Cungkil bakat dan potensi untuk jana pendapatan

CYBERJAYA, 29 Nov – Seseorang individu perlu belajar cara pengurusan kewangan yang betul dimana aliran keluar masuk tunai haruslah dicatat. Pelajar juga perlu berjimat dari segi barangan. Barangan yang masih boleh diguna, tidak perlu ditukar.

Demikian perkongsian calon penulis Skrip Terbaik Anugerah Skrin 2015, Saudari Nur Afirah Mahashim dalam slot Sembang Beliawanis bersempena Festival Beliawanis Nasional (FBN).

Dalam sesi perkongsiannya  mengenai isu ‘Cabaran Kewangan: Makan Gaji atau Bisnes?’, penulis skrip muda ini mengingatkan bahawa pelajar perlu mencungkil bakat dan potensi yang ada untuk digunakan bagi menjana pendapatan.

Bergelar sebagai mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Saudari Afirah memilih untuk membayar kos pembelajaran beliau di universiti tanpa membuat pinjaman pendidikan dengan menjana pendapatan sendiri sebagai penulis skrip.

Beliau yang memulakan kerjaya sampingan sebagai seorang penulis skrip ketika belajar, pada mulanya mendapat tentangan daripada keluarga terdekat kerana kemungkinan berpuluh skrip hasil penulisannya akan ditolak oleh pihak produksi.

“Pada mulanya keluarga menentang minat menjadi penulis skrip kerana industri seni bukan bidang kerjaya professional. Namun selepas hasil karya saya diterbitkan dalam televisyen, keluarga dan rakan semakin menyokong kerjaya saya ini”, ujar beliau.

Saudari Afirah turut mengingatkan hadirin supaya sentiasa mendapat restu keluarga kerana ianya menjadi aspek utama dalam kejayaan seseorang.

‘Berpuluh-puluh karya penulisan saya yang dihantar ke pihak produksi ditolak.  Mungkin sebab keluarga saya tak restu apa yang saya buat. Restu keluarga merupakan salah satu aspek kejayaan’, katanya dalam perkongsian beliau bersama peserta FBN.

Nurul Ashira Azman

Wartawan Festival Beliawanis Nasional (FBN) 2015

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top