Dengan Cinta

Dengan cinta, syukurilah nikmat kemerdekaan

Hari ini genaplah negara kita mencapai kemerdekaan yang ke 57. Bagaimana nasib rakyat negara ini jika Malaysia masih dijajah? Bayangkan andai anda bangun di pagi hari kerana terkejut dengan dentuman bom, apakah perasaan anda? Mesti hidup sentiasa dalam ketakukan. Tetapi,Alhamdulillah..kita sudah merdeka dan kita generasi belia kini tidak pernah mengalami pengalaman yang menakutkan itu. Kemerdekaan adalah nikmat yang perlu disyukuri. Tetapi bagaimana kita melahirkan rasa syukur pada nikmat kemerdekaan ini.

Nikmat kemerdekaan ini perlu disyukuri dengan berusaha untuk mempertahankan dan memelihara kemerdekaan tersebut. Bersempena dengan tema merdeka tahun ini,”Malaysia, Di sini Lahirnya Sebuah Cinta.” Sebarkan cinta dan kasih sayang sesama manusia. Buangkan keegoan dan jauhi sengketa serta jangan sesekali mencabar kedaulatan negara ini. Kerana cinta kita perlu berkorban perasaan hasad dengki dan tidak mencabar perlembagaan. Kerana cinta kita fahami perlembagaan negara dengan fakta sejarah sebenar. Perlembagaan dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Jangan kerana kita tidak merasai kesusahan orang terdahulu, kita sewenang-wenangnya mencabar Perlembagaan Persekutuan ini.

Kerana cinta juga,isilah kehidupan merdeka dan bebas ini dengan sebaik-baiknya. Kita perlu fahami maksud kebebasan dan kemerdekaan sebenar. Mari kita hayati kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

 “Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat. “

Oleh itu, dapat kita fahami makna kemerdekaan bukanlah pada merdeka fizikal semata-mata tetapi segala-galanya bebas dari perhambaan manusia (pada diri sendiri-nafsu atau orang lain) kepada Allah semata-mata.  Kemerdekaan yang sebenar ialah membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia dan membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam seperti liberalisme, feminisme, hedonism dan lain-lain.

Kesimpulannya, kita perlu fahami erti merdeka dan sejarah-sejarah sebelum merdeka  supaya lahir rasa syukur atas nikmat ini.  Marilah sama-sama kita pelihara kemerdekaan dan hargai keamanan Negara ini.

Malaysia, Di sini lahirnya sebuah cinta… Pelihara kemerdekaan dan hargailah keamanan.

Nor Syakira Kasim

Naib Pengerusi 2

PEMBINA Alor Star

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top