seorang remaja perempuan yang barangkali mereka pada ketika itu langsung tidak pernah bersua muka. Cukup mendapat khabar berita dari kejauhan sudah mampu menggerakan segala sendi dan urat belikat diri mereka bagi menunjukkan pembelaan.

Pada ketika itu, keadaan tidaklah seperti sekarang. Jaringan perhubungan dan maklumat sangat sukar, negara berada di ambang kemerdakaan dan miskin, seta dalam masa yang sama negara baru selesai dari zaman darurat dengan ancaman-ancaman di waktu kemerdakaan masih lagi menghantui Malaysia. Tetapi jiwa dan pemerhatian mereka tidak luntur daripada perkara-perkara utama dalam kehidupan iaitu hak, maruah dan kedaulatan agama Allah ini.

Fenomena gerhana bulan ini tidak ada nilai jika dibandingkan dengan isu aqidah 3 orang anak tersebut. Keadaan umat Islam yang tidak endah akan isu semasa umat Islam sendiri merupakan satu gerhana yang cukup dasyat lagi berpanjangan dalam hayat agama ini. Isu pertukaran agama 3 orang anak ini bukan isu hangat yang trending. Berhempas pulasnya si ayah selama bertahun lamanya demi memastikan aqidah anak-anak terpelihara dalam cahaya Islam tidak menimbulkan rasa bersalah kepada umat Islam.

Sampai bilakah Islam akan berada dalam gerhana yang berpanjangan? Adakah kita sendiri merasa teruja dengan gerhana yang melanda Islam? Iaitu gerhana arus kelalaian umat Islam. Perlukah agama ini mengambil masa selama 265 tahun untuk tersirna kelelahannya dek kerana umatnya yang lalai atau agama ini perlu menunggu lebih lama daripada itu? Ini merupakan soalan yang kita sendiri boleh tanya, jawab, dan tepuk dada tanya iman.

 

Muhammad Aiman Bin Ahmad Faudzi

Naib Presiden 1

Pembina