Di Sini Aku Bermula

Ku jejaki langkah hidup ini, dimulai dengan kelahiranku hinggalah kini. Kadangkala ku rasakan amat bertuah dan adakalanya kurasakan penuh liku dan duri. Namun tak ternilai rasanya dengan apa yg ku kecapi kini. Tarbiyah ku rasakan nikmat serta anugerah tertinggi tuhan buatku. Betapa seringkali ku rasakan ingin lari darinya, sekuat itu jugalah tarikannya kepadaku. Tangisan, rintihan, kesalan dan pelbagai lagi usah dikira, rasanya tak terhitung sekali…., hanya tuhan yg lebih ku rasakan bisa mengerti isi hatiku. Betapaku cuba menzahirkan kekuatan diri, buat suntikan sahabat-sahabat seperjuangan, namun batinnya hanya tuhan yg tahu. Acapkali ku tewas dengan renungan nikmatnya terhadapku. Berbanding adik-beradikku yg lain kurasakan begitu payah sekali melangkah mendaki puncak kejayaan terutamanya mengecapi nikmatnya iman di sisiNYA.  

Permulaan tarbiyahku berlansung tanpa aturan yang sepatutnya. Kejutannya menyebabkanku hanya terpaku acapkali dibawa menelusuri perjumpaan-perjumpaan mingguan. Hanya diam yang menjadi sahabatku di kala itu. Tak termampu rasanya untuk berhujah mahupun mengiyakan apa yg diterima. Namun kini, apabila difikirkan semula, ianya merupakan salah satu titik tolak penting hidupku yang menggamitku untuk berusaha dengan lebih gigih lagi menyaingi rakan-rakanku. Kecetekan ilmu di kala itu mendorongku untuk mencari, berfikir dan menghadami apa yg ku perolehi dari usrah mingguanku itu, lantas akhirnya terbitlah keyakinan akannya untukku menterjemahkannya dalam bentuk amal yg dituntut di kala itu. Ku yakini di saat itu, inilah yg aku cari selama ini, dari kecil hinggalah kini, akhirnya tuhan makbulkan hasrat hatiku…Walaupun ianya pernah hadir suatu ketika dahulu namun hanya di saat ini baru ku kesaninya Dari situlah terbitnya kesedaran dlm diriku bahawa doa itu perlu kepada penerusannya, lantaran hidayah tuhan itu tidak terus datang bergolek, perlu terbit dari hati dan bermohon akan kehadirannya sentiasa, kerana hadirnya tidak mengira cepat mahupun lambat..

Dalam kerancakan beramal dan semangat yg membara demiNYA, mengesani jiwa-jiwa yang dahagakannya sebagaimana diriku dahulu, pahit dan manis kami tempuhi bersama, ke hulu ke hilir mengangkut adik-adik, ke sana ke mari menebalkan muka meminjam kenderaan, bersama menangis dan ketawa bilamana merasakan ketidakmampuan diri menghadirkan kesempurnaan tatkala membawa hati-hati yang tulus suci ini kepadaNYA. Betapa manisnya kenangan itu kurasakan hinggalah kini. Sukarnya mencari sahabat sejati yang sanggup berkongsi suka dan duka, namun kini ku temuinya, satu rahmat yang besar bagiku lantaran dulunya hidup ku rasakan sunyi bilamana tiada yang sudi menemani hari-hariku, seringkali ku dijadikan tempat rakan-rakanku mengambil kesempatan lantaran kedahagaanku memiliki teman. Sebut apa saja tugasan pemberian guru, semuanya dibebani ke bahuku untuk menyelesaikannya, lantaran hanya itu sajalah caranya untukku mendapatkan perhatian mereka.  

Darinya ku pelajari erti kasih-sayang, tolak ansur, kerjasama, berlapang dada dan pelbagai sifat mahmudah lain yang menjadi intipati tarbiyah yang perlu dipenuhi. Betapa dia sahabat yang dulu ku segani, takuti dan sebagainya berubah menjadi teman sejati yang boleh berkongsi segalanya, pertama kali dalam hidup ku rasakan ketelusan itu hadir dalam persahabatan. Satu ciri yg dituntut kehadirannya sesudah melalui proses pentarbiyahan namun yg paling sukar sekali ku perhatikan perlaksanaannya dalam ukhuwwah masa kini.

