Erti Kemerdekaan Seorang Pemuda

Tulisan ini didedikasikan khas buat pemuda harapan bangsa.

Tanggal 31 Ogos 2016 menjadi penanda aras bahawa genap 59 tahun kemerdekaan negara kita, Malaysia. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana kini Malaysia telah menjadi sebuah negara maju di mata dunia. Jauh daripada peperangan serta api perpecahan yang boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan negara. Namun disebalik kejayaan dan kenikmatan yang berjaya dikecapi, timbul persoalan adakah definisi kemerdekaan yang kita pegang selama ini adalah erti kemerdekaan yang sebenar? Dan adakah kita sebagai generasi pemimpin masa hadapan sudah benar-benar memaknai erti sebuah kemerdekaan?

Tidak dinafikan bahawa setiap individu mempunyai pandangan serta kefahaman yang berbeza apabila berbicara tentang erti kemerdekaan. Umumnya, definisi kemerdekaan bagi sebuah negara adalah bebas daripada penjajahan kuasa asing secara mutlak. Akan tetapi, pengertian kemerdekaan sebenarnya adalah lebih luas daripda cengkaman kuasa asing semata-mata. Kemerdekaan sebenar adalah bebas daripada segala bentuk penjajahan, sama ada penjajahan lahir atau batin dan penguasaan pemikiran barat yang merosakkan jiwa bangsa.

Dalam memaknai kemerdekaan yang sebenar, marilah sama-sama kita menghayati kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera Rom yang bernama Rustum:

“Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang‑orang Islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Inilah definisi merdeka yang wajib difahami dan dihayati oleh pemuda hari ini. Menyusuri 59 tahun kemerdekaan, penjajahan tidak lagi datang dengan senjata api mahupun kapal perang. Penjajahan hari ini bukan sahaja muncul dalam pelbagai bentuk, malah terus menyerang menerusi medium-medium yang berjaya dicipta dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Dengan kepelbagaian ini, penjajahan berlaku dengan lebih mudah dalam mempengaruhi serta mengawal kuasa politik, ekonomi dan sistem sosial negara.

Pelbagai isu negatif terus menghantui para pemuda seperti isu dadah, gangsterisme dan “mat rempit’ yang seringkali menjadi bualan masyarakat. Malah, aplikasi permainan terkini seperti “Pokemon Go” berjaya mencetus fenomena luar biasa dalam kalangan masyarakat khususnya para pemuda. Keadaan ini secara tidak langsung berjaya membuai generasi ini untuk terus lalai dan leka dengan segala bentuk maksiat yang tiada berpenghujung. Mereka terus hanyut dengan pembawaan pemikiran moden serta keindahan dan kemewahan dunia. Generasi pemuda hari ini semakin tenat dan parah jika tidak diubati dengan kadar segera.

Apakah yang dimaksudkan dengan pemuda yang berjiwa merdeka?

Generasi serta pemuda yang memahami erti kemerdekaan yang sebenar, adalah mereka yang memiliki kehambaan sejati kepada Pencipta. Tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT dan segala tindakan yang diambil haruslah berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Inilah jiwa yang wajib dimiliki oleh para pemuda hari ini dalam proses untuk menerajui masa hadapan.

Jati diri yang kukuh menjadi asas terpenting dalam jiwa seorang pemuda merdeka. Tanpa mengenali jati diri, seorang pemuda ibarat tin kosong, berbunyi bingit namun tiada erti. Pemuda berjiwa merdeka faham akan tujuan hidup mereka, dari mana dirinya datang, mengapa dirinya diciptakan dan ke mana dirinya akan kembali Maka, kefahaman ini perlu dihayati serta direalisasikan dalam menjalani kehidupan seharian tanpa sebarang keraguan.

Seterusnya, kalimah syahadah yang dilafazkan menjadi dasar hidup dan dihayati dengan sepenuh jiwa.  Hal ini turut dipasakkan dengan keperibadian sebenar seorang pemuda dimana mereka memahami bahawa tiada yang lebih berkuasa melainkan Alllah SWT. Secara tidak langsung, jiwa-jiwa mereka mampu menolak segala kejahilan serta menuntun kesetiaan dan ketaatan kepada Pencipta. Tambahan lagi, jiwa generasi merdeka juga cukup meyakini akan kewujudan serta kebenaran hari pembalasan. Kematian itu pasti dan setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Namun, hanya Allah SWT yang mengetahui ajal yang bakal menjemput setiap makhluk‐Nya tanpa lewat ataupun cepat sedikitpun.

Kefahaman yang jitu ini mendorong seorang pemuda untuk lebih berusaha  memanfaatkan setiap detik kehidupannya ke jalan yang diredhai Allah. Tidak sedikitpun ia dibazirkan dengan perkara yang sia-sia. Mereka sentiasa berusaha untuk menjadikan seluruh hidupnya bermakna, dan melaksanakan tanggungjawab dengan sepenuh hati dalam memperjuangkan kebenaran. Sampai saat mereka kembali, mereka mampu tersenyum dengan penuh kebanggaan bersama bekalan yang mereka kumpul di dunia tanpa sedikit pun rasa sesalan. Mereka berjaya menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan sempurna sebagai seorang khalifah dan hamba yang bertaqwa. Begitulah analogi keberuntungan dan kehebatan jiwa generasi yang merdeka. Ganjaran syurga sudah terhidang di hadapan mata buat mereka.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ‘Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai‐ Nya. Masuklah ke dalam barisan hamba‐Ku. Dan masuklah ke dalam syurga‐Ku.’ (surah Al‐Fajr: 27‐30).

Para pemuda hari ini perlu jelas dan memaknai erti kemerdekaan dengan lebih mendalam. Kefahaman yang mendalam bukan sahaja mampu melahirkan seorang pemuda luar biasa, malah mampu melahirkan seorang pemimpin yang dapat menerajui tonggak kepimpinan masa hadapan.  Malah, nilai kemerdekaan sebenar perlu difahami supaya kita sama-sama sedar betapa penting dan berharganya kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini. Semoga kefahaman ini memandu kita dengan selamat agar tidak melangkaui batasan kemerdekaan yang telah diberikan kepada kita.

Salam Kemerdekaan
31 Ogos 2016 l 28 Zulkaedah 1437