Terus terang serta berlapang dada menjadi intipati kekentalan kami mengharungi kepayahan di kala itu dalam pentarbiyahan diri serta adik-adik. Dengannya kami bisa bekerja tanpa wujud ketidakselesaan sesama sendiri. Acapkali kami berkongsi segalanya lantaran poket yang sentiasa kering, namun pertolongannya sentiasa hadir tatkala diperlukan. Ianya menjadi antara penguat keyakinanku dengan apa yg kami bawa selama ini. Seringkali saat-saat merasakan hanya tawakkal menjadi iringan dalam melaksanakan program lantaran kekurangan tenaga, kewangan dan pelbagai keperluan lain, pertolonganNYA hadir dengan tidak semena-mena..

Alhamdulillah tuhan mengurniakan akal yang boleh berfikir di kala itu, bagaimana menjana kewangan demi memperkasakan lagi tarbiyah.  Ke sana ke mari kami berniaga, dari kerepek, t-shirt, tudung, minuman kesihatan dan pelbagai lagi. Saat yang paling tidak boleh dilupakan apabila kami memasak sendiri nasi lemak, membungkusnya dan memanjat anak tangga demi anak tangga kampus dalam meraih sen-sen yg amat berharga demi keranaNYA. Matlamat kami amat besar ketika itu, iaitu menghadirkan sebuah kenderaan untuk kegunaan tarbiyah, tak kisahlah walaupun mungkin ada yang meragui usaha kami ini mampu menemui keberhasilannya. Apa yg penting bagi kami di kala itu adalah usaha, usaha dan usaha. Tercapai mahupun tidak matlamat kami ini adalah di atas kehendakNYA…

Usah dikira sibuknya yang amat di kala itu. Apa tidaknya dengan badan yg berbau sambal, masih sempat lagi hantar menghantar sesama sendiri ke kuliah dan pulang ke rumah menyelesaikan tanggungjawab yang dituntut. Saat itulah ku pelajari betapa peritnya membahagiakan diri sendiri dan orang lain pada masa yang sama. Andai boleh ku belah-belah tubuh ini, ku rasakan ingin sekali membahagiakan semuanya yang berada di sisiku, namun semestinya ianya sesuatu yang mustahil.

Pernah suatu ketika kurasakan keputus asaan akan pengampunanNYA .lantaran kesilapan besar yang ku lakukan, dia hadir meyakinkanku untuk bangkit semula, menggamitku kembali ke garisan permulaan. Bermula dari bawah..dari langsung tersungkur dari rahmatnya. Betapaku bermujahadah dengan nikmat nyawa kedua kurnianNYA serta keprihatinan mereka mengembalikan diri kepada asas pentarbiyahan serta hidup ini. Saat itu ku rasakan kepayahan yang amat melawan nafsu dan syaitan. Mujur, kasihNYA masih bersisa buat diriku yang penuh noda dan dosa ini. Kakiku langkahkan semula ke program-program pentarbiyahan walaupun di kala itu hanya berbekalkan sisa-sisa kekuatan yang hanya dihujung-hujung tanduk, di samping merintih saban waktu akan keampunan, redha dan hidayahNYA. Malu dan ego ku buang jauh-jauh bilamana ditanya sebab kehilanganku selama ini…

Bertitik-tolak dari saat itulah ku sematkan dalam diri ini, bahawa perubahanku kini hanya keranaNYA, kerana ku kesani jatuh bangunku selama ini hampir kesemuanya lantaran keinginanku agar manusia lain menyedari perubahan yang cuba kulakukan untuk menjadi lebih baik berbanding sebelumnya. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, namun lantaran dahagakan perhatian mereka yang ku sayangi, oleh kekurangan yang kurasakan pada diri ini berbanding adik-beradikku yang lain. Kini ku rasakan keberkesanannya dalam peningkatan diri ini, lantaran tidak terkesan rasanya pujian mahupun tohmahan  manusia kepadaku, redhaNYA yang lebih aku dambakan kini… Ketenangan itu ku temui juga akhirnya. Kini ku bahagia dengan apa yang ku miliki, walaupun jika dibandingkan dengan mereka yang lain, rasanya amat kerdil sekali diri ini, dari segala-galanya….keilmuan, pekerjaan, kehidupan, peribadi dan sebagainya. Namun tanggungjawab sebagai dai’e itu sahaja sudah ku rasakan mahkota yang patut kubanggakan lantaran menggapainya sahaja sudah teramat payah dan derita ku rasakan… namun manisnya bisa memadamkan segala derita dan kepayahan yang ku lalui selama ini.  

Nukilan: Fi Rihabillah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top